Soal-Jawab: Turun Naik Harga Emas

بسم الله الرحمن الرحيم
Soal-Jawab
Turun Naik Harga Emas
Kepada: Ahmed Saeed
(Terjemahan)
Soalan:
Assalam alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Syeikh kami yang dihormati.
Semoga soalan ini menemui anda dalam keadaan sihat wal afiat. Saya memohon kepada Allah (swt) agar sentiasa membimbing anda dalam memartabatkan agama-Nya dan melaksanakan syariat-Nya.
Soalan saya ialah: Kita telah menyaksikan kenaikan harga emas yang sangat ketara sejak akhir-akhir ini, sehingga mencecah lebih daripada dua kali ganda harga asalnya dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Adakah ini bermakna emas, sebagai logam yang stabil dan merupakan piawaian bagi mata wang, tidak lagi bersifat sedemikian, sebaliknya telah menjadi tidak menentu? Ataupun adakah perubahan ini berpunca daripada kawalan oleh rejim-rejim tertentu serta keadaan politik semasa?
Jika benar, bagaimanakah Daulah Islam yang akan tegak tidak lama lagi dengan izin Allah, dapat mengekalkan kestabilannya dan menghalang manipulasi oleh musuh-musuh Islam? Barakallahu fik.
Saudaramu, Ahmed Saeed, dari bumi Isra’ dan Mi’raj, Palestin.
Jawapan:
Wa alaikum salam wa rahmatullahi wa barakatuh.
Turun naik harga emas adalah disebabkan oleh statusnya pada masa ini sebagai satu komoditi. Oleh itu, aktiviti spekulasi mempengaruhi harganya, sehingga menyebabkan harga tersebut meningkat atau menurun. Hal ini berlaku terutamanya kerana kuasa-kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat, mengutamakan dolar sebagai medium utama dalam pertukaran. Mereka menambah atau mengurangkan pencetakan dolar tanpa sebarang tanggungjawab. Tambahan pula, hubungan kolonial mereka dengan beberapa buah negara turut menyumbang kepada kestabilan dolar dalam banyak keadaan, sehingga menjadikannya seolah-olah ia adalah emas.
Sekiranya keadaan adalah sebaliknya, iaitu matawang benar-benar berasaskan emas dan setiap helai kertas yang dicetak mestilah disandarkan dengan sejumlah emas tertentu yang boleh ditukar pada bila-bila masa—apa yang dikenali sebagai kertas sandaran (reserve paper)—maka semua mata wang fiat (iaitu wang kertas tanpa sandaran) tidak akan bernilai lebih daripada nilai kertas yang ia dicetak di atasnya. Bagi menjelaskan perkara ini, saya akan nyatakan dua perkara yang dapat membantu kefahaman yang lebih mendalam:
Pertama: Dalam buku saya, “Krisis Ekonomi: Realiti dan Penyelesaiannya daripada Sudut Pandang Islam,” saya telah terangkan perkara berikut:
[Krisis ekonomi sebagai kesan daripada realiti matawang: Apabila dunia mengguna pakai piawaian emas dalam urusan kewangannya, dunia melalui tempoh kemakmuran ekonomi dan kestabilan kewangan. Namun, apabila sistem ini dihapuskan…dan urusan dilakukan semata-mata melalui wang kertas paksaan (fiat) yang abstrak, maka keadaan mula merosot, dan kekerapan krisis semakin pantas berlaku silih berganti.
Sistem piawaian emas digunakan untuk menjamin kadar pertukaran yang tetap, memandangkan unit kewangan bagi setiap negara adalah emas atau kertas yang mewakili nilai penuh emas, serta boleh ditukar pada bila-bila masa. Kesannya, kadar pertukaran antara negara adalah stabil kerana ia bersandarkan kepada unit emas yang diiktiraf. Sebagai contoh, satu dinar dalam Islam ditetapkan seberat 4.25 gram emas, dan Pound British ditetapkan oleh undang-undang seberat 2.0 gram emas tulen, manakala Franc Perancis bersamaan dengan satu gram emas, dan begitulah seterusnya. Oleh itu, kadar pertukaran adalah tetap.
Sistem ini menstabilkan nilai unit kewangan sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Buktinya, harga standard emas pada tahun 1910 adalah hampir sama dengan tahap harganya pada tahun 1890. Walau bagaimanapun, selepas sistem ini dimansuhkan, krisis-krisis kewangan semakin kerap berlaku…].
Kedua: Tidak perlu ada kebimbangan terhadap matawang Daulah Islam apabila ia tertegak kelak, insya-Allah. Tidak perlu bimbang bahawa ia akan terjejas oleh spekulasi negara lain sekiranya mereka enggan menggunakan emas dan perak sebagai matawang, dan mereka meneruskan penggunaan sistem matawang kertas, lalu cuba mengganggu kestabilan Daulah Islam. Hal ini kerana kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh negara-negara umat Islam yang membuatkan mereka selamat daripada sebarang spekulasi luar. Berikut adalah apa yang telah dinyatakan dalam kitab An-Nidzam Al-Iqtisadi (Sistem Ekonomi) mengenai perkara ini:
[…kadar pertukaran antara matawang Daulah Islam dengan matawang negara-negara lain tidak akan memberi kesan kepada Daulah Islam atas dua sebab:
- Wilayah-wilayah Islam memiliki segala bahan mentah yang diperlukan oleh umat dan Daulah. Oleh itu, keperluannya terhadap komoditi negara lain bukanlah sesuatu yang asasi atau mendesak. Daulah mampu mencukupi keperluannya sendiri melalui barangan tempatannya, justeru tidak terjejas oleh turun naik kadar pertukaran.
- Wilayah-wilayah Islam memiliki komoditi yang diperlukan oleh semua negara lain, contohnya minyak. Daulah Islam boleh mengehadkan penjualan komoditi tersebut melainkan jika ia dibayar dengan emas. Daulah boleh mengetepikan komoditi negara lain dengan hanya bergantung kepada komoditi tempatannya sendiri. Sesiapa yang memiliki komoditi yang diperlukan oleh semua orang tidak akan sekali-kali terjejas oleh turun naik kadar pertukaran. Sebaliknya, dialah yang akan mengawal pasaran antarabangsa, dan tiada sesiapa yang mampu mengawal mata wang negaranya].
Yakinlah wahai saudaraku, bahawa parti ini (Hizbut Tahrir) mempunyai tokoh-tokoh yang bijaksana, mempunyai kesedaran yang tinggi dan pertimbangan yang baik. Dan yang paling utama, adalah pertolongan serta petunjuk daripada Allah (swt) yang cukup untuk membalikkan tipu daya musuh-musuh Islam terhadap diri mereka sendiri. Dan Allah adalah Pelindung bagi orang-orang yang soleh.
Saya berharap penjelasan ini mencukupi.
Wallahu A’lam wa Ahkam.
Saudaramu,
Atha’ Bin Khalil Abu Ar-Rashtah
7 Ramadan 1447 H
24/02/2026 M
https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/107902.html
https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/ideological-questions/29169.html