Pakatan Maritim 14 Negara di Laut Merah: Pertahanan Bersama atau Benteng Kepentingan Barat di Gerbang Makkah dan Madinah?

Pengumuman Arab Saudi mengenai penubuhan sebuah pakatan pertahanan maritim multinasional yang menghimpunkan 14 negara dipersembahkan sebagai langkah melindungi pelayaran antarabangsa, laluan perdagangan dan bekalan tenaga daripada ancaman yang semakin meningkat di Laut Merah, Bab al-Mandab dan Teluk Aden.

Alasan yang diberi kelihatan sangat wajar dan mudah difahami: serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran telah mengganggu salah satu laluan perdagangan tersibuk di dunia itu, maka sebuah kerangka keselamatan bersama diperlukan bagi menjamin kestabilan perairan tersebut.

Namun, apabila langkah ini dilihat dengan lebih jernih dan mendalam, khususnya dalam konteks hubungan dan percaturan antarabangsa, persoalannya bukan sekadar “siapakah” yang mengancam kapal-kapal dagang, tetapi “kepentingan siapakah” yang sebenarnya ingin dipertahankan.

Tujuan sebenar pakatan ini adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi penjajah-Barat, khususnya dengan memastikan minyak terus mengalir kepada negara-negara tersebut. Demikianlah pengkhianatan penguasa Muslim, minyak yang merupakan kekayaan umat, tetapi mereka mengalirkannya ke Barat bagi menggerakkan ekonomi kuasa-kuasa Barat bagi membolehkan Barat terus mendominasi negeri-negeri umat Islam sendiri.

Dalam erti kata lain, langkah ini tidak boleh dibaca semata-mata melalui kerangka “keselamatan laluan perdagangan”. Laluan laut, pelabuhan dan bekalan tenaga merupakan sebahagian daripada jaringan kuasa global. Pihak yang menguasai keselamatan laluan tersebut bukan sahaja mampu melindungi perdagangan, bahkan berupaya menentukan siapa yang mendapat manfaat daripada kekayaan dan kedudukan strategik negeri-negeri kaum Muslimin.

Pakatan khianat berkenaan telah menghimpunkan Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Pakistan, Türkiye, Mesir, Jordan, Yaman, Bangladesh, Nigeria, Sudan, Djibouti dan Republik Persekutuan Somalia. Abu Dhabi dan Muscat pula secara terbuka tidak menyambut penubuhannya, manakala senarai negara lain yang turut diundang tidak didedahkan.

Komposisi ini sendiri menunjukkan bahawa pakatan tersebut bukan sekadar susunan teknikal untuk mengawal perairan. Ia membentuk satu blok politik dan ketenteraan yang boleh digunakan bagi menyusun semula keseimbangan kuasa di rantau berkenaan.

Amerika tetap berada di belakang percaturan

Penubuhan pakatan ini sebenarnya berkait rapat dengan perkembangan ketenteraan yang berlaku sebelumnya. Arab Saudi telah menyertai Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam melancarkan serangan udara di timur Iraq pada 29 Julai 2026, selepas menuduh pihak-pihak di sana melakukan serangan di dalam wilayah Saudi pada 27 dan 28 Julai 2026.

Melalui langkah ini, Amerika tidak semestinya perlu muncul sebagai anggota rasmi yang paling menonjol untuk menguasai arah pakatan. Pengaruh Amerika cukup terlaksana melalui kehadiran ketenteraannya, pengurusan operasi, rangkaian perisikan dan keupayaannya mencetuskan atau mengembangkan konflik pada waktu yang dikehendakinya.

Pakatan tersebut juga muncul ketika serangan Amerika dan anak didiknya, entiti Yahudi, terhadap Iran – yang bermula pada 28 Februari 2026 – masih berterusan di Selat Hormuz. Ia turut didahului tindakan Houthi mengenakan sekatan laut terhadap kapal-kapal Saudi di Bab al-Mandab pada 20 Julai 2026.

Rangkaian peristiwa ini memperlihatkan pertembungan beberapa titik strategik serentak: Selat Hormuz, Bab al-Mandab, Teluk Aden dan Laut Merah. Kesemuanya merupakan laluan penting perdagangan dan bekalan tenaga dunia. Justeru, sesiapa yang menguasai perairan ini memiliki kuasa tekanan yang besar terhadap ekonomi dan politik antarabangsa.

Pakatan ini boleh menggugat kestabilan di tengah-tengah negeri kaum Muslimin serta menyediakan medan bagi pertembungan bercorak sektarian. Kebimbangan ini bukan tanpa latar sejarah. Pada 2015, Riyadh mengetuai gabungan Arab dalam perang di Yaman sebagai sebahagian daripada usaha menyusun semula rantau Timur Tengah mengikut perancangan Amerika, kira-kira seratus tahun selepas pembahagian Sykes-Picot 1916 dilaksanakan.

Corak yang sama dapat dilihat dalam pakatan-pakatan ketenteraan antarabangsa yang pernah dipimpin Amerika terhadap Iraq pada 1991, Afghanistan pada 2001 dan Iraq sekali lagi pada 2003. Pakatan seumpama ini lazimnya dibentuk atas nama keamanan, keselamatan atau kestabilan antarabangsa, tetapi pelaksanaannya tetap tunduk kepada kepentingan kuasa besar yang memimpinnya.

Oleh sebab itu, kewujudan sebuah blok antarabangsa tidak semestinya membawa keamanan. Sebaliknya, blok tersebut boleh menjadi alat untuk memberikan legitimasi kolektif kepada peperangan, campur tangan dan penguasaan geopolitik yang pada asasnya berkhidmat kepada agenda sebuah kuasa besar.

Laut Merah: Daripada wilayah Islam kepada medan persaingan penjajah

Laut Merah terletak amat hampir dengan Makkah, manakala Madinah dan Masjid Nabawi juga berada tidak jauh daripadanya. Dalam sejarah pemerintahan Islam, perairan ini kekal sebagai wilayah Islam. Kapal dan pelaut Eropah – sama ada Portugis, British, Perancis mahupun yang lain – dihalang daripada menghampiri apatah lagi menguasainya.

Namun, seiring kemerosotan dan keruntuhan Khilafah, Laut Merah bertukar menjadi medan perebutan antara kuasa penjajah lama, Britain, dengan kuasa penjajah baru, Amerika Syarikat. Perubahan ini memperlihatkan satu hakikat penting: hilangnya kekuasaan politik Islam bukan sekadar bermaksud hilangnya sebuah struktur pemerintahan, tetapi turut menyebabkan laluan strategik, kekayaan dan keselamatan umat diletakkan di bawah percaturan kuasa asing.

Atas sebab itu, masalah pokoknya tidak selesai hanya dengan menggantikan satu pakatan dengan pakatan yang lain atau menukar sebuah kuasa asing dengan kuasa asing yang lain. Selagi negeri-negeri Islam kekal terpecah, kekayaannya terus diurus untuk memenuhi keperluan ekonomi kuasa penjajah, manakala tenteranya digerakkan dalam kerangka strategi asing, selagi itulah rantau tersebut akan kekal menjadi gelanggang perebutan.

Umat Islam – khususnya golongan yang beriman dan memiliki kesedaran politik – wajib berusaha dengan bersungguh-sungguh menyingkirkan para penguasa ejen yang membuka jalan kepada campur tangan penjajah, yang menyebabkan umat menanggung kemiskinan dan bencana, bahkan yang telah menumpahkan darah umat demi kepentingan kuasa asing.

Umat bukan sekadar wajib membantah sebuah pakatan maritim seperti yang diterajui Saudi dengan penuh pengkhianatan ini, bahkan umat wajib mendesak para penguasa mereka untuk memutuskan seluruh bentuk kebergantungan politik dan ketenteraan kepada Barat, membebaskan negeri-negeri di sekitar Dua Tanah Suci daripada pengaruh penjajah, serta mengembalikan kesatuan dan kekuasaan politik Islam melalui Khilafah di atas jalan kenabian.

Kesimpulannya, pakatan maritim 14 negara ini tidak harus dinilai hanya berdasarkan bahasa diplomatik yang dilaungkan tentang keselamatan pelayaran, tetapi wajib dibaca dalam konteks tersirat yang jauh lebih besar iaitu perebutan kuasa di Laut Merah, perlindungan laluan tenaga ke negara Barat, pengaruh Amerika terhadap keputusan ketenteraan serantau dan keterdedahan negeri-negeri Islam akibat ketiadaan sebuah kepimpinan politik yang merdeka.

Selagi umat membiarkan percaturan ini terus berlangsung, lebih-lebih lagi di perairan berhampiran Makkah dan Madinah, maka wilayah Islam akan terus menjadi gelanggang kuasa penjajah. Persoalan yang patut difikirkan oleh umat bukan sekadar siapakah yang mengetuai pakatan tersebut atau untuk tujuan apa pakatan tersebut ditubuhkan, tetapi sampai bilakah kekayaan umat, pasukan tentera dan kedudukan strategik umat akan terus digunakan untuk melindungi kepentingan pihak yang memusuhi mereka akibat pengkhianatan para penguasa mereka?