PRN Johor: bukan pilih calon atau parti, tapi sistem yang benar – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dilihat cacamarba  apabila berlakunya perpecahan dalam gabungan parti-parti yang bertanding hingga timbul persoalan pada sesetengah pihak sama ada untuk mengundi calon atau mengundi parti. Secara umum, persoalan seperti ini boleh dikatakan sentiasa muncul pada setiap pilihan raya, khususnya pada pengundi atas pagar. Apa yang mungkin para pengundi tidak pernah fikir ialah ‘sistem’ apa yang perlu dipilih?

Demikian persoalan yang dibincangkan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung program mingguan Kupas Tuntas bertajuk “PRN Johor: Bagaimana Memilih dengan Benar?” pada 3 Julai 2026.

Dalam program tersebut yang dibuat mengikut format forum pada kali ini, beliau menjawab satu per satu soalan yang dikemukakan oleh moderator, Ustaz Umar Hussein, yang merangkumi segala sudut, dari fakta di lapangan hingga ke persoalan dosa dan pahala serta solusi tuntas terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi di Malaysia.

Menyentuh soalan asas ‘nak pilih calon atau parti’, Ustaz Hakim menegaskan bahawa persoalan itu sebenarnya adalah pertimbangan kedua. Perkara pertama yang wajib difahami dan dijawab oleh setiap Muslim ialah ‘tujuan’ pilihan raya itu sendiri. Setelah memahami tujuan pilihan raya, siapa atau parti mana yang akan dipilih akan terjawab dengan sendirinya.

Menurutnya, pilihan raya dalam sistem demokrasi wujud sebagai satu proses untuk membentuk kerajaan, dan wakil yang dipilih akan dihantar ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjalankan satu fungsi utama iaitu menggubal undang-undang. Atas dasar itu DUN dikenali sebagai State Legislative Assembly yang menjadi tempat dewan penggubalan hukum atau ‘Majlis Tasyri’.

Wakil rakyat yang dipilih akan menjadi legislator atau dikenali juga sebagai law maker atau dalam bahasa Arabnya disebut musyarri’ (pembuat hukum), tidak kiralah sama ada dia seorang Muslim atau kafir. Bahkan tidak kira sama ada dia seorang Muslim yang soleh, ulama, seorang yang sekular, fasiq dan sebagainya, dia akan menjadi pembuat hukum dan menjalankan fungsi yang sama iaitu menggubal hukum.

Inilah fungsi DUN dan wakil rakyat, yang sekali gus menjadi tujuan wujudnya pilihan raya dalam sistem demokrasi – iaitu melahirkan Law Maker atau Musyarri’ (Pembuat Hukum). Sedangkan menurut Islam al-Musyarri’ itu hanyalah Allah, kerana hak membuat hukum itu hanya ada di tangan Allah, tegas Ustaz Hakim.

Di sinilah letaknya keharaman pilihan raya dalam sistem demokrasi, kerana ia bertujuan melahirkan manusia-manusia yang mengambil hak Allah sebagai al-Musyarri’. Justeru, calon atau parti mana pun yang dipilih, mereka akan menjalankan fungsi ini, tanpa mengira calon itu dari parti Islam, sekular atau kafir.

Menjawab satu soalan hipotesis dari moderator mengenai posisi jika ada calon atau parti yang menang, lalu mereka membuat undang-undang untuk mengharamkan arak, bukankah hal ini baik dan tidak menyalahi syarak, Jurucakap HTM itu menjelaskan bahawa hal itu tetap salah dan haram dilakukan. Ini kerana, keharaman arak sememangnya sudah jelas di dalam Al-Quran sehingga tidak perlu dibuat undang-undang untuk mengharamkannya. Keharaman arak itu tidak boleh dibahaskan oleh manusia sama sekali, tidak boleh diundi atau diluluskan oleh manusia, kerana ia sudah sedia maklum haram. Manusia hanya perlu melaksanakan hukum itu sahaja, bukan menggubal, membahas, mengundi, dan meluluskannya.

Manusia tidak ada hak untuk melakukan semua itu terhadap hukum Allah, tegas Jurucakap HTM itu, sambil menjelaskan lebih lanjut bahawa inilah masalah utama sistem demokrasi yang menjadikannya haram. iaitu apabila ia memberikan hak kepada manusia untuk membuat undang-undang, sehingga hukum Allah itu tidak boleh dilaksanakan kecuali mendapat kelulusan manusia terlebih dahulu.

Ustaz Hakim turut membetulkan kefahaman yang salah terhadap penggunaan kaedah fiqh akhafu dhararain (memilih kemudaratan yang lebih ringan) yang sering dijadikan hujah oleh sesetengah pihak dalam memilih calon dalam pilihan raya. Jelas beliau, kaedah ini hanya sah digunakan apabila seseorang berada dalam situasi tanpa pilihan ketiga dan terpaksa mengambil salah satu daripada dua pilihan yang ada.

Dalam konteks pilihan raya, wujud pilihan ketiga iaitu tidak mengundi. Tidak ada siapa pun yang memaksa kita untuk memilih salah satu. Maka penggunaan kaedah tersebut untuk mengharuskan undi kepada calon ‘kurang mudarat’ adalah out of context, kata beliau. Tambahan lagi, kaedah tersebut tidak terpakai kepada perkara-perkara yang haram di mana beliau memberi contoh mengenai situasi jika disodorkan kepada kita arak dan babi untuk dipilih, kita wajib menolak kedua-duanya kerana ia adalah haram. kita ada pilihan ketiga iaitu tidak mengambil kedua-duanya.

Memilih mana-mana calon/parti yang kita tahu bahawa siapa pun yang dipiliih akan pergi ke Parlimen/DUN untuk membuat undang-undang, maka ini merupakan keharaman berdasarkan kaedah “al-wasilah ila haram, haram” (jalan menuju keharaman adalah juga haram), tegas Ustaz Hakim. Ia sama seperti kita tahu bahawa seseorang itu ingin pergi berjudi, kita meminjamkan motor kita kepadanya. Memberi pinjam motor kepada seseorang yang diketahui akan melakukan keharaman, adalah haram.

Terdapat hanya satu pengecualian sahaja, kata Ustaz Hakim, iaitu jika ada calon yang mengisytiharkan dengan jelas bahawa jika terpilih, dia tidak akan terlibat dalam pembuatan undang-undang atau lain-lain keharaman, maka calon seperti ini boleh dipilih. Dia boleh dipilih, tetapi bukan wajib dipilih, tambah beliau.

Banyak lagi persoalan lain yang telah dijawab secara tuntas oleh Jurucakap HTM itu seperti keengganan mengundi akan memberikan kemenangan kepada orang kafir atau sekular, benarkah Islam akan tegak jika parti Islam menang, benarkah pilihan raya pada hari ini bertepatan dengan Islam dan lain-lain.

Di penghujung perbincangan, Ustaz Hakim menegaskan bahawa umat Islam seharusnya sedar bahawa setiap undi itu menatijahkan dosa dan pahala, dan satu-satunya pilihan yang benar untuk dibuat ialah pilihan yang didasarkan kepada syarak dan diredhai oleh Allah. Isu kita sekarang bukan sekadar memilih antara calon A atau B, parti C atau parti D, tetapi memilih untuk menggantikan sistem demokrasi-sekular warisan penjajah ini kepada sistem Khilafah yang diwariskan oleh Rasulullah. Inilah yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir dan diserukan oleh Hizbut Tahrir kepada umat Islam agar bersama-sama memperjuangkannya.