SN701 – Jerebu: Api Yang Dinyalakan Dek Kerakusan

Bil: SN701 (PDF/Print) – 29 Jamadilawwal 1448 / 9 November 2026

Sudah hampir dua bulan Kalimantan dan selatan Sumatera terbakar, dan sekali lagi rantau ini menghirup asapnya. Pada 8 Oktober 2026, Kementerian Pendidikan Malaysia mengarahkan institusi pendidikan di kawasan dengan IPU melebihi 180 ditutup. Johor dan Sarawak menyaksikan penutupan sekolah dalam jangka masa lebih panjang susulan kualiti udara yang membahayakan. Menurut KKM, peningkatan sebanyak 60 peratus kes berkaitan jerebu telah direkodkan pada pertengahan bulan Oktober (buletintv3.my -15 Okt 2026).

        Anak-anak belajar dari rumah. Warga emas tercungap di dalam bilik. Ibu bapa membeli pelitup muka N95 seolah-olah ia adalah barang dapur. Semua ini bukan kali pertama. Kita pernah melaluinya pada 1997, 2015 dan 2019, dan setiap kali, kita diberitahu ianya adalah “bencana alam” yang akan berlalu bersama hujan.

        Orang tua-tua berpesan; api ketika kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. Tetapi persoalan yang jarang ditanya adalah – siapakah yang sengaja memulakan dan membesarkan api itu, dan mengapa ia dibiarkan membesar tahun demi tahun? Jerebu bukan sekadar isu cuaca atau angin monsun. Ia adalah akibat daripada satu sistem yang meletakkan keuntungan segelintir di atas nyawa jutaan manusia.

Bagaimana Api Ini Bermula

        Pembakaran hutan tidak terkawal yang telah berlaku secara aktif di Indonesia dipercayai menjadi punca kepada fenomena jerebu ini. Pengesanan kawasan titik panas (Hot Spots) telah ditemui secara aktif bermula semenjak awal tahun lagi. Berdasarkan laporan dari Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) yang dibentangkan pada Julai 2026, sebanyak 74% titik panas yang dikesan di Kalimantan berada dalam kawasan tanah yang telah diberi konsesi oleh pihak pemerintah kepada syarikat-syarikat untuk ladang sawit, lombong dan hutan tanaman industri. Di Sumatera Selatan pula, dalam tempoh sebulan dari 1 September hingga 2 Oktober, WALHI menemui 22,690 titik panas di dalam kawasan konsesi. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini berkemungkinan besar terlibat sebagai pemula pembakaran hutan.

        Titik panas ini bukan rawak. Ia tertumpu di tanah yang dipegang syarikat-syarikat konsesi, malah berulang di kawasan yang sama tahun demi tahun. Ini selari dengan amalan yang telah lama diketahui – membakar adalah cara paling murah untuk membersihkan tanah bagi tanaman baharu.

        Tambah memburukkan, kebakaran menjadi lebih aktif di tanah gambut. Gambut secara semula jadi adalah tanah basah yang menyimpan air seperti span. Bagi menanam sawit dan akasia (akasia digunakan untuk pembuatan kertas), syarikat menggali terusan saliran bagi mengeringkannya melalui proses yang disebut sebagai ‘cannalization’. Gambut yang kering bertukar menjadi bahan api. Apabila dibakar, api tidak hanya marak di permukaan; ia menjalar ke dalam tanah, membara berminggu-minggu, dan hampir mustahil dipadamkan. Asap tebal akibat kebakaran gambut inilah yang dibawa angin monsun ke Malaysia, Singapura dan Brunei.

        Jerebu bukan akibat kemalangan. Ia hasil langsung daripada keputusan perniagaan – keringkan gambut, bakar dan tanam, kerana itulah cara paling menguntungkan. Kaedah pembakaran ini adalah kaedah yang lebih murah dan cepat berbanding kaedah lain walaupun ianya berisiko tinggi memusnahkan alam.

Kerakusan Kapitalisme di Sebalik Sawit

        Mengapa syarikat-syarikat konsesi sanggup mengambil risiko ini? Jawapannya terletak pada nilai minyak sawit yang melambung. Harga sawit melonjak mendadak dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebahagian besarnya kerana sawit kini bukan sekadar untuk menghasilkan minyak masak, ia telah menjadi sumber tenaga.

        Indonesia sedang melaksanakan program biodiesel B50, iaitu campuran 50 peratus minyak sawit dalam diesel. Sejak 1 Julai lalu, Indonesia bercita-cita mengembangkan lagi projek ini menjadi B100, bahan bakar 100 peratus daripada minyak sawit. Utusan Khusus Presiden bidang Iklim dan Energi, Hashim Djojohadikusumo, yang merupakan adik Presiden Prabowo menyatakan bahawa 12.7 juta hektar “hutan yang rosak” digunakan untuk tanaman sawit demi mengejar projek biodiesel. Ramai pihak meragui data tersebut sekaligus cemas akan semakin banyak hutan rosak “kerana sudah dikondisikan”. Beliau menambah, hutan-hutan yang rosak akibat kebakaran akan digunakan untuk biodiesel B50 dan B100 (https://www.bbc.com/indonesia/articles/cwkg532d17rmo).

        Justeru itu, ia menambahkan lagi kenyataan hubungan simbiosis antara syarikat-syarikat pertanian yang mencetuskan kebakaran hutan dan cita-cita negara untuk menghasil biodiesel sawit secara besar-besaran. Hubungan simbiosis antara pemerintah dan para pemodal bukanlah sesuatu yang asing di dalam sistem Kapitalisme. Mereka saling melengkapi antara satu dengan yang lain dalam kerakusan demi mendapat keuntungan sebanyak mungkin.

Undang-Undang yang Lumpuh

        Indonesia bukanlah tidak mempunyai undang-undang. Aktiviti pembakaran untuk membuka tanah pertanian sudah lama dilarang. ASEAN pula mempunyai Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) sejak 2002, yang turut diratifikasi Indonesia pada 2014. Namun api tetap menyala, setiap tahun.

        Mengapa? Lihat siapa yang dihukum. Pada peringkat awal masalah pembakaran hutan, iaitu pada bulan Ogos, tindakan pemerintah hanya ke atas para petani kecil manakala pemegang konsesi hanya sekadar dikenakan teguran. Akibat dari tekanan antarabangsa, pada bulan Oktober barulah syarikat-syarikat besar dikenakan tindakan oleh pemerintah Indonesia.

        Lebih membimbangkan, WALHI Sumatera Selatan melaporkan bahawa antara konsesi sawit yang diliputi titik panas, terdapat indikasi bahawa ia merupakan milik pegawai kerajaan peringkat tinggi. Apabila yang menggubal undang-undang dan yang melanggarnya berada dalam lingkaran yang sama, bagaimana undang-undang mampu berfungsi?

        AATHP pula tidak bergigi. Prinsip “tidak campur tangan” ASEAN memastikan tiada negara anggota boleh menuntut pertanggungjawaban. Negara jiran hanya mampu menghantar nota bantahan dan bantuan pemadaman api, sedangkan sebahagian modal di ladang-ladang yang terlibat datang dari rantau ini sendiri.

        Inilah hakikat sistem demokrasi-kapitalisme; undang-undang dibuat oleh manusia, dan manusia yang berkuasa menggubalnya mengikut kepentingan pemilik modal. Masalahnya bukan kekurangan undang-undang, tetapi sistem yang melahirkannya.

Pandangan Islam Terhadap Pengurusan Tanah dan Hutan

        Islam tidak memandang tanah dan hutan sebagai komoditi bebas yang boleh diserahkan kepada sesiapa yang paling banyak modal. Syariah mengatur pemilikan dengan jelas.

        Pertama, hutan adalah pemilikan umum (milkiyyah ‘ammah). Rasulullah SAW bersabda:

“Kaum Muslimin berkongsi dalam tiga perkara: air, padang rumput dan api” [HR Abu Daud].

        Para ulama berpendapat, ketiga-tiga air, padang rumput dan api mempunyai sifat yang sama iaitu sumber yang diperlukan bersama oleh masyarakat dan tidak wajar dimonopoli secara eksklusif oleh individu termasuklah hutan belantara. Ini bermakna hutan merupakan pemilikan bersama umat dan tidak boleh dimonopoli oleh individu atau syarikat. Negara menguruskannya untuk umat, dan hasilnya dikembalikan untuk kemaslahatan rakyat. Oleh itu membenarkan monopoli melalui pemberian konsesi beratus ribu hektar hutan kepada syarikat, seperti yang berlaku hari ini, adalah haram di sisi syarak.

        Kedua, tanah pertanian dimiliki melalui usaha, bukan modal. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menghidupkan tanah mati, maka tanah itu menjadi miliknya” [HR Bukhari]

        Pemilikan ini bersyarat: tanah mesti diusahakan. Khalifah Umar al-Khattab menetapkan bahawa sesiapa yang membiarkan tanahnya terbiar tiga tahun, haknya gugur dan tanah itu diserahkan kepada orang lain yang mampu mengusahakannya. Dengan prinsip ini, tanah tersebar kepada petani yang benar-benar bekerja, bukan terkumpul pada syarikat-syarikat gergasi.

        Ketiga, negara wajib mencegah kemudaratan. Kaedah “la darar wa la dirar” (tidak boleh memudaratkan diri dan orang lain) menjadikan apa jua penggunaan tanah yang boleh memudaratkan orang ramai, seperti mengeringkan tanah gambut secara besar-besaran, yang boleh menyebabkan kebakaran gambut yang menghasilkan asap tebal dan susah untuk dipadamkan, adalah dilarang.

Dengan sistem ini, punca masalah, iaitu penumpuan tanah di tangan korporat yang rakus, dicabut dari akarnya.

Hukuman Ta’zir Ke Atas Pencetus Jerebu

        Islam bukan sekadar menyusun pemilikan, tetapi menguatkuasakannya dengan tegas. Dalam struktur Khilafah, terdapat Qadi Hisbah (al-Muhtasib), iaitu hakim yang memantau pelanggaran terhadap hak awam. Beliau tidak perlu menunggu aduan atau perbicaraan. Sebaik sahaja pelanggaran berlaku, beliau berhak bertindak serta-merta.

        Membakar hutan sehingga mencemarkan udara adalah pelanggaran yang nyata terhadap hak awam. Allah SWT berfirman:

“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia” [TMQ Surah ar-Rum: ayat 41].

        Bagi kesalahan seperti ini, Islam menetapkan hukuman ta’zir, iaitu hukuman yang kadarnya diserahkan kepada ijtihad Khalifah atau qadi mengikut tahap kemudaratan. Ia boleh berupa denda berat, rampasan tanah dan harta yang diperoleh secara zalim, pemenjaraan, hinggalah hukuman lebih keras bagi kemudaratan yang meluas. Yang penting, hukuman ini tidak mengenal status. Pemilik syarikat dan pegawai kerajaan dihukum sama seperti petani kecil, malah lebih berat kerana kemudaratan mereka lebih besar.

        Rasulullah SAW mengingatkan bahawa umat terdahulu binasa kerana apabila orang terhormat mencuri mereka dibiarkan, dan apabila orang lemah mencuri mereka dihukum (HR Bukhari dan Muslim). Bukankah ini yang sedang berlaku di depan mata kita?

Kesimpulan

        Pembakaran tanah terutamamya untuk tanaman sawit bukanlah satu kebetulan. Ia selari dengan dasar kerajaan Indonesia yang mahu meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah, terutamanya untuk biodiesel. Namun, undang-undang gagal menghentikannya kerana hubungan erat antara pihak syarikat dan pemerintah. Mereka sentiasa dilindungi kerana wujud hubungan simbiosis antara pemerintah dan pemilik modal dalam sistem demokrasi-kapitalisme. Selagi tanah dan hutan dianggap komoditi dalam sistem kapitalis, jerebu akan kembali setiap musim kemarau. Pelan tindakan, mesyuarat ASEAN dan bom air hanya mengurangkan asap, bukan memadamkan api punca permasalahan.

        Islam menawarkan penyelesaian yang menyentuh akar permasalahan – hutan sebagai milik umum tidak boleh diserahkan kepada syarikat, pemilikan adalah atas dasar usaha berterusan, larangan keras atas aktiviti yang memudaratkan orang awam serta fungsi Qadi Hisbah yang menghukum tanpa pilih kasih. Walau bagaimanapun, penyelesaian ini tidak akan terlaksana secara cebisan di bawah sistem sedia ada. Ia memerlukan sebuah negara yang menerapkan syariah secara menyeluruh. Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah perlu ditegakkan.

        Setiap kali kita menutup tingkap, memakai pelitup muka dan menguruskan anak belajar di rumah, tanyalah diri – sampai bila? Api kecil telah menjadi lawan. Sudah tiba masanya umat berhenti sekadar mengeluh tentang asap, dan mula memikirkan sistem yang menyalakannya.