Kecewa Dengan Buaya Darat Wanita Kahwin Anjing

Kerana kecewa dengan perangai kaum lelaki yang diibaratkan sebagai pembohong, seorang wanita di Ghana sanggup berkahwin dengan anjing yang mempunyai sifat-sifat baik seperti bapanya.

Seorang wanita Ghana telah berkahwin dengan anjing peliharaannya kerana anjing itu mempunyai kualiti seperti arwah bapanya.

Daily Dose melaporkan, Emilu Mabou, 29, dari Aburi berkahwin dengan anjing berusia 18 bulan dalam satu majlis yang dihadiri oleh paderi dan orang kampung.

Menurut adiknya, David Mabou, keluarga Emilu telah memboikot perkahwinan itu kerana merasa ia adalah satu tindakan yang bodoh dalam mengatasi kesunyiannya.

Tetapi bagi Emilu, perkahwinan ini adalah tepat kerana dia telah berdoa untuk sekian lama mengharapkan pasangan yang mempunyai kualiti seperti bapanya. ”Bapa saya seorang yang baik, beriman, taat kepada ibu dan selalu memberi layanan yang baik.”‘

Saya telah menjalinkan hubungan dengan banyak lelaki di Togo tetapi mereka semuanya sama – pembohong dan buaya darat. Anjing saya baik, taat dan hormati saya,” kata Emilu.

Sementara itu, dalam majlis itu, paderi telah menasihatkan orang kampung supaya tidak memperolok-olokkan perkahwinan itu tetapi bersama-sama bergembira kerana Emilu telah menemui kegembiraan yang dia idamkan.

Ditanya bagaimana dia akan memperoleh zuriat dengan suaminya, Emilu berkata: “Kami akan mengambil anak angkat.”

Sumber: Utusan Malaysia 14/07/2009


Ulasan:
Beginilah ‘kejayaan’ sistem sekular kapitalis dalam membentuk pemikiran penganut dan pendokongnya merungkai  serta menyelesaikan simpulan permasalahan hidup mereka.  Kebodohan cara wanita ini memenuhi  naluri berkasih sayangnya (gharizatu nau’) jelas menunjukkan betapa akal dan maslahat dijadikan paksi dalam mencari penyelesaian masalah kehidupan.

Begitu pula jijiknya sistem perkahwinan dan kekeluargaan yang diterapkan oleh sebuah sistem Sekular liberal yang semakin hari mengundang kesengsaraan dan kekeliruan kepada penganutnya ini.  Islam secara jelas memperincikan bahawa wanita dan lelaki sebagai makhluk Allah Subhanahu wa Taala yang diciptakan untuk saling lengkap-melengkapi.  Allah Subhanahu wa Taala  berfirman :

Wahai manusia! bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan  kamu dari diri yang satu (Adam) dan Allah menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak…” [TMQ  Surah an-Nisa’ (4):1]. 

Dan firman Allah lagi  “ Diantara tanda-tanda kekuasaannya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram dengannya” [TMQ Surah ar-Rum (30):2].

Syariat Islam adalah sistem yang ditetapkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia melalui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk seluruh permasalahan hidup demi kerahmatan umat manusia sepanjang masa dimana jua. Hukum Islam dengan sumber Al-Quran dan As Sunnah, adalah hukum yang lengkap yang akan mengatur segenap aspek kehidupan manusia.
 
Manusia yang hidup 14 abad yang lalu di Jazirah Arab, memiliki sifat kemanusiaan yang sama dengan manusia yang hidup sekarang. Menurut Syeikh Muhammad Muhammad Ismail dalam kitab Al-Fikru al Islamy, pada diri manusia terdapat potensi kehidupan iaitu keperluan organik serta naluri berupa naluri beragama, naluri pembiakan/berkasih saying  dan naluri survival sebagai sunnatullah, yang mana potensi ini tetap ada sepanjang masa. Justeru cara menangani sebarang permasalahan yang melanda manusia hendaklah mengambil kira fitrah atau sunnatullah manusia ini dan di adun menurut hukum yang disyariatkan.

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah, marilah kita renungkan ikhtibar dari  kisah sadis ini dan berjuang bersama untuk mengembalikan Sistem Islam yang akan membawa penyelesaian sebenar kepada seluruh wanita di dunia khususnya dan umat Islam secara  umumnya. 

Wallahu alam bi shawab.