71 Kontena didakwa menuju ‘Israel’: Palestin di pentas politik, ‘Israel’ di pentas ekonomi?

Dakwaan bahawa sekurang-kurangnya 71 kontena telah atau sedang menuju ke Israel melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan. Kerajaan Madani mesti bertanggungjawab jika ia adalah benar.

Citizen-Led Accountability Network (CLAN) dilaporkan mempersoalkan bagaimana penghantaran tersebut boleh lepas melalui sistem perdagangan dan pelabuhan negara sekiranya dakwaan berdasarkan dokumentasi yang didedahkan oleh BDS Malaysia itu benar. CLAN mengingatkan bahawa dakwaan tersebut perlu disiasat dan disahkan terlebih dahulu.

Menurut BDS, kontena itu dipercayai membawa alatan membuat senjata untuk dihantar ke Elbit Systems, kilang pengeluar sistem persenjataan berpangkalan di Haifa. Atas dasar itu, pihaknya memberi amaran kemungkinan wujud sistem rangkaian penghantaran bekalan ke ‘Israel’ secara rutin dan tersusun.

Kita tidak mahu menuduh, tetapi dalam masa yang sama kerajaan tidak boleh berbohong atau menyembunyikan fakta atau melindungi sebarang kesalahan. Jika benar terdapat 71 kontena yang hendak dihantar ke entiti Yahudi itu, persoalannya jauh lebih besar daripada sekadar siapa yang mengisi borang, siapa yang mengendalikan kontena atau bagaimana pemeriksaan di pelabuhan boleh bolos.

Persoalan mendasar ialah bagaimana perdagangan menuju ‘Israel’ masih boleh berlaku melalui Malaysia sedangkan kerajaan sendiri telah mengumumkan larangannya?

Pada 20 Disember 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia bukan sahaja melarang kapal berbendera ‘Israel’ dan kapal milik syarikat perkapalan ‘Israel’, ZIM, daripada berlabuh di pelabuhan negara, malah turut melarang mana-mana kapal yang sedang menuju ke ‘Israel’ daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Malah, isu yang hampir sama baru sahaja berlaku kira-kira sebulan lepas. Pada 7 Ogos 2026, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan sebuah kontena di PTP yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke ‘Israel’. AKPS menjelaskan bahawa penghantaran tersebut disyaki melanggar Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023, yang melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke entiti haram tersebut.

Perdana Menteri menyifatkan tindakan tersebut sebagai bukti ketegasan Malaysia untuk memastikan negara ini tidak menjadi laluan perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman ‘Israel’ terhadap rakyat Palestin.

Jika satu kontena pada Ogos dianggap begitu serius sehingga memerlukan tindakan penguatkuasaan dan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengenainya, maka dakwaan melibatkan 71 kontena sekarang tentunya menuntut penjelasan yang jauh lebih serius.

Tidak cukup untuk kerajaan sekadar mengatakan bahawa siasatan akan dilakukan. Rakyat berhak mengetahui sekiranya dakwaan itu benar. Kerajaan perlu telus dalam menjelaskan siapakah pengeksportnya, apakah jenis barangannya, apakah destinasi akhirnya, melalui syarikat perkapalan mana ia dihantar, dan bagaimana suatu penghantaran yang didakwa mempunyai destinasi ‘Israel’ boleh melepasi mekanisme kawalan sedia ada?

Namun, dalam melihat isu ini, umat Islam juga tidak seharusnya terperangkap dengan perbahasan mengenai kelemahan penguatkuasaan semata-mata. Masalahnya bukan hanya berkenaan suatu SOP yang mungkin gagal. Jika benar 71 kontena tersebut menuju ‘Israel’, maka masalah lebih asas yang perlu dilihat ialah hubungan dengan entiti Yahudi tersebut masih sentiasa terjalin melalui jalan perdagangan, walaupun di pentas politik Malaysia kelihatan berapi-api mendukung Palestin.

Jika semua itu benar, maka ia turut membawa makna bahawa kepentingan ekonomi sesungguhnya lebih diutamakan, mengatasi apa sahaja pendirian politik. Bahkan undang-undang pun boleh dieksploitasi dengan begitu mudah apabila ia sejalan dengan kepentingan ekonomi. Tekanan terhadap ‘Israel’ akhirnya mudah berubah menjadi sebuah sekatan terpilih apabila membawa keuntungan kepada negara dari sudut ekonomi.

‘Israel’ merupakan entiti penjajah yang terus menduduki bumi Palestin, mengusir penduduknya, melakukan pembunuhan ke atas umat Islam serta penghancuran terhadap Gaza. Dalam keadaan seperti ini, para penguasa Muslim bukan sahaja dilarang memberikan bantuan yang boleh menguatkan pihak yang melakukan pencerobohan, bahkan dituntut melakukan jihad untuk memerangi si penceroboh, yang tidak pernah dilakukan.

Allah (swt) melarang segala bentuk bantuan kepada musuh. Firman-Nya

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan janganlah kamu saling membantu dalam dosa dan permusuhan” [Al-Ma’idah (5): 2]

Sebagai Muslim, dan sebagai sebuah negara yang mengaku berpegang kepada Ahlu Sunnah Wal Jamaah, apa sahaja hubungan dagang yang secara nyata membantu ekonomi, logistik atau kemampuan entiti penjajah itu untuk terus berfungsi, wajib dilihat berdasarkan hukum syarak, bukannya berdasarkan keuntungan komersial.

Namun demikian, jika hal ini benar sekalipun, ia sebenarnya tidaklah pelik dan tidak mengejutkan langsung, melihat kepada pengkhianatan para penguasa umat Islam selama ini terhadap Palestin yang sudah berdekad lamanya. Mereka bukan sahaja telah lama membiarkan penduduk Palestin dibunuh dan terus membiarkan entiti Yahudi itu wujud, bahkan mereka mengakui kesahannya dan memberi bantuan kepada musuh Allah itu tanpa henti.

Demikianlah sikap dan sifat para penguasa Muslim – berdiri di pentas politik dengan mengecam ‘Israel’, melaungkan solidariti untuk Palestin, dan masing-masing berlagak sebagai hero nombor satu untuk perjuangan Palestin. Pada masa yang sama di pentas ekonomi menghulurkan segala jenis bantuan, termasuk bantuan persenjataan kepada ‘Israel’ dalam rangka mempermudahkan musuh Allah itu membunuh warga Palestin dan menghancurkan Tanah Yang Diberkati itu.

Palestin adalah persoalan penjajahan dan pendudukan ke atas bumi umat Islam. Penyelesaiannya memerlukan kekuatan politik umat yang benar-benar bebas daripada kepentingan peribadi, kepentingan kuasa-kuasa besar dan sistem kapitalisme antarabangsa, serta sebuah pemerintahan yang menjadikan hukum Allah sebagai asas tindakannya.

Justeru, di samping menuntut kerajaan memberikan penjelasan secara telus mengenai dakwaan 71 kontena ini, dan kewajipan kerajaan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti cuba menggunakan Malaysia sebagai laluan perdagangan menuju ‘Israel’, umat Islam perlu melihat lebih jauh daripada itu. Selagi politik negeri-negeri Muslim terus beroperasi dalam kerangka sistem sekular kapitalis dan hubungan antarabangsa yang ditentukan oleh kepentingan material, solidariti kepada Palestin akan terus berhadapan dengan permainan penguasa, antara apa yang dilaungkan di pentas politik dengan apa yang berlaku di pentas ekonomi.

Penyelesaian isu Palestin tidak akan datang daripada penguasa yang sedia ada. Penyelesaian isu Palestin memerlukan sebuah kekuatan politik Islam yang dipimpin oleh seorang penguasa yang beriman, bertakwa, berani dan ikhlas, yang bukan sahaja akan menghentikan segala hubungan ekonomi dengan penjajah, bahkan akan melenyapkan penjajah dari muka bumi ini, membebaskan bumi yang terjajah sepenuhnya, serta mengembalikannya kepada umat Islam selaku pemiliknya yang sah.

Kekuatan itu tidak lain tidak bukan ialah Daulah Khilafah, yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya akan kembali untuk kali yang kedua, dan kewajipan setiap Muslim sekarang ialah untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan janji ini, sebagaimana Muhammad al-Fatih berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan janji pembukaan kota Konstantinopel.

Wallahu a’lam.