SN291 – ANTARA ISLAH DAN TAGHYIR
Islam adalah agama yang sempurna yang dapat menjawab setiap persoalan manusia sejak dari zaman Rasulullah SAW hinggalah ke hari Kiamat. Di dalam nas-nas syarak, dijumpai cara-cara islah ketika faktanya memang memerlukan islah. Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah (perbaikilah hubungan, islah) di antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat” [TMQ al-Hujurat (49):10].
Dijumpai pula cara-cara taghyir (perubahan total) apabila faktanya memang memerlukan taghyir. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah (taghyir) keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13):11].
Begitu juga di dalam Al-Quran akan ditemui seruan (perintah) Allah yang berkaitan dengan individu, kelompok (gerakan) dan juga Negara (pemerintah). Dzat yang berhak menetapkan hukum atas semua itu adalah Allah SWT. Namun yang menentukan jenis dakwah (sama ada islah atau taghyir) adalah realiti yang ingin diislah atau ditaghyir. Taghyir boleh dilakukan terhadap individu, boleh juga ditujukan untuk merubah keadaan masyarakat atau merubah keadaan suatu bangsa atau umat dan juga Negara. Begitu juga dengan islah. Taghyir mesti dimulai dengan mengubah asas iaitu tempat di mana manusia atau masyarakat atau keadaan dibangun dengan asas tersebut. Ini adalah kerana, setiap pemikiran cabang, termasuk pemahaman-pemahaman yang membatasi/mengatur tingkah laku manusia dalam kehidupan ini di bangun di atas asas tersebut. Bertolak dari asas ini serta apa pun yang berkaitan dengannya (baik berupa pemikiran cabang atau pun ranting), manusia boleh mencapai kebahagian atau penderitaan. Sesebuah umat juga boleh bangkit dan boleh mundur bertitik tolak dari asas ini. Asas yang menjadi landasan seseorang Muslim, gerakan/parti Islam, masyarakat Islam dan Negara Islam adalah aqidah Islam. Setiap aktiviti seseorang Muslim tidak boleh menyimpang dari asas ini (aqidah Islam). Begitu juga aktiviti jamaah dan Negara, tidak boleh menyimpang dari aqidah Islam dan segala konsekuensinya.
Mengenai islah pula, ia adalah perubahan yang menyangkut perkara cabang atau furu’, bukan asasnya. Asas yang ada dibiarkan, tidak diubah tetapi hanya dibersihkan sahaja dan eksistensi (dari asas itu sendiri) masih tetap diakui. Jika asasnya itu masih ada (masih aqidah Islam), akan tetapi muncul debu-debu kotor yang menutupi asas tersebut, berupa pemikiran-pemikiran salah yang mendominasinya, maka apa yang harus dilakukan dalam keadaan ini adalah islah bukan taghyir. Dengan kata lain, perlu dilakukan usaha untuk membersihkan debu-debu kekotoran tersebut, lalu menggilapnya agar kembali menyinari perkara-perkara cabang terutama di dalam penerapan praktis. Misalnya, seorang Muslim yang terpengaruh dengan tsaqafah Barat, asasnya masih lagi Muslim namun pemikirannya telah ditutupi dengan debu-debu kekufuran yang menebal. Jadi, apa yang harus dilakukan terhadapnya adalah membersihkan atau menghilangkan segala kotoran yang menempel, agar ia kembali berfikir dengan benar (Islam) seterusnya memperbetulkan tingkah lakunya sebagai Muslim. Terhadap seorang Muslim yang terjerumus dalam perbuatan maksiat seperti mengambil riba, berzina dan sebagainya, apa yang harus dilakukan adalah memperkuatkan imannya sehingga wujud dorongan yang memacunya untuk bertakwa sekaligus berfungsi sebagai pengendali yang boleh mencegah dan menjaganya dari tindakan maksiat.
Berbeza jika kita ingin mengajak orang kafir masuk Islam, di mana dakwah kita kepadanya adalah dakwah yang bersifat taghyir kerana asas yang dimilikinya dan setiap perkara yang lahir dan terpancar dari asas tersebut adalah batil. Wajib mengganti asasnya dengan asas yang benar terlebih dahulu. Oleh kerana itu kita tidak boleh terus mengajak orang kafir untuk solat, sementara kita masih membiarkan asas (akidah) kufur yang dimiliki atau anutinya. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di dalam mengajak mana-mana sahabat yang sebelum itu masih lagi dalam keadaan kafir. Inilah yang dikehendaki oleh nas dan inilah juga yang ditunjukkan oleh realiti. Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa Dia tidak akan menerima amal orang-orang kafir meskipun amal perbuatannya itu baik dan tidak ada seorang kafir pun yang masuk syurga kerana amalnya selama amal perbuatannya itu tidak dilakukan atas dasar iman yang dibawa oleh Islam. Allah SWT berfirman,
“Dan kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan” [TMQ al-Furqan (25):23].
Apa yang dimaksudkan dengan “amal mereka” di sini ialah amalan mereka yang baik-baik yang mereka kerjakan di dunia di mana amalan tersebut tidak dibalas oleh Allah kerana mereka tidak beriman (tidak beraqidah dengan aqidah Islam).
Begitu juga amal perbuatan seseorang Muslim akan gugur apabila dia murtad atau keluar dari keimanan. Iman wajib menjadi asas kepada setiap perbuatan (amal). Apabila kita ingin mengajak seorang Muslim, maka dakwah kita kepadanya adalah dakwah yang bersifat islah kerana asas yang dimiliki Muslim itu masih benar. Kita wajib membersihkan segala kotoran yang menempel dalam diri seseorang Muslim yang menyebabkan cara berfikir dan perbuatannya menjadi rosak. Jadi, selama asas keimanan masih ada, maka dia hanya memerlukan perbaikan (islah) yang boleh mensucikan, seterusnya menguatkan serta menyuburkan keimanannya semula.
Jika hal itu telah tercapai, dengan sendirinya dia akan memiliki orientasi hidup yang benar dan akan berjalan di jalan yang lurus. Dengan demikian seorang Muslim yang meminum khamr, berzina, mencuri atau melakukan transaksi riba atau berdiam diri dari aktiviti dakwah untuk menegakkan agama Allah, maka orang semacam ini memerlukan pengubatan dalam bentuk islah yang akan membersihkan imannya. Dia mesti diingatkan kepada Allah SWT yang Maha Pencipta dan Maha Pengatur yang wajib disembah dan ditaati segala perintahNya. Ketika Al-Khaliq memerintah dan melarang, maka perintah dan laranganNya itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri di dunia dan akhirat. Diingatkan pula kepadanya bahawa balasan bagi tindakan maksiat adalah dosa yang akan menjerumuskannya ke dalam neraka dan balasan bagi ketaatan adalah pahala dan syurga yang akan diperolehinya nanti pada hari Kiamat. Pemikirannya diarahkan kepada dahsyatnya hari Kiamat dan azab Jahanam serta nikmatnya syurga. Dengan demikian, keimamannya akan memacunya untuk melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Dengan cara seperti ini, tingkah laku seseorang Muslim boleh diluruskan kembali. Oleh kerana itu, tatkala kita berdakwah kepada kaum Muslimin sebagai para individu, wajib memperhatikan bahawa mereka itu adalah Muslim yang harus diperbaiki pemikiran dan tingkah lakunya.
Apa yang dapat diterapkan kepada individu juga dapat diterapkan kepada sesebuah gerakan atau Negara. Jika asas sesebuah parti itu adalah bukan Islam seperti parti kufur, parti sekular atau parti yang didirikan atas asas memperjuangkan bangsa, tanahair, feminisme, liberalisme dan seumpamanya, maka yang dilakukan adalah taghyir. Ini kerana, setiap perkara yang lahir dan terpancar darinya pasti batil. Wajib mengganti asasnya dengan asas yang benar (Islam). Bagi sesebuah Negara pula, asasnya dapat dilihat dari sejarah penubuhan dan Perlembagaannya. Sistem pemerintahan sesebuah negara adalah berdasarkan kepada Perlembagaan yang dimilikinya. Perlembagaan ini tentunya diambil dari sumber-sumber tertentu yang mana dibangun dari asas tertentu pula. Dengan mencermati Perlembagaan dan sistemnya, kita dapat menentukan apakah Negara itu adalah berasaskan aqidah Islam atau tidak.
Jika sesebuah Negara itu menjadikan Al-Quran dan Sunnah serta apa yang ditunjukkan oleh keduanya sebagai satu-satunya sumber untuk membuat Perlembagaan dan jika undang-undang yang terdapat di dalam Perlembagaan tidak keluar dari tuntutan wahyu, maka jika demikian keadaannya, Negara itu dianggap Daulah Islamiyyah. Apabila terjadi kerosakan di dalam Daulah Islamiyyah atau dijumpai adanya keburukan di dalam penerapan hukum, maka terhadap keadaan ini harus dilakukan usaha islah, bukan taghyir, kerana asas Negara masih benar. Keadaan ini seperti yang terjadi kepada Daulah Islam di masa pemerintahan beberapa orang Khalifah, termasuk semasa kekhilafah Turki Uthmani. Daulah Islam waktu itu memerlukan islah. Dengan kata lain, walaupun ada keburukan di dalam penerapan, kaum Muslimin tidak boleh melakukan pembangkangan (khuruj) terhadap Negara, apatah lagi bekerjasama dengan orang-orang kafir Barat untuk menghancurkannya seperti yang dilakukan oleh Syarif Hussien. Muhasabah perlu dilakukan terhadap pemerintah agar kesalahan dapat dibetulkan, tetapi bukannya dengan merosakkan serta menukar Negara dari Negara Islam menuju Negara sekular seperti yang dilakukan oleh Mustafa Kamal Attartuk laknatullah.
Namun jika asas Negara bukan aqidah Islam, yakni aqidah Islam tidak menjadi asas Perlembagaan, undang-undang dan peraturannya, maka apa yang dituntut di sini adalah aktiviti taghyir, bukannya islah. Contohnya adalah keadaan negara-negara tempat di mana kaum Muslimin hidup sekarang ini. Negara-negara itu bukanlah Daulah Islamiyyah kerana peraturan-peraturannya bukan berdasarkan syariat Islam (meskipun mereka mengatakan bahawa agama rasmi negara adalah adalah agama Islam). Ini adalah kerana yang menjadi ukuran adalah penerapan, bukan sekadar perkataan (pengakuan). Untuk negara-negara seperti ini, maka asasnya perlu ditukar (taghyir) yakni dari negara sekular/kufur kepada Negara Islam (Khilafah) dan sekaligus menukar Perlembagaannya kepada Perlembagaan yang mengikuti dan mematuhi wahyu.
Dengan kata lain, selama mana Perlembagaan negara-negara yang memerintah kaum Muslimin sekarang ini tidak berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, maka realiti ini memerlukan aktiviti yang bersifat taghyir iaitu merubah secara fundamental segala peraturan dan kaedah-kaedahnya. Realiti ini tidak boleh diperlakukan dengan usaha islah yang bersifat tambal sulam, melainkan dengan usaha taghyir yang bersifat total (menyeluruh). Aktiviti apa pun yang dilakukan terhadap realiti seperti ini harus didasarkan kepada asas taghyir. Tindakan islah tidak boleh dilakukan kerana ia merupakan pengakuan secara tidak langsung terhadap kewujudan sistem non-Islam tersebut. Tambahan pula hal itu meyalahi tuntutan syarak yang harus dilakukan terhadap realiti tadi kerana di dalamnya terdapat penerapan hukum yang bukan berasal dari Allah. Hukum kufur yang diterapkan di dalam sesebuah negara kaum Muslimin itu wajib diganti (taghyir) kepada hukum Islam, bukannya diperbaiki.
Oleh kerana tidak memahami dalil dengan benar, maka kita melihat banyak gerakan Islam yang cuba memperbaiki sistem dengan asas islah, telah berusaha untuk menyesuaikan diri dengan sistem tersebut dan berusaha untuk masuk menjadi sebahagiannya darinya, sehingga pemikiran-pemikiran yang dilontarkan oleh gerakan-gerakan tadi bersifat parsial dan selaras dengan realiti yang ingin diperbaikinya secara islah tadi. Gerakan-gerakan seperti ini berusaha untuk menciptakan jalur-jalur hubungan pemikiran yang dianggap boleh dijadikan titik awal untuk melakukan ‘hubungan’ antara gerakan-gerakan itu dengan pemerintah. Pemikiran-pemikiran yang dilontarkan oleh gerakan-gerakan ini ‘disesuaikan’ dan dilaraskan dengan keadaan Negara tempatnya beraktiviti. Mereka berusaha mewarnainya dengan celupan Islam, sedangkan substansinya tetap tidak Islami, agar tampil dengan baju Islam tanpa menyentuh substansinya. Di sinilah muncul satu kefahaman dan usaha yang merbahaya di mana Islam ditundukkan kepada realiti yang ada. Islam diubah agar sesuai dengan realiti, bukannya realiti yang diubah agar mengikut Islam.
Kita boleh melihat sebagai contoh di dalam negara Malaysia yang sekular ini, berapa banyak parti/gerakan Islam yang masih tetap mempertahankan Perlembagaan kufur yang dicipta oleh penjajah. Mereka tetap tunduk dan tidak mahu merubah Perlembagaan. Jika mereka tidak berpuas hati sekalipun, mereka hanya mahukan sedikit pindaan/pembaikan (islah) dilakukan kepada Perlembagaan, bukannya menukar (taghyir) Perlembagaan. Begitu juga contohnya dengan mahkamah yang ada. Mereka (gerakan Islam) yang bergerak atas dasar islah ini tetap mengakui sistem mahkamah yang ada walaupun ia jelas merupakan sistem dan bentuk mahkamah kufur yang diwarisi dari penjajah. Mahkamah dianggap zalim (tetapi tidak perlu ditukar) sekiranya memutuskan berdasarkan ‘kehendak’ badan Eksekutif. Namun mahkamah akan dianggap ‘adil’ dan ‘okay’ apabila memutuskan berdasarkan undang-undang yang ada tanpa campurtangan dari badan Eksekutif. Mereka tidak nampak bahawa mahkamah yang ada adalah mahkamah sivil (kufur) warisan penjajah yang membicarakan segala kes berdasarkan undang-undang buatan manusia, bukannya undang-undang Allah. Mereka tidak nampak bahawa sistem mahkamah itu secara keseluruhannya wajib ditukar (taghyir), bukannya diperbaiki (islah) kerana keseluruhannya bertentangan dengan Islam dan segala keputusan mahkamah sebenarnya tidak akan pernah adil selagi mahkamah tidak berhukum dengan hukum Islam. Mereka tidak nampak ini semua.
Pemikiran yang dilontarkan oleh gerakan Islam yang menginginkan islah ini sama sahaja di mana-mana negara di dunia. Ini semua adalah ‘hasil’ dari keadaan yang diciptakan oleh kafir penjajah terhadap kaum Muslimin di negeri-negeri kaum Muslimin yang mereka jajah. Oleh kerana itu, kita melihat orientasi dan aktiviti gerakan Islam di dalam meraih penyelesaian terhadap keadaan tersebut adalah lebih kurang sama dan seragam. Objektif utama dari penjajahan Barat ke atas negeri-negeri kaum Muslimin adalah menjauhkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber undang-undang hidup kita, sama ada secara individu, berjemaah mahupun bernegara. Objektif seterusnya adalah memastikan agar pemerintah dan umat Islam akan terus kekal meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah dari kehidupan, walaupun setelah mereka (Barat) keluar dari negeri-negeri kita. Barat telah berjaya melakukan taghyir ke atas negara umat Islam yang dijajahnya di mana Barat berjaya menukar Negara Islam menjadi Negara kufur/sekular dan dari menerapkan undang-undang Islam kepada menerapkan undang-undang kufur. Sungguh malang apabila masih ramai di kalangan umat/gerakan Islam yang tidak nampak hakikat ini dan tidak mahu menukar kembali (taghyir) apa yang telah Barat lakukan ke atas kita semua, namun hanya memilih jalan untuk memperbaiki (islah) sahaja apa yang Barat tinggalkan. Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa Rasulullah SAW telah berusaha melakukan taghyir di kota Mekah selama 13 tahun dari sistem kufur menuju sistem Islam dan baginda telah berjaya menukar (taghyir) dan menggabungkan Mekah menjadi Negara Islam setelah sebelumnya berjaya menegakkan Negara Islam di Madinah juga dengan jalan taghyir. Jalan taghyir inilah yang wajib diikuti oleh kita semua di dalam menggantikan sistem dan negara kufur ini kepada Negara Islam (Khilafah). Wallahu a’lam.