HTM ziarah Majlis Ulama Rohingya

HTM ziarah Majlis Ulama Rohingya

KUALA LUMPUR 11 Feb – Dalam usaha membantu Muslim Rohingya dan mendapat maklumat-maklumat terbaru mengenai perkembangan saudara-saudara seakidah yang tertindas di bumi Myanmar, Hizbut Tahrir Malaysia telah melakukan kunjungan ke Majlis Ulama Rohingya (MUR) Malaysia, hari ini.

Delegasi HTM terdiri daripada Ust Abdul Hakim Othman, Sdr Yusuf, Sdr Burhan dan Dr. Muhammad Abu al-Ayn. Setiba di pejabat rasmi MUR di Taman Suria, Setapak, delegasi HTM disambut oleh Ust Reazulhaq yang merupakan salah seorang anggota MUR. Setelah menunggu seketika, presiden MUR, Ust Jaber Mohd Subahan, tiba dan mengalu-alukan kedatangan HTM.

Di dalam pertemuan lebih kurang sejam itu, Ust Hakim yang juga jurucakap HTM menjelaskan matlamat kunjungan HTM ke MUR dan menerangkan serba sedikit berkenaan Hizbut Tahrir dan perjuangan Hizbut Tahrir di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan Khilafah.

Hakim juga turut menjelaskan keprihatinan Hizbut Tahrir mengenai masalah Muslim Rohingya dan penyelesaian tuntas terhadap masalah tersebut dari perspektif Islam. Umat Islam adalah umat yang satu dan wajib bagi seluruh kaum Muslimin, khususnya para pemerintah untuk membantu Muslim yang lain dan dalam konteks ini, pemerintah wajib mengerahkan kekuatan politik dan ketenteraan bagi menyelamatkan Muslim Rohingya, tegas Abdul Hakim.

Dalam pertemuan ringkas itu, Ust Jaber menerangkan tentang sejarah konflik di Mynamar dan masalah-masalah yang dihadapi oleh Muslim Rohingya setelah tentera mengambil alih kuasa. Jaber agak kesal kerana masih banyak pihak yang tidak prihatin atau mengambil berat akan masalah yang dihadapi oleh kaum Muslimin di bumi Arakan itu padahal mereka adalah Muslim yang paling teruk menderita di dunia ini, ujarnya.

Mengikut rekod yang ada pada beliau hasil dari maklumat saudara-mara dan rakan-rakan yang masih ada di Myanmar, jumlah kaum Muslimin Rohingya yang telah dibunuh sejak meletusnya konflik adalah lebih kurang 130,000 orang. Ramai yang tidak tahu jumlah sebenar kerana kekurangan sumber maklumat atau mendapat laporan yang tidak tepat dari sumber yang tidak sepatutnya, tegas beliau. Jumlah ini bukanlah sedikit dan umat Islam di tempat lain mesti mengambil tahu dan mendedahkan maklumat ini agar seluruh dunia membuka mata dengan nasib yang menimpa Muslim Rohingya atas kekejaman yang dilakukan oleh rejim Myanmar, tegas presiden MUR itu lagi.

Ust Jaber turut menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia bagi menegakkan Khilafah, menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu negara dan seterusnya menyelamatkan keseluruhan Muslim yang tertindas di muka bumi. Beliau berharap agar masalah yang menimpa Muslim Rohingya ini dapat diselesaikan dengan segera.