Afghanistan: Peluang yang hilang dan pengajaran yang tinggal selepas lima tahun

Lima tahun lalu, pada 15 Ogos 2021, tumbangnya sebuah republik yang tidak dibina di atas akidah dan nilai-nilai umat Islam Afghanistan. Sebaliknya, ia terbentuk di bawah bayangan penjajahan dan sepanjang dua puluh tahun, telah membuka jalan kepada pengaruh politik dan pemikiran Barat, rasuah yang berleluasa, serta penguasaan nilai-nilai asing. Kejatuhan rejim lama adalah hasil daripada perjuangan, pengorbanan, dan keteguhan umat Islam serta para mujahidin Afghanistan selama bertahun-tahun dalam menentang penjajahan dan sistem yang lahir daripadanya.

Ucapan tahniah wajar diberikan kepada umat Islam Afghanistan, para mujahidin, para pemikul dakwah, dan semua pihak yang bangkit menentang penjajahan serta republik yang dijajah itu sempena ulang tahun kelima transformasi bersejarah ini.

Kini, selepas lima tahun berlalu, tiba masanya untuk kita bertanya secara serius: adakah kejatuhan republik yang dijajah itu membawa kepada perubahan yang mendasar, atau adakah sebahagian besar kerangka pemerintahan dan politik rejim terdahulu masih kekal utuh?

Memang benar bahawa sedikit hukum Islam telah diterapkan di beberapa kawasan. Namun, realiti yang pahit adalah, walaupun umat Islam telah menumbangkan republik yang dijajah tersebut, umat Islam masih belum mampu menumbangkan warisan pemerintahan dan politik rejim tersebut. Kerangka negara-bangsa, struktur politik dan pentadbiran, cara berfikir politik, pemusatan “kepentingan nasional”, pandangan tentang kejayaan yang terfokus kepada ekonomi, sempadan penjajahan, dan pelbagai konsep yang membentuk suasana politik dan sosial sepanjang dua dekad yang lalu masih tetap membayangi proses pemikiran dan pembentukan dasar.

Kejatuhan republik yang dijajah ini (rejim lama) berlaku ketika dunia sedang memasuki fasa transformasi yang besar. Tatanan antarabangsa (international order) semakin jelas ditandai dengan persaingan dan konflik, manakala kelemahan dan keretakan yang selama bertahun-tahun tersembunyi di sebalik kehebatan kuasa-kuasa besar telah mula menjadi lebih ketara.

Amerika mengalihkan tumpuan utama dasar luarnya ke arah China; perang di Ukraine mendedahkan kelemahan Rusia; dan perang di Gaza serta Iran menelanjangkan ilusi kekebalan Amerika. Persekitaran sebegini sepatutnya boleh menjadi peluang bersejarah bagi warga mujahidin Afghanistan untuk mengubah Afghanistan – daripada sebuah negara yang terkurung dalam kerangka negara-bangsa – kepada titik tolak transformasi besar dalam dunia Islam: penubuhan negara Khilafah Rasyidah yang kedua. Malangnya, peluang ini tidak dimanfaatkan.

Ya, persiapan dan kemampuan adalah antara syarat untuk menerapkan dan mengembangkan Islam; kerana sesebuah negara yang kekurangan industri berat dan pembinaan mesin-mesin akan terus terperangkap dalam kebergantungan ekonomi. Namun dalam tempoh lima tahun ini, bukan sahaja tiada langkah serius yang diambil ke arah persiapan ketenteraan dan kemerdekaan perindustrian, malah perhatian yang secukupnya juga tidak diberikan terhadap pemerkasaan institusi pendidikan, pengajian tinggi dan penyelidikan, yang merupakan asas kepada penghasilan ilmu dan melahirkan cendekiawan elit.

Peluang terbesar yang terhidang di hadapan penguasa baru selepas kejatuhan republik yang dijajah itu bukanlah semata-mata pembinaan semula ekonomi, pengutipan hasil, pembinaan jalan raya, atau penyediaan keselamatan. Sebaliknya, ia adalah pencapaian kemerdekaan pemikiran – sebuah kemerdekaan yang menjadi asas kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain. Namun, peluang ini juga tidak dimanfaatkan.

Selepas dua puluh tahun dijajah, Afghanistan sepatutnya mampu mencipta identiti politik dan sosial yang baharu berdasarkan akidah Islam: sebuah identiti yang akan menjadikan pemikiran Islam sebagai asas negara, politik, dan asas pemikiran politik para penguasanya, serta akan menghidupkan kembali konsep agung tentang Ummah.

Dalam suasana sedemikian, umat Islam akan bersatu bukan atas dasar etnik, bahasa, nasionalisme, atau kepentingan material, tetapi atas akidah Islam. Pihak penguasa akan memperoleh keabsahannya (legitimasi) daripada Ummah melalui baiah (sumpah setia) syarie yang sah. Rakyat akan menasihati dan meminta kebertanggungjawaban (akauntabiliti) penguasa berdasarkan Islam, dan negara itu sendiri akan bertindak sebagai penjaga serta pengembang identiti Islam.

Namun, daripada bergerak dengan tegas ke arah ini, sentimen patriotik dan etnik serta konsep-konsep nasional yang sebaliknya diperkukuhkan. Daripada membuka pintu dengan lebih luas untuk nasihat-menasihati, amar makruf nahi mungkar, dan kebertanggungjawaban politik, sebaliknya suasana tekanan dan halangan pula yang semakin meningkat. Pendekatan sebegini semakin melebarkan jurang antara negara dan rakyat, manakala masyarakat yang sedang berdepan dengan masalah identiti, kemiskinan dan pengangguran akan dengan mudahnya bersedia untuk meninggalkan tanah air ini.

Oleh itu, harus difahami bahawa kekuasaan dan pemerintahan bukanlah keistimewaan peribadi mahupun hak milik mana-mana kabilah, organisasi, atau kelompok tertentu. Sebaliknya, ia adalah amanah syarak, di mana mereka yang memikul tanggungjawab ini akan disoal di hadapan Allah (swt).

Mereka yang memegang kekuasaan akan ditanya sama ada mereka menggunakannya untuk membimbing rakyat berdasarkan Islam, atau sekadar untuk mengekalkan kerangka sistem sedia ada. Adakah mereka menghalakan rakyat ke arah identiti Ummah, atau adakah mereka membiarkan identiti etnik, bahasa, dan patriotik kekal tidak disentuh? Adakah mereka mempersiapkan masyarakat untuk misi besar Islam, atau tidak? Adakah masyarakat mendefinisikan kawan dan lawan berdasarkan akidah Islam, atau berdasarkan kepentingan patriotik? Adakah rakyat mendefinisikan kejayaan dalam batas keselamatan, perdagangan, projek pembangunan dan penerimaan di dalam tatanan antarabangsa, atau adakah mereka mengukur kejayaan berdasarkan misi Islam mereka?

Jika kejatuhan republik yang dijajah tidak membawa kepada tertegaknya Khilafah dan transformasi masyarakat yang mendasar pada hari pertama ia jatuh, maka sekurang-kurangnya lima tahun yang berlalu sepatutnya telah dijadikan sebagai fasa peralihan yang jelas, bermatlamat, dan tersusun rapi ke arah penubuhan negara Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah. Namun, ia tidak dilakukan.

Sungguhpun begitu, kami percaya bahawa peluang masih terbuka; dan bahawa kebaikan, harapan, dan keikhlasan masih wujud dalam kalangan sebahagian besar pemimpin sistem pemerintahan sekarang – dengan syarat peluang-peluang ini dilihat melalui lensa pengajaran dan potensi. Jika tidak, mereka yang telah berjuang dan memiliki sentimen Islam ini akan semakin jauh hanyut, hari demi hari, daripada misi Islam mereka, dan kerosakan akan mengambil alih misi tersebut. Natijahnya, mereka akan digantikan oleh pihak lain, di mana pihak yang menggantikan itu pula akan diuji di jalan ini.

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

“Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini” [Muhammad (47): 38].