Laporan Bual Bicara Tawau: Khilafah Penyelamat Dan Pelindung Umat

Sabah Tawau 10 Julai 2013 Ahad.  Khilafah sebagai penyelamat dan pelindung ummat. Inilah hakikat yang perlu difahami oleh seluruh umat manusia. Atas inisiatif untuk memberi kesedaran dan pemahaman menyeluruh mengenai Khilafah dan kewajipan menegakkannya, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) cawangan Tawau telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan sebuah program bual bicara. pada 30 Jun 2013 bertempat di Sabindo Square Tawau, Sabah. Ianya menampilkan Ustazah Ummu Hajar dan Ukhti Huda masing-masing selaku panel dan moderator manakala Ukhti Risse bertindak selaku pengerusi majlis. Peserta yang hadir pada program yang bermula jam 8.30 pagi ini telah diperdengarkan dengan  bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari surah Ali Imran ayat 110-114 oleh Ukhti Lisa.

Moderator kemudian mengajukan tiga soalan kepada panel mengenai pengertian Khilafah, sejarah kegemilangannya dan kehancurannya. Panel menjelaskan secara terperinci mengenai Khilafah, iaitu sebagai sebuah sistem pemerintahan Islam yang menerapkan keseluruhan sistem kehidupan Islam. Sistem Islam ini jugalah yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW yang kemudian diteruskan oleh para Khulafa Ar-Rasyidin dan Khalifah sesudahnya. Panel juga menjelaskan dunia Islam mengalami zaman kegemilangannya sepanjang sistem Islam diterapkan dan ianya bertahan selama 1300 tahun. Sepanjang tempoh ini jugalah pemerintah Islam menjadi penyelamat dan pelindung umat dengan mengambil berat dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap seluruh urusan umat. Namun atas usaha dan makar yang dilakukan oleh pengkhianat dan musuh Islam akhirnya sistem pemerintahan Islam ini telah dihancurkan pada 3 Mac 1924 bersamaan dengan 27 Rejab 1342H. Runtuhnya institusi pelindung dan penyelamat umat ini menandakan bermulanya episod penderitaan yang berpanjangan ke atas umat Islam sehingga saat ini.

Majlis berhenti rehat seketika bagi memberi laluan kepada tayangan video dan para peserta  menikmati kudapan pagi. Kemudian bual bicara dilanjutkan lagi dengan panel menjawab persoalan yang diajukan moderator berkaitan kezaliman dan penindasan yang diperlakukan ke atas umat Islam dengan ketiadaan Khilafah sebagai pelindungnya serta usaha untuk mendirikan semula sistem Khilafah. Panel menjelaskan terlalu banyak contoh akan kekejaman yang berlaku ke atas umat Islam di seluruh dunia. Antaranya adalah pembunuhan kejam umat Islam di Syria, penindasan tidak berperikemanusiaan ke atas umat Islam Rohingya dan selatan Thailand, ketidakadilan dan kezaliman di wilayah Uighur China dan banyak lagi. Sudah tiba saatnya segala kezaliman ini dihentikan dan satu-satunya cara untuk itu adalah dengan menegakkan semula sistem Khilafah.

Sistem Khilafah yang akan dipimpin oleh seorang Khalifah ini pastinya akan bersungguh-sungguh menjaga dan melindungi kemuliaan umat Islam dari serangan musuh-musuh Islam. Program dirancakkan lagi dengan beberapa persoalan yang diajukan oleh peserta berkaitan topik yang dibincangkan. Sebagai penutup majlis panel menyeru peserta yang hadir agar bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan tegaknya sistem Khilafah. Sesungguhnya usaha menegakkan sistem Islam ini merupakan tugas yang mulia kerana inilah yang dicontohkan oleh Rasul junjungan kita Muhammad SAW. Firman Allah, “Dan apa saja yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.Bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya.” [TMQ al-Hasyar (59):7]. Bual bicara ini diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Ukhti Lisa.

Wallahu’alam.