Parti politik Islam wajib berusaha kembalikan Khilafah – Jurucakap HTM

BULETIN HTM Tanggapan serong masyarakat yang sering menyatakan politik sebagai suatu yang kotor dan menjijikkan sebenarnya berpunca daripada kebobrokan sistem sekular-demokrasi.Realitinya, berpolitik dalam sistem ciptaan manusia yang rosak inilah yang telah menyelewengkan makna dan aktiviti sebenar politik, lalu menjadikan ruang siasah sekadar medan perebutan kuasa, pengkhianatan, dan kepentingan peribadi atau kelompok semata-mata demi kelangsungan jawatan.

Demikian tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program “Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM” yang disiarkan secara langsung di platform TikTok rasmi beliau pada 22 Mei 2026. Dalam sesi yang membedah krisis politik masa kini itu, beliau tampil meluruskan semula kefahaman umat Islam berhubung pengertian sebenar politik serta peranan parti politik berdasarkan neraca syarak.

Menurut beliau, penguasa dan umat Islam wajib berpolitik dengan maknanya yang sebenar iaitu  ri’ayah syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (mengurusi urusan umat sama ada dalam atau luar negara). Dari atas ke bawah (penguasa kepada rakyat), penguasa wajib mengatur dan menjaga rakyat dengan Islam. Manakala dari bawah ke atas (rakyat kepada penguasa), rakyat wajib melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap penguasa. Inilah pengertian dan aktiviti sebenar politik menurut Islam.

Menyelar kelakuan para politikus dan parti-parti politik pragmatik hari ini yang membelakangkan syariat, ujar Jurucakap HTM itu, “Politik sebeginilah yang sebenarnya kotor iaitu politik demokrasi, kerana bertentangan dengan Islam, penuh kezaliman, penindasan, penipuan, perebutan kuasa, saling menjatuhkan hingga ke tahap sanggup membunuh lawan politik. Sedangkan politik Islam adalah politik yang bersih dan syarie, kerana pengaturan urusan umat dan aktiviti amar makruf nahi mungkar dijalankan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah”.

Beliau menekankan bahawa kekacauan politik hari ini tercetus akibat racun demokrasi-sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan.

Mengulas lanjut mengenai persoalan kepartian, Ustaz Hakim menyoroti firman Allah (swt) di dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang secara qat’ie mewajibkan penubuhan sekurang-kurangnya sebuah kutlah (kelompok) politik yang menjalankan dua peranan sebagaimana tuntutan yang terdapat dalam ayat tersebut, iaitu menyeru kepada kebajikan dan melakukan amar makruf nahi mungkar.

Selain dua peranan tersebut, Jurucakap HTM itu menegaskan satu lagi peranan penting parti politik Islam ialah menegakkan kembali Daulah Khilafah. “Mendirikan Negara Islam atau Khilafah itu merupakan sebuah kewajipan, dan ia mustahil untuk dilakukan oleh seorang atau beberapa orang individu…maka kewajipan untuk mendirikan Khilafah ini terbeban atas parti politik, dan semua parti politik Islam wajib mengusahakannya” kata beliau.

Di penghujung program, Jurucakap HTM itu menyeru seluruh umat Islam dan parti politik Islam agar memperbetul semula hala tuju perjuangan masing-masing dengan menolak sistem, perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada kafir penjajah, dan dalam masa yang sama berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah sebagai institusi politik agung umat Islam.

Wallahu a’lam.