SN298 – SYURA BUKAN DEMOKRASI
Hal ini dibuktikan lagi oleh af’al(perbuatan-perbuatan) Rasulullah SAW dalam kebanyakan urusan/polisi di mana Rasulullah SAW mengambil keputusan tanpa bermusyawarah dengan para sahabat seperti dalam pengangkatan para wali (gabenor), pengangkatan para qadhi (hakim), para kuttab (setiausaha), para pemimpin sariyah (pasukan perang), penandatanganan gencatan senjata dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa hukum syura adalah mandub dan bukannya wajib. Justeru, melakukannya akan mendapat pahala, manakala meninggalkannya tidak berdosa.
Siapakah yang berhak melakukan syura di dalam sesebuah Negara Islam? Syura sesungguhnya adalah hak kaum Muslimin semata-mata. Ertinya, setiap sahib as-solahiyah seperti Khalifah, ketika hendak meminta atau mengambil pendapat, ia tidak mengambilnya kecuali dari kaum Muslimin. Tegasnya, syura adalah proses pengambilan pendapat yang khusus di kalangan sesama orang Islam sahaja. Tidak boleh dalam syura mengambil pendapat dari orang kafir, meskipun boleh (ja’iz) bagi orang kafir menyampaikan pendapat (ibda’ ar-ra’y) mereka kepada orang Islam dan boleh bagi orang Islam mendengar pendapat (sama’ ar-ra’y) dari orang kafir tersebut. Kekhususan syura hanya untuk kaum Muslimin, ditunjukkan oleh firman Allah SWT yang hanya ditujukan kepada orang-orang Islam,
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu (Ya Rasulullah) berlaku lemah lembut terhadap mereka (kaum Muslimin). Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka…” [TMQ Ali Imran (3):159].
Ayat ini menunjukkan bahawa sikap Rasulullah SAW seperti memohonkan ampunan kepada Allah, tidak baginda lakukan, kecuali bagi kaum Muslimin sahaja. Ini kerana, Allah telah melarang Nabi SAW memohon ampunan untuk orang musyrik (Lihat At-Taubah:113). Maka, demikianlah juga musyawarah, ia tidak dilakukan oleh Rasulullah kecuali dengan kaum Muslimin sahaja.
Syura Dan Suara Majoriti
Satu persoalan yang juga perlu difahami dengan benar adalah, apakah dalam musyawarah, pendapat yang diambil “mesti” berdasarkan suara majoriti seperti halnya dalam sistem demokrasi? Sebagaimana diketahui umum, dalam sistem demokrasi, suara majoritilah yang menjadi penentu kepada segala bidang permasalahan. Undang-undang boleh digubal, dipinda dan dimansuhkan sesuka hati apabila majoriti bersetuju untuk berbuat demikian. Sedangkan dalam syura, kriteria pendapat yang diambil adalah bergantung kepada bidang permasalahan yang dimusyawarahkan. Ringkasnya adalah sebagaimana berikut:-
Pertama: Dalam masalah penetapan hukum syara’ (at-tasyri’), kriterianya langsung tidak bergantung kepada pendapat majoriti atau minoriti, melainkan kepada nas-nas syara’ (nas Al-Qur’an dan As-Sunnah) semata-mata. Ini adalah kerana, yang menjadi Pembuat Hukum (Musyarri/The Law Maker) hanyalah Allah SWT, bukan umat atau rakyat. Manakala pihak yang mempunyai autoriti untuk melakukan tabanni (adoption/melakukan proses penerapan) hukum syara’ adalah Khalifah seorang sahaja, bukannya Majlis Umat. Khalifah tidak wajib meminta pendapat Majlis Umat mengenai hukum syara’ yang akan ditabanni, meskipun hal ini boleh dilakukannya. Jika Khalifah meminta pendapat Majlis Umat sekalipun, maka pendapat Majlis Umat tidak mengikat Khalifah, meskipun pendapat itu diputuskan berdasarkan suara bulat atau suara majoriti.
Dalilnya adalah kerana Rasulullah SAW sendiri mengenepikan pendapat kaum Muslimin yang menolak Perjanjian Hudaibiyah, padahal pendapat kaum Muslimin waktu itu merupakan pendapat majoriti. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya aku ini adalah hamba Allah dan utusanNya dan sekali-kali aku tidak akan menyalahi perintahNya” [HR. Bukhari dan Muslim]. Hal ini menunjukkan bahawa apabila suatu urusan itu adalah perintah Allah, maka pendapat majoriti langsung tidak mengikat, malah langsung tidak berguna, kerana yang wajib dipatuhi adalah perintah Allah, bukannya pendapat majoriti.
Kedua: Dalam masalah yang berhubungan dengan aspek-aspek kepakaran, profesionalisme dan idea-idea yang memerlukan keahlian, pemikiran dan pertimbangan yang mendalam, maka yang dijadikan kriteria adalah “ketepatan atau kebenarannya”, bukan berdasarkan suara majoriti atau suara bulat. Jadi, masalah yang timbul mestilah dikembalikan kepada para ahlinya yang kompeten (layak). Merekalah yang dapat memahami permasalahan yang ada dengan tepat dan benar. Oleh yang demikian, masalah-masalah ketenteraan contohnya hendaklah dikembalikan kepada para pakar ketenteraan, masalah-masalah fiqh dikembalikan kepada para fuqaha dan mujtahidin, masalah-masalah berkaitan perubatan dikembalikan kepada para doktor dan spesialis, masalah-masalah kejuruteraan dikembalikan kepada para jurutera , masalah-masalah idea/gagasan dikembalikan kepada para ahli fikir dan demikianlah seterusnya.
Dalil untuk ketentuan ini adalah peristiwa di mana Rasulullah SAW mengikuti pendapat Hubab bin Al Mundzir pada Perang Badar di mana Hubab merupakan pakar dalam tempat-tempat strategik, khususnya di Badar sendiri. Beliau mengusulkan kepada Nabi SAW agar meninggalkan tempat yang dipilih Nabi, sekiranya tempat yang dipilih oleh baginda itu bukan berdasarkan wahyu. Hubab memandang bahawa tempat tersebut tidak sesuai untuk strategi pertempuran dan mencadangkan tempat lain yang tidak jauh dari situ. Rasulullah SAW mengikuti pendapat Hubab dan berpindah ke tempat yang ditunjukkan oleh Hubab memandangkan Hubab adalah pakar strategi di waktu itu. Jadi Rasulullah SAW telah meninggalkan pendapatnya sendiri dan tidak pun meminta pertimbangan kepada para sahabat lainnya dalam masalah tersebut.
Ketiga: Masalah-masalah yang bersangkutan dengan tindakan (bersifat praktis) yang tidak memerlukan pemikiran dan pertimbangan mendalam dan tidak melibatkan pembuatan undang-undang di dalamnya, maka suara majoriti boleh dijadikan pertimbangan. Ini kerana, majoriti orang dapat memahaminya dan dapat memberikan pendapatnya dengan mudah menurut pertimbangan kemaslahatan yang ada. Masalah-masalah seperti ini contohnya, apakah kita akan memilih si A atau si B (sebagai ketua), apakah kita akan keluar kota atau tidak, apakah kita akan menempuh perjalanan pada pagi hari atau malam hari, apakah kita akan naik kapal terbang, kapal laut atau kereta api dan lain-lain lagi. Masalah-masalah seperti ini dapat dijangkau oleh setiap orang sehingga mereka dapat memberikan pendapatnya. Oleh kerana itu, dalam masalah-masalah seperti ini suara majoriti dapat dijadikan pedoman dan bersifat mengikat.
Dalilnya adalah apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika Perang Uhud di mana Rasulullah SAW dan para sahabat senior berpendapat bahawa kaum Muslimin tidak perlu keluar dari kota Madinah (untuk melawan musuh). Sedangkan majoriti sahabat dari kalangan para pemuda, berpendapat bahawa kaum Muslimin hendaklah keluar dari kota Madinah untuk menghadapi kaum Quraisy. Jadi, pendapat yang ada berkisar di antara dua pilihan iaitu sama ada keluar kota atau tidak. Oleh sebab majoriti sahabat berpendapat untuk keluar kota Madinah, maka Nabi SAW mengikuti pendapat mereka dan mengabaikan pendapat para sahabat senior, lalu berangkat menuju Uhud (yang terletak di luar kota Madinah) untuk menghadapi pasukan Quraisy.
Perbezaan Antara Syura Dan Demokrasi
Dari penjelasan ringkas di atas, kita dapat memahami bahawa adanya perbezaan mendasar antara syura dan demokrasi. Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya Ad-DimuqratiyyahNidzam Al-Kufur membandingkan sekali gus membezakan antara demokrasi dan syura dengan menukil“Demokrasi bukanlah syura, kerana syura ertinya adalah meminta pendapat (thalabar-ra’y) sedangkan demokrasi adalah sebuah pandangan hidup dan kumpulan ketentuan untuk seluruh konstitusi, undang-undang dan sistem (pemerintahan)…” . Syura hanyalah sebuah mekanisme pengambilan pendapat dalam Islam, sebagai sebahagian dari proses sistem pemerintahan Islam (Khilafah). Sedangkan demokrasi bukanlah sekadar proses pengambilan pendapat berdasarkan majoriti, bahkan ia adalah sebuah jalan hidup (the way of life) yang holistik yang termanifestasi dalam sistem pemerintahan menurut peradaban Barat. Abraham Lincoln meringkaskan definisi demokrasi dengan kata-katanya yang terkenal bahawa ia adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Inilah hakikat demokrasi yakni sebuah pemerintahan yang mana undang-undangnya dibuat oleh manusia!
Bagi golongan yang berfikir secara cetek, memang ternampak ada kemiripan antara syura dan demokrasi. Kemiripan itu ialah, dalam syura terdapat proses pengambilan pendapat berdasarkan suara majoriti (seperti apa yang terjadi dalam Perang Uhud) dan dikatakan sama dengan demokrasi yang juga mengambil pendapat secara majoriti. Namun dengan mencermati penjelasan tentang syura secara jernih, masalah kemiripan ini akan hilang dengan sendirinya. Ini kerana, di dalam Islam, tidak semua perkara boleh disyurakan (khususnya dalam penggubalan undang-undang) dan tidak semua syura perlu tunduk kepada suara majoriti. Hal ini sangat berbeza dengan demokrasi yang selalu menggunakan kriteria suara majoriti untuk segala bidang permasalahan, khususnya pembuatan undang-undang. Selain itu, syura hanyalah hak kaum Muslimin yang dilaksanakan di antara sesama umat Islam ketika mereka berbeza dan bertukar-tukar pendapat dalam mengambil suatu keputusan. Ini jelas berbeza dengan demokrasi yang menjadikan Muslim dan non-Muslim bercampur-aduk untuk menetapkan suatu keputusan.
Demokrasi lahir dari falsafah sekularisme ciptaan manusia, sebaliknya syura lahir dari aqidah Islam dan merupakan hukum syara’ yang dilaksanakan sebagai sebahagian dari perintah Allah SWT. Selain salah dalam aspek fundamental dan aspek aplikasi apabila disamakan antara demokrasi dan syura, kesalahan lainnya adalah kerana ia melibatkan perbandingan dua perkara secara tidak seimbang. ‘Sistem’ seharusnya dibandingkan dengan sistem, manakala ‘proses’ di dalam sistem juga seharusnya dibandingkan dengan proses di dalam sistem. Oleh yang demikian, sekiranya perbandingan ingin dilakukan, ‘sistem demokrasi’ seharusnya dibandingkan dengan ‘sistem Khilafah’, bukannya dengan syura. Manakala konsep ‘syura’ seharusnya dibandingkan dengan prinsip ‘suara majoriti’ (Parlimen atau Dewan Undangan Negeri) dan bukannya membandingkan syura dengan demokrasi. Ini barulah perbandingan yang tepat secara intelektual. Apabila dibandingkan Parlimen dalam sistem demokrasi dengan syura dalam sistem Islam, sekali lagi kita akan melihat jurang perbezaan yang amat ketara, dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya.
Sebagai salah sebuah tanah jajahan British, sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berasal (dan ditiru) dari sistem Westminster yang berasal dari negara kafir penjajah itu sendiri. Konsep Parlimen yang terdiri dari dua dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) adalah saling tak tumpah dengan konsep House of Commons dan House of Lords di United Kingdom. Fungsi utama kedua-dua dewan iaitu pembuatan undang-undang merupakan ciri khas yang diamalkan dalam sistem demokrasi berparlimen ini, yang dilakukan melalui bacaan pertama, bacaan kedua dan bacaan ketiga dan seterusnya hinggalah suatu undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti. Hal ini sesungguhnya tidak ada dalam Islam, malahan bertentangan sama sekali dengan Islam. Hanya akal yang tidak waras sahaja boleh mengatakan bahawa hal ini sama dengan Islam!
Begitulah seterusnya dengan setiap aturan dan rincian yang ada di Parlimen yang amat bertentangan dengan Islam. Umum mengetahui bahawa ahli-ahli Parlimen adalah kebal dari undang-undang mengenai apa sahaja yang mereka perkatakan di Parlimen. Kerana itulah kita menyaksikan segala fitnah, caci-maki, kata-kata kesat, perbuatan yang tidak berakhlak dan tidak beradab, segala-galanya berlangsung di Parlimen tanpa ada sekatan dan tanpa ada dakwaan. Segala-galanya dilakukannya seolah-olah tidak ada dosa ke atas mereka untuk berbuat demikian, semata-mata kerana aturan Parlimen telah “menghalalkan” perbuatan-perbuatan tersebut! Adakah Islam membolehkan semua hal ini? Justeru, adakah sama konsep Parlimen dalam sistem demokrasi dengan konsep syura di dalam Islam? Sungguh begitu jelasnya perbezaan di antara syura dan demokrasi sehingga tidak menghairankan apabila ada yang berpendapat bahawa menyamakan syura dengan demokrasi adalah umpama menyamakan seorang manusia dengan seekor monyet. Walaupun kedua-duanya nampak “sama” kerana mempunyai bentuk tubuh yang sama, mempunyai kepala, mata, hidung, mulut, badan, dua tangan dan dua kaki, namun hakikatnya ia langsung tidak sama. Manusia tetaplah manusia dan monyet tetaplah monyet, tidak ada persamaan di antara keduanya dan tidak akan pernah ada persamaan di antara keduanya!
Khatimah
Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa sesungguhnya syura itu tidak sama dengan demokrasi mahupun Parlimen. Syura bukanlah demokrasi, kerana syura adalah pengambilan pendapat (dalam perkara yang dibolehkan oleh Islam) sedangkan demokrasi adalah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat yang berasaskan pada idea sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan. Ingatlah bahawa sistem demokrasi telah dijadikan senjata ampuh oleh Barat untuk menghancurkan Islam. Semua ini telah dirancang oleh Barat ketika Daulah Islam mulai melemah dan ketika Khilafah hancur pada tahun 1924, Barat segera meracuni pemikiran umat Islam dengan menyebarkan idea bahawa Islam adalah agama demokratis, bahawa demokrasi berasal dari ajaran Islam atau boleh diambil oleh Islam sebagai sebuah sistem pemerintahan yang baik kerana berteraskan musyawarah (syura). Sesungguhnya sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa demokrasi adalah sebahagian dari ajaran Islam atau mengatakan demokrasi adalah syura itu sendiri, ini bererti bahawa dia telah berjaya diracun oleh Barat untuk turut menghancurkan Islam dan menyesatkan umat Islam. Propaganda demokrasi yang palsu dan penuh kedustaan ini tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencegah bangkitnya Islam melalui sistem pemerintahan sebenar Islam yakni sistem Khilafah, sekali gus bertujuan untuk melestarikan hegemoni ideologi kapitalis-demokratik yang kufur di seluruh dunia, agar umat Islam tetap terus-menerus hidup dalam ketertindasan, penderitaan dan kesengsaraan di dunia dan akhirat.