Maulid Nabi, Maulid Daulah Islam dan Khilafah

Tarikh 12 Rabiul Awal sewajarnya diingati oleh umat Islam walaupun hukumnya tidak wajib. Ia merupakan tarikh kelahiran (maulid) manusia yang terbaik, yang diangkat oleh Allah (swt) sebagai penutup para Nabi. Dia ialah Muhammad (saw) yang kelahirannya dan keseluruhan hidupnya sungguh luar biasa, menjadikannya manusia paling istimewa bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Istimewanya Rabiulawal bukan sahaja menjadi tarikh kelahiran baginda (saw), tetapi juga tarikh baginda diangkat menjadi Rasul. Abu al-Hasan ‘Ali bin al-Husayn bin ‘Ali al-Mas’udi (w. 346 H) meriwayatkan di dalam kitab beliau, at-Tanbih wa al-Isyraf seperti berikut:

فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً بَعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً يَوْمَ الِاثْنَيْنِ لِعَشْرٍ خَلَوْنَ مِنْ شَهْرِ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ… وَلَهُ ﷺ يَوْمَئِذٍ أَرْبَعُونَ سَنَةً وَتُنُوزِعَ فِي أَوَّلِ مَنْ آمَنَ بِهِ مِنَ الذُّكُورِ، بَعْدَ إِجْمَاعِهِمْ عَلَى أَنَّ أَوَّلَ مَنْ آمَنَ بِهِ مِنَ الْإِنَاثِ خَدِيجَةُ

“Lalu apabila baginda mencapai usia empat puluh tahun, Allah ‘Azza wa Jalla mengutusnya sebagai Rasul kepada seluruh manusia pada hari Isnin, sepuluh hari daripada bulan Rabiulawal… Usia Rasulullah (saw) pada ketika itu ialah empat puluh tahun. Terdapat perselisihan pendapat mengenai lelaki pertama yang beriman dengan baginda, selepas wujudnya ijmak (kesepakatan) bahawa wanita pertama yang beriman dengan baginda ialah Khadijah.”

Ahmad bin Muhammad bin Abu Bakr bin ‘Abdul Malik al-Qastalani, al-Qutaibi, al-Misri, Abu al-‘Abbas, Shihabuddin (w. 923 H) menyebut di dalam kitab beliau, al-Mawahib al-Ladunniyyah bi al-Minah al-Muhammadiyyah:

وَلَمَّا بَلَغَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَرْبَعِينَ سَنَةً… وَقَالَ ابْنُ عَبْدِ الْبَرِّ: يَوْمَ الِاثْنَيْنِ لِثَمَانٍ مِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ سَنَةَ إِحْدَى وَأَرْبَعِينَ مِنَ الْفِيلِ. وَقِيلَ: فِي أَوَّلِ رَبِيعٍ: بَعَثَهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ، وَرَسُولًا إِلَى كَافَّةِ الثَّقَلَيْنِ أَجْمَعِينَ

“Dan apabila Rasulullah (saw) mencapai usia empat puluh tahun… Ibn ‘Abd al-Barr berkata: (Baginda diutus) pada hari Isnin, lapan hari bulan Rabiulawal, tahun ke-41 daripada Peristiwa Gajah. Ada pula yang berpendapat: pada awal Rabiulawal, Allah mengutusnya sebagai rahmat untuk seluruh alam, dan sebagai Rasul kepada sekalian manusia.”

Demikianlah keistimewaan Rabiulawal yang bukan sahaja merupakan bulan maulid Nabi (saw), tetapi juga bulan di mana baginda (saw) diangkat menjadi Rasul.

Rabiulawal: Hijrah dan Maulid Daulah Islam

Mungkin ramai yang kurang menyedari bahawa Rabiulawal juga menjadi bulan hijrahnya Rasulullah (saw) dan susulan hijrah tersebut berdirinya Daulah Islam di Madinah. Dengan kata lain, Rabiulawal menjadi bulan maulid Daulah Islam, sebuah Daulah yang telah merubah sejarah ketamadunan dunia yang sebelumnya didominasi oleh Rom dan Parsi.  At-Tabari menyebut di dalam kitab beliau, Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk:

حَدَّثَنَا ابْنُ حُمَيْدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا سَلَمَةُ، عَنِ ابْنِ إِسْحَاقَ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، قَالَ: قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ، لِاثْنَتَيْ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ شَهْرِ رَبِيعٍ الأَوَّلِ

“Menceritakan kepada kami Ibn Humaid, katanya: Menceritakan kepada kami Salamah, daripada Ibn Ishaq, daripada az-Zuhri, beliau berkata: Rasulullah (saw) tiba di Madinah pada hari Isnin, pada malam ke-12 daripada bulan Rabiulawal.”

Al-Bukhari meriwayatkan di dalam Sahih beliau daripada Ibn Shihab, daripada Urwah ibn al-Zubayr yang menuturkan:

وَسَمِعَ المُسْلِمُونَ بِالْمَدِينَةِ مَخْرَجَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ مِنْ مَكَّةَ… فَتَلَقَّوْا رَسُولَ اللَّهِ ﷺ بِظَهْرِ الحَرَّةِ، فَعَدَلَ بِهِمْ ذَاتَ اليَمِينِ، حَتَّى نَزَلَ بِهِمْ فِي بَنِي عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ، وَذَلِكَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ مِنْ شَهْرِ رَبِيعٍ الأَوَّلِ

“Dan umat Islam di Madinah mendengar berita keluarnya Rasulullah (saw) dari Makkah… lalu mereka menemui baginda (saw) di Zahr al-Harrah, kemudian baginda berbelok bersama mereka ke arah kanan sehinggalah singgah bersama mereka di kediaman Bani ‘Amr bin ‘Auf. Peristiwa tersebut berlaku pada hari Isnin dalam bulan Rabiulawal…”

Manakala Ibn Hibban pula meriwayatkan di dalam Sahih beliau daripada al-Bara’, yang menceritakan:

أَنَّ قُدُومَهُ ﷺ الْمَدِينَةَ كَانَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ لِاثْنَتَيْ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ

“Bahawa ketibaan Rasulullah (saw) di Madinah berlaku pada hari Isnin, pada malam ke-12 daripada bulan Rabiulawal.”

Justeru, bertambah istimewanya Rabiulawal apabila ia menjadi bulan di mana Daulah Islam pertama ditegakkan, sekali gus membolehkan syariat Islam dilaksanakan dalam bentuk bermasyarakat dan bernegara dengan penuh keagungan dan kesejahteraan.

Rabiulawal: Kewafatan Rasulullah dan Maulid Khilafah

Selain menjadi bulan kelahiran dan pengangkatan Muhammad (saw) sebagai Rasul, Rabiulawal juga menjadi bulan kewafatan Nabi (saw). Menurut banyak riwayat, baginda (saw) wafat pada tarikh yang sama baginda dilahirkan iaitu pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun 11H, tepatnya pada waktu dhuha pada hari tersebut.

Pada hari Isnin itu juga, Abu Bakar as-Siddiq telah dipilih melalui mesyuarat di Saqifah Bani Sa’idah, sebagai Khalifah pertama kaum Muslimin. Beliau dibaiat dengan baiat in’iqad (pelantikan) oleh Ahlu Halli Wal Aqdi pada hari tersebut (Isnin) dan keesokannya (Selasa), beliau dibaiat oleh kaum Muslimin di masjid dengan baiat ath-tha’at. Setelah sempurna semua itu, barulah Abu Bakar memimpin proses pemakaman jenazah Rasul (saw) yang mulia pada hari Selasa tengah malam (malam Rabu).

Dengan itu, tanggal 12 Rabiulawal menjadi tanggal wafatnya Rasulullah (saw), sekali gus menjadi tanggal maulid Daulah Khilafah sebagai kesinambungan Daulah Islam yang telah didirikan oleh Rasulullah (saw). Abu Bakar merupakan Khalifah ar-Rasyidin yang pertama, yang memimpin seluruh kaum Muslimin dalam naungan Negara Khilafah, yang kemudian institusi keKhilafahan diteruskan oleh Bani Umayyah, Abasiyyah dan terakhir Uthmaniyyah.

Menegakkan semula Khilafah sebagai sunnah terbesar

Melalui banyak peristiwa agung yang terjadi, maka peringatan 12 Rabiulawal tidak seharusnya menjadi sebatas peringatan kelahiran Rasulullah (saw), tetapi kelahiran Daulah Islam dan Khilafah Islam, dan peringatan untuk berjuang mendirikannya.

Jika maulid Rasulullah (saw) wajar diingati, maka maulid Daulah Islam dan Daulah Khilafah bukan sahaja perlu diingati bahkan wajib diperjuangkan untuk ditegakkan kembali. Ini kerana perjuangan untuk mendirikan Daulah Islam itu merupakan perjuangan Rasulullah (saw) sekali gus merupakan sunnah baginda (saw).

Jika Daulah Islam itu tidak wajib, nescaya Rasulullah (saw) tidak akan mendirikannya; nescaya Khulafa’ ar-Rasyidin tidak akan meneruskan kewujudannya; dan nescaya Khulafa’ Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah tidak akan mempertahankan kesinambungannya.

Runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924) bermakna runtuhnya sebuah pemerintahan Islam yang dibina sejak zaman Rasulullah (saw) dan sekali gus memberi kesan dari segi hukum akan kewajipan untuk mewujudkannya kembali. Lebih dari itu, jumhur ulama menyatakan bahawa Khilafah merupakan ahammul wajibat (kewajipan yang paling utama), yang menjadikan usaha penegakan Khilafah sebagai sunah terbesar yang wajib diperjuangkan oleh setiap Muslim.

Dengan Khilafah-lah agama Allah dapat diterapkan secara kaffah; kaum Muslimin dipersatukan di bawah satu kepimpinan; maruah, harta, darah dan nyawa kaum Muslimin terjaga; musuh-musuh Allah dapat dikalahkan; futuhat negeri-negeri baru dilakukan; manusia dikeluarkan daripada kegelapan menuju cahaya; tamadun agung Islam terbina; agama Allah dapat dizahirkan di atas agama-agama yang lain; dan rahmat Allah dapat tersebar ke seluruh penjuru alam; dan dengan Khilafah-lah kaum Muslimin menjadi kuat dan mulia.

Dari perspektif inilah maulid dan Rabiulawal seharusnya dilihat. Rasulullah (saw) berjuang selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah di mana tidak mungkin 23 tahun perjuangan baginda itu hanya sebatas solat, puasa, zakat dan haji. Ternyata, baginda bukan sahaja membina akhlak, tetapi membina masyarakat, seterusnya membina negara, bahkan membina dunia, dengan Islam. Semua ini adalah sunnah dan semua ini wajib diteladani oleh setiap Muslim.

Sungguh malang apabila maulid Nabi (saw) disambut secara besar-besaran dan sunnah baginda hanya diambil dalam bab ibadat atau munakahat sahaja, manakala dalam bab muamalat, pergaulan, politik, ekonomi, pemerintahan, kehakiman, uqubat, perjanjian antarabangsa, jihad, dasar luar negara dan lain-lain dibuang dan diganti dengan ajaran yang diberikan oleh penjajah. Inilah realiti menyedihkan yang sedang kita saksikan di seluruh negara kaum Muslimin pada hari ini.

Atas dasar itu, setiap Muslim yang mencintai Rasulullah (saw) wajib berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah, sebagaimana perjuangan Rasulullah (saw) menegakkan Daulah Islam yang pertama, yang dengan cara ini sahajalah agama Allah dapat diterapkan secara kaffah, sekali gus menjadikan seseorang Muslim itu benar-benar berjalan di atas sunah Rasulullah (saw).

Penutup

Sesungguhnya peristiwa maulid Nabi (saw) tidak dapat dipisahkan dengan peristiwa maulid Daulah Islam, hijrah, dan maulid Daulah Khilafah, kerana setiap peristiwa merupakan kesinambungan perjuangan mulia baginda (saw), yang diteruskan pula oleh Sahabat-sahabat baginda. Runtuhnya Khilafah pada 1924 memang merupakan satu malapetaka ke atas umat Islam, namun dalam masa yang sama membuka ruang dan peluang kepada kita untuk berjuang sebagaimana perjuangan Rasulullah (saw) yang tidak seharusnya disia-siakan oleh setiap dari kita.

Wallahu a’lam.