Ashraf Kempunan Jadi Aleesha

Ashraf kempunan jadi Aleesha
Oleh MUSTAPA LAKAWA
[email protected]
 
________________________________________

KUALA TERENGGANU – Impian seorang lelaki untuk menukar namanya kepada nama seorang wanita tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonannya.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pemohon, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, tiada hak untuk menukar status jantina lelaki kepada perempuan pada sijil kelahiran mahupun MyKad miliknya.

Mohd Ashraf yang berasal dari sini bagaimanapun tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Horly Isaach.

Menurut Mohd. Yazid, permohonan pemohon yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin serta kewujudan organ dalaman.

“Mahkamah perlu membuat pertimbangan berhati-hati kerana kes ini merupakan satu kes yang sensitif dan jika dibenarkan ia akan memberi impak besar kepada masyarakat,” kata beliau.

Bagaimanapun, Mohd. Yazid berkata, setelah meneliti permohonan pemohon, mahkamah mendapati tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan deklari bersabit penukaran gender dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon untuk menukar status jantina dalam Sijil Kelahiran ataupun MyKad.

“Apabila seseorang itu dilahirkan sebagai lelaki, maka tiada asas untuk menukar status jantinanya kepada perempuan,” kata beliau ketika membacakan keputusan itu.

Jelas Mohd. Yazid lagi, pemohon mungkin telah memiliki fizikal atau psikologi seorang wanita namun ia bukanlah asas dalam menukar atau mengubah status jantina pada Sijil Kelahiran ataupun MyKad.

“Laporan perubatan dan pembedahan penukaran jantina juga tidak boleh dijadikan hujah untuk membenarkan permohonan ini kerana tiga faktor yang perlu diambil kira adalah faktor kromosom, kewujudan alat kelamin semasa dilahirkan serta kewujudan organ dalaman,” ujarnya.

ULASAN
Inilah sikap mereka yang mabuk dengan pemikiran kapitalis dengan mengatasnamakan hak asasi manusia (HAM) dalam apa jua perkara yang dilakukan. Konsep HAM yang diperkenalkan Barat ini kian diterimapakai oleh masyarakat kita untuk menghalalkan setiap tingkahlaku mereka. Lihatlah apa yang terjadi pada saudara lelaki kita di atas yang terang dan nyata ingin menukar nama dan status jantinanya.

Dari Ibn Abbas RA, ia menuturkan
“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang bertingkahlaku seperti wanita dan seorang wanita yang bertingkahlaku seperti lelaki. Rasulullah SAW bersabda: Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah kalian. Ibn “Abbas berkata: “Maka Nabi SAW pernah mengeluarkan si Fulan dan Umar juga pernah mengeluarkan si Fulan [HR al Bukhari].

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu, beliau berkata (maksudnya): “Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yg memakai pakaian lelaki [HR Abu Dawud dgn sanad sahih] -dipetik daripada kitab Riyadhus Salihin.

Apa yang dikesalkan, permohonannya yang mahu menukar nama kepada wanita ditolak selepas mengambil faktor-faktor tertentu dan bukannya hukum syarak. Kononnya tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan berbuat demikian. Sepatutnya hukum syaraklah yang menjadi pertimbangan dan penilaian dalam setiap keputusan yang diambil.  Firman Allah “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa-nafsu mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu  [TMQ al-Maidah (5):49].

Persoalannya adakah cukup menolak haknya untuk menukar nama dan status jantina namun membiarkan kebebasan tingkahlakunya berkeadaan seperti wanita berterusan sebegitu? Dalam hal ini setiap dari kita berperanan secara bersepadu untuk menghalang kebebasan bertingkahlaku sebegini dalam kehidupan kita agar tidak mendatangkan kemurkaan Allah. Umat Islam tidak memerlukan budaya kebebasan, HAM dalam kehidupannya. Cukuplah hukum syarak yang lengkap diturunkan Allah menjadi panduan hidupnya. 

Wahai individu muslim, renungilah Firman Allah ini agar kamu bertaqwa dan tidak mendustakan ayat-ayat Allah  “…dan pasti akan kusesatkan mereka, dan akan kubangkitkan angan-angan kosong pada mereka, dan akan kusuruh mereka memotong teling-telinga binatang ternak, (lalu mereka benar-benar memotongnya), dan akan aku suruh mereka mengubah ciptaan Allah, (lalu mereka benar-benar mengubahnya). Barangsiapa menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sungguh dia menderita kerugian yang nyata (Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka.“  [TMQ An-Nisa’ (4) : 119-120].

Wahai umat Islam, anda berkewajipan menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran dan perlanggaran syariat Allah termasuk menghalang idea kebebasan sebegini dari terus berleluasa dan mempengaruhi pemikiran umat Islam lainnya. Sudah tiba masanya anda memuhasabah pihak-pihak yang bertanggungjawab penuh menangani isu ini mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah.

Wahai penguasa yang bertanggungjawab mengurusi urusan umat! Kembalikan kemuliaan Islam dengan segera menerapkan hukum-hukum Allah dalam setiap aspek kehidupan. 

Sesungguhnya umat Islam hanya wajib kembali semula kepada syariat Islam yang benar dan sempurna yang datangnya dari Allah, tanpa perlu merujuk sedikit pun kepada pemikiran atau undang-undang kufur yang datang dari Barat!  Wallahua’lam