Kerosakan sistem Demokrasi Dalam Melindungi Remaja Dari Pornografi dan Seks Bebas

Dahulu perkataan seks dan pornografi ibarat ‘tabu’. Masyarakat tidak membicarakannya secara terbuka. Golongan remaja apatah lagi kanak-kanak malu untuk memperkatakannya. Namun ia berubah setelah ledakan teknologi maklumat, jaringan telekomunikasi dan internet yang menjadikan dunia tanpa sempadan. Semua telah maklum, isu pornografi dan seks bebas semakin parah dan moral anak-anak remaja semakin menjunam. Masyarakat sudah jemu dan muak dengan berita-berita bayi dibuang, tangkap khalwat, pelacuran dan berita-berita terkait seks bebas sehingga menimbulkan tanggapan ini semua adalah permainan media untuk melariskan jualan dan mengambil sikap tidak ambil peduli lagi.
 
Pada 22 September 2012, akhbar The Star melaporkan remaja seawal usia 12 tahun didapati hamil anak di luar nikah dan Kementerian Kesihatan melaporkan statistik 2011 iaitu daripada 18,652 remaja yang hamil, sebanyak 4,222 adalah luar nikah iaitu 30%. Jumlah ini meningkat berbanding pada tahun sebelumnya 2010 iaitu 26%. Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. [Sumber: http://www.bharian.com.my/ (9/3/2010) diakses pada 17/10/2012]. Secara purata 6 orang bayi luar nikah lahir di negara ini bagi setiap jam dalam tempoh tiga tahun mulai 2008.
 
Lebih parah lagi apabila remaja bertindak nekad menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang tidak berdosa itu. Statistik kes buang bayi melaporkan peningkatan kadar kes dari tahun 2009 (79 kes), 2010 (91 kes), 2011 (98) dan setakat Julai 2012, 31 kes telah dilaporkan [Sumber: http://www.mstar.com.my/ (6/7/2012), diakses pada 17/10/2012]. Pembuangan bayi dilakukan dengan pelbagai cara zalim, samada dibuang dalam semak, dalam tong sampah, di dalam mangkuk tandas, di kuburkan hidup-hidup, dihanyutkan dalam sungai dan yang terbaru dicampak melalui tingkap. Majoriti pelakunya adalah remaja bawah umur yang masih di bangku sekolah atau pelajar institut pengajian tinggi.
 
Laporan-laporan tersebut memberitahu secara langsung kepada masyarakat bahawa pintu-pintu zina sudah terbuka seluas-luasnya. Generasi muda mudah mendapat akses terhadap bahan-bahan lucah dan pornografi dengan adanya kemudahan internet yang menyalurkan terus ke dalam rumah masing-masing. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan telah menjadi budaya. Bercinta sebelum kahwin atau bersentuhan antara bukan mahram sudah tidak asing lagi. VCD, buku dan majalah lucah sangat mudah didapati. Keadaan ini menjadi pencetus gelora remaja dan anak-anak sehingga teruja mencubanya.
 
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh banyak pihak untuk membendung gejala pornografi dan seks bebas. Pada tahun 2007 Kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) telah dilancarkan untuk memupuk kesedaran tentang bahaya zina. Seterusnya, Kempen ‘Kami Prihatin’ telah dilancarkan pada 12 April 2010. Kempen ini untuk mencetuskan rasa keinsafan dalam kalangan masyarakat dalam isu pembuangan bayi. Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan CARE) melancarkan Baby Hatch pada 29 Mei 2010. Kewujudan Baby Hatch tidak bertujuan menggalakkan kes kehamilan luar nikah, sebaliknya menyelamatkan bayi yang dibuang. Di peringkat sekolah, Pendidikan Reproduksi dan Kesihatan di masukkan dengan tujuan memberi informasi tentang seks selamat dan menghindari kehamilan. Terbaru Sekolah Harapan ditubuhkan untuk memberi alternatif kepada remaja hamil agar dapat meneruskan persekolahan.
 
Punca Seks Bebas dan Pornografi: DEMOKRASI
 
Seks bebas dan pornografi yang berleluasa ini merupakan kesan daripada penerapan sistem demokrasi. Sistem demokrasi adalah sistem pemerintahan yang diasaskan daripada fahaman Sekularisme, iaitu pemisahan agama daripada kehidupan. Di bawah label demokrasi, kehidupan beragama hanya sebatas ibadah ritual dan spiritual sahaja. Agama tidak ada fungsi dalam pengurusan umum  kehidupan. Tindakan dan perbuatan manusia dalam semua aspek kehidupan diatur sendiri oleh manusia samada di bidang pemerintahan, ekonomi, sosial budaya dan sebagainya. Ertinya manusia secara mutlak berhak mencipta dan menggubal atau mengubah undang-undang sendiri sebebasnya.
 
Tunggak utama demokrasi ialah liberalisme (kebebasan) individu, di mana setiap individu bebas berperilaku dan bergaul dengan sesiapa pun dan bagaimana cara pun. Pornografi dan seks bebas adalah gambaran kebebasan perilaku dan interaksi antara lawan jenis. Dalam pandangan liberal, naluri seksual manusia boleh dilampiaskan dengan sesiapa sahaja dan bila-bila masa sahaja tanpa ada syarat pernikahan. Dramatik sekali kerana perilaku sebegini serupa dengan perbuatan haiwan yang bebas menunaikan hajat seksualnya.
 
Dalam sistem demokrasi,  kebebasan pemilikan dijamin   sepenuhnya. Pandangan hidup menilai manfaat dan keuntungan material sebagai tujuan dan standard kehidupan. Bukan halal-haram seperti dalam syariat Islam. Maka dalam lingkungan masyarakat kini, perniagaan pusat-pusat pelacuran, rumah urut dan pelbagai khidmat seks bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan menjadi sumber keuntungan banyak pihak.  Sesiapa sahaja bebas mencari rezeki dari sumber-sumber sebegini kerana undang-undang demokrasi telah meng’halal’kannya selagi mempunyai lesen perniagaan. Industri yang meng-arah kepada isu seksual semakin komersial dan menjana pendapatan yang tinggi atas permintaan ramai terhadap filem dan drama, buku-buku, majalah, lagu dan muzik yang kesemua itu menjadi pencetus dan mendorong naluri seksual.
 
Harus diingat, sistem demokrasi yang diterapkan oleh negara bertunjangkan prinsip manfaat dan kebebasan, maka selagi ada permintaan, industri seksual, pornografi, minuman keras, perjudian akan terus diizinkan. Undang-undang sistem demokrasi dalam negara tidak mampu menutup industri ini kerana demokrasi menjaga hak kebebasan perilaku individu dan hak pemilikan individu. Usaha-usaha murni badan-badan bukan kerajaan juga tidak berupaya melindungi remaja dan generasi muda selagi dasar kebebasan dalam demokrasi menjadi prinsip perlembagaan negara. Ketika negara mengejar kebendaan dan keuntungan, ketika itulah moral dan akhlak generasi muda tergadai tahun demi tahun.
 
Keruntuhan moral dan akhlak bukan satu-satunya impak daripada penerapan sistem demokrasi. Krisis politik, ekonomi, budaya dan pelbagai krisis telah menjatuhkan negara pengamal demokrasi. Sistem demokrasi hanyalah mimpi ngeri yang mencetuskan kerosakan yang tidak terbendung dan membawa penderitaan kepada masyarakat. Saat ini, kita harus sedar dengan pemikiran yang jernih bahawa sistem kehidupan yang ideal dan benar hanyalah yang datang daripada Allah SWT.
 
Islam adalah ideologi (mabda’) yang mengatur seluruh aspek kehidupan. Baik yang berkaitan politik, undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Sistem Islam melahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa individu dan masyarakat seluruhnya kerana kesesuaiannya dengan fitrah dan akal. Islam memiliki model    masyarakat yang khas dan unik. Daripada aqidah Islam, terpancar peraturan kehidupan (nidzham al-hayat) yang menjamin keadilan dan kebahagiaan hakiki. Sistem Islam mampu menjaga akal, kehormatan, jiwa, harta, agama, keamanan dan negara.
 
Penyelesaian Dalam Islam
 
Dalam sistem pergaulan, Islam menjamin ketenteraman hidup dengan mengatur hubungan antara lelaki dan wanita dengan asas akidah dan hukum syariat yang menciptakan ketinggian akhlak. Pergaulan antara lelaki dan wanita dalam Islam menetapkan bahawa naluri seksual semata-mata untuk melestarikan keturunan manusia. Islam menjaga naluri seksual agar ianya disalurkan dengan cara yang dibenarkan, bukan mengikut kehendak nafsu sebebasnya. Islam melarang semua anasir yang mendorong terjadi hubungan bersifat seksual yang tidak disyariatkan. Larangan ini bersikap tegas dan dikenakan hukuman demi menjaga sifat iffah (kehormatan)  dalam masyarakat. Dalam sistem pergaulan Islam, ada sejumlah hukum syarak yang wajib diikuti untuk menjaga interaksi dan pergaulan dalam masyarakat:
 
Pertama: Islam memerintahkan kepada lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan (an- Nur: 30-31).
 
Kedua: Islam memerintahkan wanita untuk memakai pakaian secara sempurna iaitu tudung (an-Nur: 31) dan jilbab (al-Ahzab: 59).
 
Ketiga: Tidak dibolehkan seorang wanita melakukan perjalanan lebih dari sehari  semalam, jauh dari tempat yang aman tanpa disertai oleh mahram. Rasulullah SAW bersabda:
 
Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir melakukan safar (bepergian) selama satu hari satu malam yang tidak disertai mahramnya [HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, At Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad].
 
Keempat: Larangan berkhalwat (berdua-duaan antara lelaki dan perempuan). Rasulullah SAW bersabda:
 
Janganlah sekali-kali seorang lelaki dan wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya [HR Bukhari].
 
Kelima: Larangan bagi wanita keluar rumah tanpa keizinan suaminya.
 
Keenam: Islam mengharuskan kaum lelaki terpisah dari kaum wanita.
 
Ketujuh: Islam mengharuskan mu’amalah antara lelaki dan wanita hanya dalam per-hubungan yang bersifat umum sahaja bukan bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara lelaki dan wanita atau pergi bersama ke majlis.
 
Hukum syarak yang mengatur pergaulan lelaki dan wanita mampu menjaga kehormatan dan akhlak masyarakat kerana semua pintu-pintu mengarah kepada seks bebas seperti membuka aurat, tayangan lucah atau khalwat di tutup serapat-rapatnya.
 
Prinsip hukum pergaulan dalam Islam dilanjutkan lagi dengan penerapan hukuman (uqubat) yang tegas dan tiada pilih kasih. Hukuman tersebut berfungsi sebagai pencegah dan penebus. Sebagai pencegah kerana ancaman hukuman akan menimbulkan kegerunan kepada orang lain dan mencegahnya untuk melakukan hal yang serupa. Sebagai penebus, kerana dalam Islam, individu yang telah dijatuhi hukuman di dunia, hukuman itu akan menjadi penebus dosa diakhirat kelak.
 
Sebagai contoh, hukuman kepada penzina yang belum menikah akan dihukum dengan 100 kali sebatan, sementara penzina yang sudah menikah dihukum rejam sehingga mati. Dalam kes pornografi, Islam tetap memberikan hukuman ta’zir kepada semua kegiatan yang melanggar kehormatan seperti penjara dan sebatan.
 
Keunggulan Islam dalam Melindungi Generasi
 
Islam melindungi generasi dengan penerapan sistem dan syariat Islam melalui tiga komponen utama.     
 
Pertama, negara wajib melindungi seluruh masyarakat termasuk anak-anak dari kerosakan moral dan kegiatan seksual dengan menerapkan hukum syarak yang sesuai dengan fitrah manusia secara menyeluruh (kaffah). Semua pintu-pintu mendorong zina dan seks bebas dicegah seperti mengharamkan rumah pelacuran dan perniagaan bahan pornografi. Negara wajib mengawal media seperti tayangan televisyen dan bahan bacaan daripada intipati berbaur seks dalam masyarakat. Negara juga wajib menyelenggarakan sistem pendidikan dengan kurikulum yang Islami agar masyarakat terbentuk dengan syakhsiyyah Islam.
 
Kedua, kawalan ketat oleh masyarakat. Masyarakat melakukan amar makruf nahi mungkar dalam memastikan kehormatan dan akhlak terjaga dengan mengawasi perilaku dan perbuatan anggota-anggota masyarakat yang bertentangan dengan hukum syarak Islam. Masyarakat juga wajib mengawasi pemerintah yang melanggar hak-hak Allah atau sebarang bentuk penyelewengan. Melalui kawalan oleh masyarakat, suasana masyarakat terjaga dan menjadi tempat pertumbuhan akhlak yang baik untuk generasi.
 
Ketiga, ketaqwaan individu.  Peraturan Allah SWT dengan  mudah diterapkan oleh setiap individu yang memiliki ketaqwaan dan keimanan yang kukuh kepada Musyarri’ (Sang pembuat Hukum). Ketaqwaan dan keimanan ini terbina dengan cara pembinaan intensif (tatsqif murakkazah), membentuk keperibadian Islam (syakhsiyah Islamiyyah) dan membekalkan setiap individu dengan ilmu-ilmu Islam (tsaqafah Islamiyyah) sehingga setiap individu tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman sekularisme seperti hak asasi manusia, asas manfaat atau kebebasan.
 
Oleh itu peranan keluarga sebagai asas permulaan dan pertahanan kaum muslim harus mampu melahirkan generasi muslim yang mampu menangkis segala bentuk serangan pemikiran. Ibu bapa wajib mendidik anak-anak dengan teladan yang baik, kebiasaan-kebiasaan Islami, mengajarkan hukum-hukum dan prinsip Syarak, membekalkan dengan motivasi iman yang berterusan dan mengenakan hukuman sewajarnya jika anak-anak menyalahi aturan Allah. Pendidikan anak-anak dimulakan dengan pengukuhan akidah, pengajaran akhlak yang mulia, mengenalkan peraturan pergaulan, perintah menutup aurat, menjaga pandangan, larangan berkhalwat dan sebagainya.
 
Khatimah
 
Sesungguhnya masalah kerosakan dan keruntuhan akhlak anak-anak bukanlah masalah yang berdiri sendiri, bukan juga masalah sebatas keluarga sahaja. Masalah ini adalah suatu masalah kompleks yang melibatkan elemen individu, keluarga, masyarakat dan negara. Penegakan syariat Islam dan hukum-hukum Allah hanya akan berlangsung apabila ketiga-tiga elemen ini menerapkan sistem yang berasal dari ideologi Islam. Setiap keluarga muslim harus berusaha melahirkan generasi yang terbaik. Masyarakat juga harus saling menguatkan antara satu sama lain dengan amar makruf nahi mungkar. Seterusnya adalah negara sebagai institusi pertahanan yang memiliki kekuatan untuk menerapkan sistem Islam dalam semua aspek dan melindungi masyarakat dari virus-virus fahaman asing yang meruntuhkan generasi dan melemahkan masyarakat.
 
Wallahua’lam. [Nahdhah Fikriyyah (Edisi 6)]