Fiqh ad-Daulah wajib berpandukan nas, bukan tunduk kepada realiti – Jurucakap HTM

Buletin HTM – Perbincangan mengenai fiqh ad-daulah tidak boleh dibina dengan menjadikan realiti politik semasa sebagai penentu hukum, sebaliknya realiti wajib difahami untuk dinilai berdasarkan nas dan hukum syarak. Demikian antara penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Fiqh ad-Daulah: Antara Nas, Realiti dan Kekeliruan” pada Jumaat, 11 September 2026.

Menurut beliau, kekeliruan boleh berlaku apabila fiqh ad-daulah disamakan sepenuhnya dengan fiqh siyasah. Kenegaraan merangkumi hukum dan struktur yang berkaitan dengan pemerintahan, ekonomi, uqubat, hubungan masyarakat, jihad serta hubungan luar negara. Siyasah pula boleh merangkumi polisi, strategi dan analisis politik yang mempunyai ruang untuk berubah mengikut keadaan, tetapi perubahan tersebut tetap terikat dengan hukum syarak.

Beliau memberi contoh polisi pendidikan, dasar luar serta strategi politik yang boleh berubah mengikut realiti dan keperluan semasa. Namun, ruang perubahan pada perkara-perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menyimpulkan bahawa hukum asas pemerintahan juga berubah. Dalam hubungan luar, misalnya, bentuk hubungan, perdagangan, pengangkutan atau komunikasi boleh berubah, tetapi semuanya tetap berjalan dalam batas hukum syarak.

Dalam menjelaskan sistem pemerintahan Islam, Abdul Hakim membezakan antara hukum pemerintahan dengan aspek pentadbiran atau idarah. Beliau menegaskan bahawa kewujudan Khalifah, bai‘ah dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya tidak boleh disamakan dengan tatacara pentadbiran yang boleh berubah. Perbezaan cara pencalonan dan pemilihan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, menurut beliau, menunjukkan adanya fleksibiliti pada kaedah praktikal, bukan perubahan pada hakikat sistem pemerintahan itu sendiri. Bai‘ah tetap menjadi unsur penting dalam pengesahan seseorang Khalifah.

Beliau turut menegaskan bahawa sumber untuk membentuk negara dan menentukan hukum pemerintahan dalam Islam ialah nas syarak, bukannya mengambil sesuatu sistem kerana ia kelihatan moden, maju atau berjaya diterapkan oleh negara lain. Menurutnya, sistem pemerintahan tidak boleh ditentukan dengan hanya melihat model Jepun, China atau Amerika, kerana ukuran seorang Muslim ialah apa yang ditetapkan oleh syarak.

Menyentuh persoalan maqasid dan maslahat, beliau menjelaskan bahawa maslahat bukan sumber bebas yang boleh digunakan untuk mengubah hukum. Sebaliknya, pelaksanaan syariah itulah yang akan menghasilkan maslahat. Jika ukuran maslahat diserahkan kepada manusia semata-mata, sesuatu perkara boleh dianggap maslahat oleh satu pihak tetapi mudarat oleh pihak lain. Justeru, maslahat tidak boleh diletakkan mengatasi nas.

Perbincangan turut menyentuh dakwaan bahawa Khilafah tidak lagi relevan kerana sejarahnya menyaksikan kezaliman pemerintah, kemungkaran dan penindasan terhadap sebahagian ulama. Abdul Hakim menolak kesimpulan tersebut dengan membezakan antara sistem dan tindakan individu. Menurutnya, kewujudan pemerintah yang zalim tidak membuktikan bahawa sistem pemerintahan itu sendiri tidak sah, sebagaimana kesalahan seseorang tidak membatalkan hukum yang sepatutnya diterapkan.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa konsep keadilan boleh berubah mengikut penilaian manusia dari satu zaman ke zaman yang lain. Menurutnya, jika sesuatu itu telah ditetapkan sebagai hukum Allah, maka keadilan tidak boleh ditentukan dengan persepsi masyarakat semata-mata. “Yang tidak adil itu apabila hukum Allah tidak dilaksanakan,” tegasnya dalam perbincangan tersebut.

Dalam isu Malaysia sebagai sebuah “negara Islam”, Abdul Hakim menegaskan bahawa istilah tersebut tidak boleh sekadar bergantung pada identiti, majoriti Muslim atau kebebasan beribadah. Beliau membawa ukuran Dar al-Islam yang berkait dengan penerapan hukum Islam dan keamanan Islam. Justeru, kewujudan masjid, kebebasan bersolat atau institusi Islam semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan status sesebuah negara. Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah negara boleh dianggap negara Islam jika undang-undangnya masih membenarkan perkara yang bercanggah dengan hukum Islam serta sistem ekonomi ribawi terus beroperasi.

Keseluruhan perbincangan menegaskan bahawa memahami realiti merupakan perkara penting dalam politik Islam, namun realiti tidak boleh dinaikkan menjadi sumber hukum. Realiti perlu difahami untuk dihukumi dengan Islam, bukannya hukum Islam diubah agar sesuai dengan realiti.