Insan Cemerlang Aspirasi Sistem Sekular-Kapitalis
KUALA TERENGGANU: Selepas beberapa kali mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya, kegiatan remaja berusia 15 tahun di Kampung Nyiur Tujuh, Besut, dihidu keluarga kerana pulang ke rumah pada awal pagi, Khamis lalu.
Selepas ditangkap keluarganya ketika menyelinap masuk ke rumah pada dinihari, pelajar Tingkatan Tiga terbabit tidak dapat berselindung lalu mengaku sudah terlanjur.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd Zakaria, berkata mangsa ke Balai Polis Kampung Raja, Besut membuat laporan kejadian itu, jam 9.30 malam, kelmarin.
Katanya, kejadian pertama berlaku di bilik rumah mangsa, di taman perumahan kos rendah di Nyiur Tujuh jam 3.30 pagi pada 15 Disember lalu.
Kamaruddin berkata, mangsa selalu keluar rumah melalui pintu belakang, termasuk pada kejadian kira-kira jam 2 pagi, 17 Disember lalu untuk bertemu teman lelaki sebelum membonceng motosikal ke kedai makan di Jalan Kampung Lampu, Kampung Raja.
Beliau berkata, mereka mengadakan hubungan di kedai makan itu sebelum dihantar pulang.
Kamaruddin berkata, suspek berusia 19 tahun sudah dikenal pasti dan usaha mencarinya sedang dijalankan.
Katanya, mangsa dihantar untuk membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian, Kelantan.
Sumber : Berita Harian online 23/12/2009
Wahai Para Ibu Muslimah!
Perhatikan dan renungkan lah pembangunan modal insan yang dicita-citakan oleh laungan serta seruan maut pemimpin sekular kapitalis yang bertunjangkan idea dan fahaman kebebasan ini. Apakah remaja yang ‘dibina’ syakhsiyyahnya berlandaskan piawaian ciptaan kuffar Barat ini dapat menghasilkan kelestarian generasi cemerlang bahkan mengembalikan kegemilangan umat Islam yang dicanang-canangkan oleh para pembelot Deen Allah mutakhir ini?
Mungkin juga sesetengah dari kita yang mengaku menjadi masyarakat yang prihatin, memandang realiti yang menghinakan ini sebagai satu masalah akhlak semata-mata dan terpalit di hati satu tanggapan dangkal berbunyi, “Seandainya setiap individu memiliki akhlak yang baik, sudah tentu masyarakat juga akan menjadi baik-baik belaka. Bukankah kemunduran dan kebangkitan sesebuah masyarakat sememangnya ditentukan oleh kebangkitan dan kemunduran akhlaknya?”.
MasyaAllah! Inilah pemikiran umat yang berjaya dicetuskan oleh sistem yang ada. Umat tidak terfikir bahawa realiti yang dipaparkan ini sebenarnya hanyalah gejala ataupun simptom, manakala diagnosa sebenar penyakit yang melanda remaja dan masyarakat masa kini adalah disebabkan oleh dominasi dan manipulasi sistem sekular kapitalis di dalam segala permasalah kehidupan yang tidak melaksanakan hukum-hakam Islam secara kaffah(menyeluruh).
Akibat dari ini, masyarakat tidak pernah cuba meneliti bahawa punca permasalahan sosial yang sangat menonjol adalah disebabkan ketiadaan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita yang berlandaskan syarak(sila rujuk Hukum Ikhtilath-Fikih Muslimah). Masyarakat Islam sendiri telah termakan idea beracun yang disaluti madu kuffar barat yang sentiasa mempertontonkan realiti dan fantasi-fantasi seksual demi bertujuan membangkitkan naluri seksual(gharizatul nau’) sehingga naluri tersebut menuntut pemuasan. Malangnya, bagi modal insan yang tidak dibina dengan sistem pendidikan yang berteraskan akidah Islam, sudah tentulah pemuasan naluri mereka juga akan mengikut landasan yang tidak menjadikan akidah Islam serta halal-haram sebagai tolok ukur perbuatan.
Ketaqwaan individu dan campur tangan masyarakat sahaja dalam menangani masalah sosial tidak akan mencegah dan menyelesaikan kemaksiatan yang bermaharajalela. Ketiadaan sistem pemerintahan yang menerapkan Islam secara kaffah menyebabkan tidak adanya hukum-hakam bersepadu yang ujud seiring jalan antara ketiga faktor – ketaqwaan individu, kawalan masyarakat dan keujudan negara yang menerapkan hukum-hakam Islam secara kaffah.
Wahai Muslimah,
Bangkitlah untuk berjuang menegakkan kembali Deen Allah di muka bumi ini yang dengannya Islam itu bakal menjadi rahmatan lil ‘alamin(rahmat ke seluruh alam). Ingatlah kita bahawa seluruh kehinaan dan kemaksiatan yang dipaparkan sehari-hari di media massa mutakhir ini adalah terbeban di bahu kita untuk mengubahnya dan sesungguhnya kita akan dipertanyakan di hadapan Allah di akhirat nanti.
Rasulullah SAW bersabda mengingatkan umat baginda : “ Demi zat yang diriku ada dalam genggaman tanganNya, sungguh-sungguh kalian(mempunyai dua pilihan, iaitu) melakukan amar maa’ruf nahi mungkar, ataupun Allah akan mendatangkan siksa dari sisi-Nya yang akan menimpa kalian. Kemudian setelah itu, kalian berdoa, maka doa itu tidak akan dikabulkan.” [HR Imam Tirmidzi]
Wallahu’alam