Rohingya: Mereka ialah saudara, buang malapetaka assobiyah dan wathoniyah – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Isu pelarian Rohingya di negara ini yang sentiasa mengundang kontroversi dan kebencian sebenarnya berpunca daripada dua malapetaka besar yang meracuni pemikiran umat Islam pada hari ini, iaitu assobiyah (nasionalisme / perkauman) dan wathoniyah (patriotisme). Berpunca dari kedua-dua perkara inilah yang menyebabkan sebahagian umat Islam memandang etnik Rohingya melalui lensa perkauman dan sempadan negara, bukannya atas dasar akidah dan persaudaraan Islam. Ini menyebabkan masalah Rohingya tidak pernah selesai.
Demikian tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung program mingguan Kupas Tuntas bertajuk “Rohingya: Antara Masalah dan Solusi” pada 12/06/2026. Menurutnya, umat Islam pada hari ini bukan sahaja tidak mengambil solusi Islam dalam isu ini, bahkan enggan berfikir mengikut neraca hukum syarak. Ramai yang mengedepankan emosi dalam isu ini, dan ini sangat menyedihkan.
Mengulas lanjut berhubung persepsi serong masyarakat yang sentiasa mengaitkan etnik Rohingya dengan masalah sosial dan jenayah, beliau menempelak naratif tersebut sebagai tidak adil dan tidak rasional. Jenayah tidak ada kena-mengena dengan bangsa seseorang, tegas beliau. Jika orang itu jahat atau pengotor, itu adalah kerana perangai peribadinya, bukan kerana bangsanya. Berapa ramai daripada orang Melayu atau bangsa-bangsa lain yang merupakan penjenayah atau pengotor. Kenapa apabila ia melibatkan Rohingya, ia terus dikaitkan dengan bangsa, soal beliau.
Beliau mengingatkan umat Islam tentang pesanan Nabi Muhammad (saw) ketika Haji Wada’ yang secara tuntas mengharamkan sebarang sentimen assobiyah. Dalam hadis baginda, Nabi (saw) mengingatkan dengan tegas bahawa tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas bukan Arab, atau yang berkulit cerah ke atas kulit hitam, kecuali dengan takwa. Ustaz Hakim juga turut mengemukakan beberapa hadis lain serta kisah yang berlaku dalam kalangan Sahabat yang menunjukkan keharaman dan kejijikan assobiyyah, yang wajib ditinggalkan oleh kaum Muslimin.
Menyentuh tentang sentimen wathoniah di mana banyak pihak merasakan yang negara ini adalah milik mutlak rakyat tempatan, Ustaz Hakim membetulkan kefahaman tersebut dengan menegaskan bahawa keseluruhan bumi ini adalah milik Allah (swt). Baik Malaysia, Indonesia, Pakistan, Arab Saudi, Turki dan seluruh pelosok bumi yang diperintah oleh Muslim, semuanya merupakan amanah daripada Allah untuk diperintah dengan hukum-Nya dan berdasarkan kehendak-Nya. Oleh itu, setiap Muslim berhak tinggal di bahagian mana pun daripada Biladul Muslimin (negeri kaum Muslimin) tanpa visa dan tanpa pasport, kerana hukum Allah membenarkannya.
Beliau memetik satu hadis di mana Rasulullah (saw) mengajak penduduk di Darul Kufur (negara orang-orang kafir) untuk memeluk Islam dan berhijrah ke Darul Islam dan sekiranya mereka berbuat demikian, mereka akan mendapat hak yang sama dan mempunyai kewajipan yang sama sebagaimana penduduk di Darul Islam. Dengan kata lain, menurut Ustaz Hakim, siapa pun, termasuk orang-orang kafir dialu-alukan untuk datang dan tinggal di Darul Islam dan akan diberi kewarganegaraan, asalkan mereka bersedia tunduk kepada hukum Islam.
Beliau turut menyelar pandangan sinis yang menyuruh pelarian awam Rohingya pulang ke Myanmar untuk berjihad. Jelas beliau, apa yang berlaku di Arakan (Rakhine) adalah satu bentuk pembantaian yang sistematik oleh rejim Myanmar ke atas umat Islam yang serba daif dan tidak bersenjata. Pihak yang sepatutnya berjihad melawan junta tentera Myanmar ialah tentera kaum Muslimin khususnya yang berdekatan dengan Myanmar seperti Bangladesh, Pakistan, Malaysia dan Indonesia. Malangnya, tentera ini tidak pernah bergerak, kata beliau.
Dalam masa yang sama, Jurucakap HTM itu menitipkan pesanan tegas buat etnik Rohingya agar sedar bahawa penderitaan yang dialami mereka sama sekali tidak menggugurkan tanggungjawab syarak ke atas mereka. Mereka tetap wajib untuk menuntut ilmu Islam, melaksanakan dakwah, melakukan amar makruf nahi mungkar, memperjuangkan pembebasan Palestin, serta berusaha untuk menegakkan Daulah Khilafah.
Masalah Rohingya merupakan sebahagian daripada sekian banyak masalah umat Islam di dunia ini yang memerlukan Khilafah sebagai penyelesaian tuntas. Ia sama seperti masalah Palestin, Xinjiang, dan lain-lain di mana umat Islam ditindas dan diperangi oleh kekuatan sebuah negara. Maka kita juga memerlukan kekuatan negara untuk melawan segala kejahatan rejim yang menindas dan memerangi umat Islam. Penguasa Muslim pada hari ini tidak pernah mengambil penyelesaian Islam untuk menyelamatkan umat Islam. Atas dasar itu, kita sangat memerlukan Khilafah, ujar Ustaz Hakim mengakhiri perbincangan.