Ittiba’ al-Rasul wajib mencakupi seluruh aspek kehidupan, termasuk menegakkan Daulah Islam – Jurucakap HTM
Buletin HTM – Kedatangan bulan Rabiulawal saban tahun menyaksikan umat Islam di seluruh dunia memperingati kelahiran Rasulullah (saw) melalui pelbagai bentuk sambutan. Namun persoalan yang lebih penting untuk direnungkan ialah sejauh mana umat Islam benar-benar mengikuti (ittiba’) Rasulullah (saw) dalam kehidupan mereka.
Persoalan ini menjadi fokus program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM pada Jumaat (21/08/2026) dengan tajuk “Maulid Nabi: Bagaimana Cara Yang Benar Ittiba’ al-Rasul?”. Di awal kupasannya, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat membincangkan khilaf mengenai hukum sambutan Maulid Nabi (saw), sebaliknya ingin membawa umat Islam memahami bagaimana cara yang benar untuk ittiba’ Rasulullah (saw).
Ustaz Hakim menjelaskan bahawa Allah (swt) telah menjadikan Rasulullah (saw) sebagai uswah hasanah, yakni teladan yang wajib diikuti. Menurutnya, kewajipan tersebut meliputi setiap perkara yang termasuk dalam ad-Deen, iaitu urusan yang mempunyai kaitan dengan perintah dan larangan Allah, halal dan haram serta dosa dan pahala.
Adapun urusan dunia yang bersifat teknikal, saintifik dan teknologi, ia diserahkan kepada pengetahuan dan kepakaran manusia, jelas beliau. Namun apabila sesuatu perkara melibatkan hukum syarak, maka seorang Muslim wajib merujuk dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah (saw).
Dalam kupasannya, Abdul Hakim menegaskan bahawa ittiba’ al-Rasul tidak boleh disempitkan kepada akidah, ibadah dan akhlak semata-mata. Perintah Allah di dalam Surah al-Hasyr (59) ayat 7 agar mengambil apa sahaja yang dibawa oleh Rasul dan meninggalkan apa yang dilarangnya menunjukkan bahawa Sunnah Rasulullah (saw) merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Ia bukan sahaja ibadat tetapi merangkumi urusan rumah tangga, muamalat, ekonomi, pendidikan, kehakiman, politik, pemerintahan, uqubat, jihad, hubungan luar negara dan sebagainya, terang beliau.
“Ittiba’ al-Rasul bermaksud kita wajib mengikuti Rasul dalam semua perkara yang berkaitan dengan ad-Deen, bukan pilih mana yang kita suka dan tinggalkan mana yang kita tidak suka,” demikian antara penekanan Ustaz Hakim dalam kupasannya.
Beliau turut menjelaskan bahawa mencintai Rasulullah (saw) merupakan sebahagian daripada ittiba’. Cinta kepada Rasul bukan sekadar perasaan atau ungkapan di hati atau mulut, tetapi perlu diterjemahkan dengan mentaati apa yang baginda perintahkan dan meninggalkan apa yang baginda larang dalam bentuk perbuatan harian.
Jurucakap HTM itu membawakan beberapa kisah para sahabat bagi menggambarkan bagaimana kecintaan mereka terhadap Rasulullah (saw) diterjemahkan dalam bentuk ketaatan dan pengorbanan. Menurutnya, kesempurnaan iman menuntut seseorang Muslim mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi keluarga, harta, perniagaan dan kepentingan dunia.
Kupasan beliau seterusnya membawa perhatian kepada beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rabiulawal. Selain maulid (kelahiran) Rasulullah (saw), bulan Rabiulawal turut merupakan bulan di mana Muhammad (saw) diangkat menjadi Rasul, dan bulan di mana baginda berhijrah ke Madinah dan berdirinya Daulah Islam.
Abdul Hakim menjelaskan bahawa tegaknya Daulah Islam di Madinah membolehkan syariat Islam diterapkan secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Justeru, perjuangan Rasulullah (saw) untuk menegakkan negara yang menerapkan hukum Allah juga merupakan sebahagian daripada Sunnah baginda yang wajib diteladani.
Beliau turut mengingatkan bahawa kewafatan Rasulullah (saw) dan bai‘ah Abu Bakar as-Siddiq sebagai Khalifah pertama juga berlaku dalam bulan Rabiulawal. Dengan itu, Rabiulawal bukan sahaja mengingatkan umat kepada maulid Nabi (saw), tetapi juga maulid Daulah Islam dan maulid Daulah Khilafah sebagai kesinambungan pemerintahan Islam yang diwarisi daripada Rasulullah (saw).
Abdul Hakim menutup kupasannya dengan menyeru umat Islam agar tidak menjadikan Maulid Nabi sekadar acara tahunan, sedangkan Sunnah Rasulullah (saw) dalam banyak aspek kehidupan terus ditinggalkan.
Dalam ketiadaan Khilafah pada hari ini, sunnah terbesar Rasulullah iaitu menegakkan Daulah Islam wajib diikuti oleh setiap Muslim. Menurutnya, sejak runtuhnya Khilafah, ini merupakan peluang terbesar bagi umat Islam untuk kembali menghidupkan Sunnah Rasulullah (saw) dengan perjuangan menegakkan Daulah Islam.
Ittiba’ al-Rasul menuntut setiap Muslim menghidupkan kembali kesemua sunnah Rasulullah, khususnya di akhir zaman ini, setelah ramai yang merosakkan sunah baginda, jelas Abdul Hakim, dengan merujuk kepada hadis berkenaan ghuraba’ (orang-orang yang terasing).
Program yang berlangsung sekitar satu jam 40 minit itu disiarkan secara langsung di Facebook dan TikTok Abdul Hakim Othman – Jurucakap HTM, dan rakamannya boleh ditonton semula melalui kedua-dua platform tersebut.