Mengenal Makna Kemenangan Dan Ketaqwaan Dalam Kuliyyah Ramadhan
Apabila peserta telah memenuhi Dewan Nabhani, Khilafah Centre, majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran daripada Surah al-Baqarah ayat 183-186 oleh Puan Nabila dan diterjemahkan oleh Saudari Lailatul Khadijah. Majlis kemudian disambung dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Hajjah Zainun Binti Md Lazim, aktivis MHTM.
Hajjah Zainun memulakan ceramahnya dengan mengupas ayat 183 daripada Surah al-Baqarah tentang kewajipan berpuasa ke atas orang-orang yang beriman supaya mereka menjadi bertaqwa. Ketaqwaan bermakna taat dan patuh dalam menjalani seluruh perintah dan menjauhi seluruh larangan Allah dan RasulNya. Sebagaimana diterangkan dalam Surah At Thalaq bahawa kiranya kita bertaqwa kepada Allah, setiap urusan kita akan dimudahkan oleh Allah SWT. FirmanNya, “Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya” [TMQ at-Thalaq (65): 4]. Sebaliknya, setiap kemaksiatan akan menjadikan kehidupan itu rosak, bahkan kerosakan akan merebak dan berleluasa seperti yang telah berlaku pada hari ini, antaranya penganiayaan, rogol, sumbang mahram, zina, buang bayi dan sebagainya.
Ceramah diteruskan dengan penjelasan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia. Walau bagaimanapun, kebanyakan umat Islam hari ini hanya menumpukan perhatian kepada memperbanyakkan membaca dan menghafal al-Quran semata-mata tanpa mengamalkan isi kandungannya secara kaffah (keseluruhan). Umat Islam sepatutnya menjalankan semua perintah Allah secara kaffah dalam konteks kehidupan individu, masyarakat dan negara terutamanya untuk mencapai kemenangan yang sebenar iaitu meraih keredhaan Allah SWT. Di akhir ceramah, Ustazah Zainun menyeru para peserta supaya berusaha sekuat tenaga dalam menjalankan syari’at Allah dalam ketiga-tiga konteks kehidupan tersebut.
Majlis kemudian disambung dengan sesi soal jawab dan tayangan video yang menyentuh hati para peserta. Sesi kuiz turut dijalankan dan mendapat penyertaan yang amat menggalakkan daripada para peserta. Di kesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir dan setia sehingga ke akhir program serta jawatankuasa yang bertungkus lumus meluangkan tenaga dan masa. Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh.