Judi tetap haram tanpa mengira keputusan mahkamah atau sempadan kuasa negeri-pusat

Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos 2026 telah menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis pertaruhan nombor ramalan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang memutuskan bahawa Kedah gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000. Keputusan tersebut bermakna keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang menyatakan tindakan Kedah sebagai tidak berperlembagaan terus berkuat kuasa, walaupun Mahkamah Persekutuan sendiri tidak meneliti atau memutuskan merit substantif pertikaian itu.
Keputusan ini tidak sewajarnya dilihat semata-mata sebagai isu perundangan, pentadbiran atau pertikaian teknikal antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Ia membongkar pertentangan mendasar dalam sistem sekular dengan Islam, sebuah sistem yang memisahkan hukum agama daripada perundangan negara. Dalam Islam, judi adalah haram secara qat’i (pasti dan mutlak) tanpa ada perselisihan atau perbezaan pandangan. Allah (swt) berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” [Al-Ma’idah (5): 90].
Namun, dalam kerangka undang-undang sekular, kegiatan yang jelas dilarang oleh syarak ini dilesenkan, dikawal selia, dan dilindungi sebagai aktiviti yang sah di bawah undang-undang negara.
Kewujudan ruang bagi industri perjudian untuk terus bernafas ini sesungguhnya berakar daripada ideologi Kapitalisme dengan sistem sekular-demokrasi yang lahir daripada ideologi kufur tersebut. Kapitalisme menilai sesuatu atas asas manfaat, bukannya asas halal dan haram. Maka, perjudian yang jelas haram dalam Islam, menjadi “halal” bahkan dijaga secara terus-menerus kerana nilai ekonomi yang terhasil daripada aktiviti tersebut.
Impaknya, kerajaan dalam sistem sekular bertindak bukan sahaja sebagai pemberi lesen, bahkan sebagai pengurus dan pengawal selia segala bentuk kemungkaran yang telah dihalalkan oleh mereka sendiri. Kerajaan yang seharusnya sebagai pihak pembasmi dan penutup pintu kepada segala keharaman, sebaliknya menjadi “penggalak” dan penjaga kemungkaran, demi manfaat ekonomi.
Kewujudan mahkamah yang berhukum dengan hukum sekular memburukkan lagi keadaan. Buktinya sudah cukup banyak dan kes kali ini menambah lagi daftar bukti-bukti sedia ada. Apabila kes dibawa untuk memastikan pusat-pusat judi ditutup, mahkamah menjadi mekanisme terakhir dalam sistem ini, yang akan mempertahankan undang-undang sekular, walaupun sangat terang lagi bersuluh yang undang-undang tersebut bertentangan dengan Al-Quran.
Apa pun keputusan dan alasan, baik yang diberikan oleh mahkamah atau kerajaan, ia sama sekali tidak akan mengubah hakikat keharaman judi sehingga kiamat. Sebagai Muslim, cukuplah Al-Quran menjadi hukum bagi kita, dan seharusnya kes-kes seperti ini menambahkan keazaman kita untuk berjuang merubah dan mengganti sistem sekular-demokrasi ini dengan Islam, bukannya terus mempertahankannya dengan harapan suatu hari nanti Islam akan menang setelah kita menjadikan sistem ini sebagai alat.
Isu ini juga seharusnya menyedarkan kita bahawa hukum syarak tidak akan dapat dilaksanakan selagi asas perundangan negara tidak diubah yakni, kedudukan perlembagaan yang diberikan oleh kafir penjajah sebagai undang-undang tertinggi mengatasi Al-Quran itu sendiri.
Perlembagaan yang meletakkan kuasa perundangan persekutuan yang jauh lebih besar berbanding kuasa negeri, termasuk dalam bidang agama, bukan sahaja bertentangan dengan konsep kesatuan pemerintahan (unity of ruling) dalam Islam, bahkan menjadikan usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan Islam dapat disekat dengan begitu mudah oleh kerajaan pusat.
Keputusan kes judi di Kedah ini selari dengan deretan kes sebelum ini seperti kes Nik Elin berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan kes Iki Putra di Selangor, di mana peruntukan syariah dibatalkan atas alasan had bidang kuasa perundangan negeri. Malangnya, masih ramai dalam kalangan mereka yang mengaku memperjuangkan Islam, masih meyakini sistem demokrasi dan masih tetap mempertahankan perlembagaan yang bertentangan dengan Islam ini.
Realiti ini menuntut umat Islam untuk menyedari bahawa solusi tuntas tidak akan dicapai melalui mahkamah atau pindaan perlembagaan, tetapi penggantian keseluruhan sistem, perlembagaan dan undang-undang itu sendiri.
Keharaman judi tidak perlu diperbincangkan, tidak perlu dibahas oleh manusia, tidak perlu dibawa ke mahkamah dan tidak perlu diputuskan oleh mahkamah. Ia haram secara mutlak, kerana Allah telah mengharamkannya. Ia sama sebagaimana keharaman zina, keharaman arak, keharaman riba dan sebagainya. Malangnya dalam demokrasi semua hukum Allah boleh dibahaskan, boleh “dibicarakan”, bahkan terpaksa tunduk kepada keputusan manusia.
Sistem kufur demokrasi wajib dibuang dan diganti dengan sistem Islam di bawah naungan Daulah Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah. Dalam Islam, kedaulatan adalah mutlak milik syarak dengan maksud semua manusia wajib tunduk kepada hukum syarak. Pemerintah wajib menerapkan hukum Allah secara kaffah dan seragam di seluruh negara tanpa adanya pembahagian kuasa antara pusat dan negeri. Mahkamah akan menjadi tempat pemutusan sengketa berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, dan akan menghukum siapa sahaja pelaku keharaman.
Wallahu a’lam bish-shawab.