Pembunuhan kejam: Cerminan jiwa dan masyarakat yang rosak di bawah sistem

Berita tragis mengenai seorang pelajar wanita yang dibunuh dengan kejam – ditikam sebanyak 61 kali oleh teman lelakinya akibat cemburu – benar-benar menyayat hati dan menggegarkan jiwa kita semua. Ini bukan sahaja satu kehilangan nyawa yang sangat menyedihkan, tetapi ia menampar wajah kita semua dengan realiti pahit betapa parahnya kerosakan masyarakat pada hari ini.
Kita wajib melihat tragedi berdarah ini bukan sekadar kes jenayah terpencil, emosi yang tidak stabil, atau masalah peribadi. Ia hakikatnya adalah simptom kepada penyakit sistemik yang semakin membarah akibat sistem kehidupan yang kita anuti pada hari ini.
Pembunuhan kejam seperti ini bukanlah yang pertama di Malaysia. Sudah berpuluh, malah mungkin beratus berita yang tersiar di sosmed mengenai mangsa pembunuhan yang dikerat, diseterika, dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu sebelum dibunuh, dan banyak lagi kengerian lainnya yang dilakukan oleh mangsa kepada pemangsa.
Dalam setiap kes pembunuhan, kita tentunya tidak boleh menafikan kesalahan individu terbabit, yang tentunya berlaku apabila syaitan sudah menguasai dirinya, dan perasaan manusiawi sudah hilang dari akalnya. Perasaan cemburu atau ego memang boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan dan boleh menukar manusia menjadi lebih rakus dan kejam daripada binatang buas.
Realitinya, 61 tikaman bukanlah untuk membunuh semata-mata, tetapi untuk melepaskan nafsu cemburu dan amarah yang dibelenggu oleh perasaan yang dirasuk syaitan. Namun, antara persoalan penting di sebalik itu ialah, bagaimanakah mangsa boleh keluar dengan dua orang lelaki dengan begitu mudah, tanpa mahram?
Hari ini, kebebasan dalam sistem demokrasi telah benar-benar menghalalkan percampuran bebas (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan. Budaya bercinta atau ber-couple, khususnya di kalangan remaja atau penuntut institusi pengajian tinggi, sudah menjadi suatu yang lumrah, walaupun ia jelas haram di sisi syarak. Sistem demokrasi telah lama menormalisasikan semua itu atas nama kebebasan. Lebih memburukkan keadaan, ia sering diagungkan dan diromantiskan oleh media, filem, dan melalui amalan masyarakat yang tidak berpegang kepada Islam.
Apabila halal-haram tidak lagi menjadi pegangan, kehidupan lelaki dan perempuan yang sepatutnya terpisah, bertukar menjadi sebuah kehidupan yang bercampur gaul dengan bebas, sehingga ke tahap perzinaan, hamil luar nikah dan pembuangan bayi. Lebih buruk, apabila ia berakhir dengan pembunuhan oleh pasangan kekasih sendiri. Inilah realiti kehidupan dalam sistem demokrasi yang kita hadapi pada hari ini.
Ringkasnya, kes percintaan, dating, pergaulan bebas dan pembunuhan yang terjadi tidak boleh lepas daripada sistem yang membentuk masyarakat. Sistem demokrasi adalah sistem yang sangat jauh dari suasana Islami. Sistem kufur ini dipenuhi dengan suasana kebebasan, kerakusan, kebejatan moral, jenayah dan pelbagai bentuk kejahatan.
Dalam demokrasi, pemerintah dan orang-orang politik hanya sibuk berebut kuasa, sibuk menjatuhkan sama lain, sibuk memfitnah dan sibuk mencari kekayaan. Pasukan polis juga menghadapi masalah dalaman yang begitu banyak dengan amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, melindungi kartel jenayah dan banyak lagi. Begitu juga dengan jabatan agama yang sering mencari kesalahan rakyat atas nama agama. Pantang dengar ada rakyat yang mempunyai kefahaman yang berbeza dengan mereka, atau mengajar agama tanpa tauliah, atau tidak bersetuju dengan kerajaan, maka lajulah mereka bertindak. Kelemahan dasar pendidikan usah cakap.
Pendek kata, sistem yang mengatur manusia itu sememangnya akan banyak mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak. Tidak mungkin sistem yang buruk akan melahirkan manusia yang baik. Jika ada insan yang baik, maka itu datangnya daripada ketakwaan dirinya sendiri yang berusaha melawan sistem. Contoh yang mudah, dalam sebuah universiti yang memberikan kebebasan berpakaian kepada mahasiswa, hanya ketakwaan individu sahajalah yang akan menjadikan seseorang mahasiswa menutup aurat dengan betul.
Begitulah dalam sebuah sistem yang memberikan kebebasan untuk ber-couple, hanya ketakwaan individu sahajalah yang akan menjauhkan seseorang itu dari berbuat demikian. Sama seperti sebuah sistem yang membenarkan orang mengambil riba, maka hanya ketakwaan dirinya sahajalah yang akan mencegahnya daripada mengambil riba. Demikianlah realiti kehidupan dalam sebuah sistem yang membenarkan segala yang bertentangan dengan syarak, maka satu-satunya perisai yang ada ialah ketakwaan diri, di samping muhasabah (jika ada) dari orang-orang terdekat yang prihatin.
Jadi, dalam setiap kejadian coupling yang tidak dicegah oleh negara, maka negara (pemerintah) sesungguhnya turut menanggung dosa, dan jika berlaku perzinaan, kehamilan luar nikah serta pembunuhan, negara menanggung dosa yang lebih besar lagi, kerana sejak awal pintu kemaksiatan telah dibuka oleh pemerintah seluas-luasnya. Dalam sistem yang rosak ini, jiwa manusia yang rosak sebenarnya mencerminkan kerosakan sistem itu sendiri.
Penyelesaian Tuntas: Wajib Ada Negara Islam
Kerosakan moral sehingga berakhir dengan pembunuhan merupakan satu masalah yang serius. Islam sangat menitikberatkan akhlak, dan apatah lagi nyawa manusia, sehingga Allah menyatakan siapa sahaja yang membunuh satu jiwa, seolah-olah ia telah membunuh semua manusia. Firman-Nya:
مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا
“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya” [Al-Ma’idah (5): 32].
Rasulullah (saw) bersabda:
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ
“Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Muslim” [HR An-Nasa’i].
Sistem demokrasi yang ada bukan sahaja tidak mampu untuk mengubati jiwa manusia atau masyarakat yang rosak, malah ia selamanya tidak akan menjadi ubat bagi manusia, kerana sistem itu sendiri merupakan “penyakit” untuk manusia. Jika ada manusia yang berubah, ia bukan disebabkan oleh sistem, tetapi oleh dirinya sendiri yang ingin berubah dan mendapat hidayah dari Allah.
Sebuah negara yang tidak menerapkan Islam tidak akan dapat menyelamatkan jiwa manusia dan masyarakat daripada rosak, kerana negara itu sendiri dipenuhi kerosakan terutama oleh mereka yang memegang kuasa. Sistem demokrasi pada hari ini tidak ubah seperti sistem Jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah (saw). Ia sudah tidak boleh diperbaiki. Maka, siapa pun yang ingin merubah negara ini tetapi masih dalam kerangka demokrasi, maka dia sesungguhnya hanya bermimpi di siang hari dan juga di malam hari.
Rasulullah (saw) diutus untuk menyempurnakan akhlak dan baginda juga berjuang untuk menukar sistem Jahiliah kepada sistem Islam sepenuhnya. Maka, inilah yang wajib kita ikuti, kerana Rasulullah (saw) itu sememangnya teladan yang wajib kita ikuti dalam semua aspek, termasuk penegakan dan pemerintahan negara. Oleh kerana sistem itu diterapkan oleh negara, maka atas dasar itu, Rasulullah (saw) berjuang sehingga tegaknya negara (Daulah Islam), dan inilah yang wajib kita ikuti. Daulah Islam (Khilafah) bukanlah pilihan, tetapi kewajipan, yang dengannyalah sistem Islam akan dilaksanakan secara kaffah, yang akan mengembalikan manusia kepada fitrahnya sebagai manusia, Insya Allah.
Wallahu a’lam.