SN300 – SYRIA PERLUKAN KHILAFAH

SN keluaran 30 Mac 2012

  alt
 
SYRIA PERLUKAN KHILAFAH

[SN300] Krisis di Syria semakin memuncak. Pembunuhan kejam tidak henti-henti dilakukan oleh rejim al-Assad saban hari tanpa mengira waktu dan tanpa mengira mangsa sama ada wanita, kanak-kanak mahupun orang tua. Semuanya dilibas oleh diktator kejam ini tanpa peri kemanusiaan. Dalam masa yang sama, pelbagai pihak cuba campur tangan di bumi Syam itu demi mencapai kepentingan masing-masing. Seperti biasa, pihak yang paling sibuk dengan krisis umat Islam ini ialah Barat! Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak pernah melepaskan pandangan mereka terhadap Syria. Namun, dalam masa yang sama, Rusia dan China juga tidak terkecuali. Terbaru, Majlis Keselamatan PBB menuntut Syria melaksanakan segera pelan damai yang dikemukakan oleh utusan khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan. Rusia dan China yang menyekat dua resolusi berhubung Syria sebelum ini pun, turut menyokong satu kenyataan Majlis Keselamatan yang menggesa Presiden Bashar al-Assad mengambil langkah untuk menghentikan pertempuran dan memulakan peralihan kepada demokrasi.
Sesungguhnya campur tangan kuasa kuffar ke atas negeri-negeri umat Islam di sepanjang revolusi yang berlaku sejak di Tunisia hinggalah ke Syria kini, bukanlah satu perkara yang boleh dianggap remeh. Ia adalah usaha berterusan pihak musuh Allah itu untuk terus mendominasi umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin. Umat Islam hendaklah sentiasa waspada dan menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan mereka kerana ia bukan sahaja akan membawa keburukan kepada umat Islam, malah ia adalah haram dari segi syarak. Sesungguhnya campur tangan Barat adalah kerana ingin memastikan bahawa Negara Khilafah tidak akan tegak kembali, khususnya di bumi Syam. Tegaknya kembali Khilafah merupakan sebuah mimpi ngeri kepada Barat. Mereka tidak mahu perkara ini berlaku dan mereka telah menghalangnya dari awal dan dari setiap aspek. Sekiranya revolusi umat Islam berjaya menumbangkan pemimpin diktator yang selama ini dibela oleh Barat dan terlantiknya seorang Khalifah sebagai pemimpin umat Islam, maka hal ini merupakan suatu yang sangat merbahaya bagi Barat.

Oleh kerana Barat tahu bahawa diktator belaan mereka sudah dibenci oleh rakyat dan tidak dapat bertahan lama lagi, maka Barat berpura-pura membenci para diktator ini dan melaungkan negara demokrasi. Barat yang kafir ini cuba mengalihkan perhatian umat Islam dari sebuah negara diktator kepada negara demokrasi atas alasan ia adalah negara yang terbaik untuk umat Islam. Oleh sebab itulah, kita mendengar di sepanjang Arab Spring ini seruan untuk menubuhkan sebuah negara sivil demokratik bagi menggantikan pemerintahan diktator yang sedia ada.

Sebelum kita menjawab apakah maksud dan jenis negara sivil demokratik ini, harus difahami terlebih dahulu fakta revolusi umat yang kini masih berterusan di tanah Arab. Hakikatnya, revolusi ini merupakan manifestasi dari dua hal: (i) hilangnya rasa takut umat terhadap para penguasa mereka, yang jelas-jelas telah memerintah dengan kuku besi dan menindas mereka serta menjadi pelayan negara kafir penjajah selama beberapa dekad (ii) kembalinya kesedaran dan perasaan keIslaman mereka setelah selama ini Islam benar-benar dijauhkan dari kehidupan mereka. Dua hal inilah yang setidak-tidaknya mendorong umat Islam di Timur Tengah untuk bangkit melakukan penentangan, baik di Tunisia, Mesir, Libya, Yemen dan terakhir Syria. Kerana itu, revolusi ini merupakan fakta nyata kebangkitan umat dari pelbagai penderitaan dan penindasan yang selama ini terjadi. Dengan kata lain, gerakan perubahan ini adalah murni datangnya dari umat dan bukannya sebuah rekayasa.

Istilah ‘negara sivil’ (civil state atau daulahmadaniyyah) adalah istilah yang dibuat oleh Amerika dan negara-negara kafir penjajah lainnya, sebagai alternatif menggantikan ‘negara militer’ (military state atau daulah ‘askariyyah). AS cuba menggambarkan bahawa masalah yang menimpa umat Islam selama ini adalah seolah-olah kerana wujudnya negara militer yang kuku besi, atau tidak wujudnya kebebasan bersuara (freedom of speech) atau kerana negaranya tidak demokratik. Padahal masalah utama umat Islam adalah kerana Islam tidak diterapkan dalam kehidupan mereka. Umat Islam yang sedar dan faham akan hal ini bangkit dan menuntut penegakan syariah dan Khilafah. Namun, AS berjaya ‘membengkokkan’ sebahagian besar umat Islam dengan menggunakan tokoh-tokoh dan gerakan keagamaan, seperti gerakan Ikhwan dan Salafi. Mereka ini tidak mengerti bahawa konsep ‘negara sivil’ hanyalah wajah lain dari negara sekular, yang hakikatnya merupakan punca utama kepada penindasan yang berlaku ke atas mereka selama ini.

Kerana itu, konsep ‘negara sivil’ pada dasarnya adalah konsep negara yang menjadi antitesis dari ‘negara militer’. Jika di dalam ‘negara militer’ ruang dan kebebasan masyarakat dipersempit, bahkan hampir tidak ada, kerana telah dirampas oleh penguasa kuku besi, dalam ‘negara sivil’ rakyat dilihat diberi ruang dan kebebasan untuk berpolitik dan berkuasa. Malah, suara rakyat dianggap suara keramat, sesuai dengan moto mereka voxpopulivoxdei (suara rakyat suara Tuhan). Meskipun demikian, baik ‘negara sivil’ mahupun ‘negara militer’ adalah sama-sama merupakan negara sekular yang menolak peranan agama dalam pemerintahan, yakni menolak hukum Allah untuk dijadikan undang-undang negara. Dengan kata lain, keduanya adalah sama-sama merupakan bentuk negara yang bertentangan dengan Islam. Bahkan dengan tegas boleh disebut sebagai konsep kufur, yang sama sekali tidak ada kaitannya dengan Islam. Jika pun keduanya sama-sama menerima Islam, Islam diterima hanya sebagai ‘nilai’, bukan dalam bentuk Islam yang sebenar sebagai Deen yang terdiri dari akidah dan sistem yang mengatur kehidupan manusia secara sempurna.

Kesimpulannya, ‘negara sivil demokratik’ adalah sebuah negara kufur dan hanyalah sebuah rekayasa Barat di dalam mengelabui dan menyesatkan umat Islam agar umat yang mulia ini tidak kembali kepada Negara Khilafah sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. HizbutTahrir menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kesesatan yang dibawa oleh kuffar Barat yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan umat Islam. HizbutTahrir menyeru agar seluruh kaum Muslimin bersama-sama berganding bahu untuk mewujudkan Negara Khilafah, yang bukan sahaja sebuah kewajiban, malah telah dijanjikan oleh Allah melalui lisan Nabi Muhammad SAW akan kewujudannya untuk kali yang kedua. Dalam kesempatan ini, kami sekali lagi memaparkan nasyrah dari tanah Syam yang berupa seruan kepada setiap orang yang beriman.

 

Seruan Kepada Penduduk Syria, Ulama, Golongan Yang Mempunyai Kekuatan Dan Umat Islam Seluruhnya
Menjelang fajar hari Khamis 15 Mac 2012, revolusi yang penuh berkat di Syria telah memasuki tahun yang kedua. Tahun lepas merupakan tahun yang amat tragik, dipandang dari sudut mana sekalipun, di mana rejim penjenayah Syria telah melakukan kekejaman melampau, yang sesungguhnya membuktikan bahawa ia adalah musuh utama rakyat Syria yang beriman. Mereka (rakyat yang bangkit) telah membuktikan bahawa mereka hidup di atas keimanan. Mereka telah menunjukkan tahap kesabaran yang paling tinggi, kekuatan, pengorbanan dan keteguhan untuk menukar rejim dan membuangnya ke bakul sampah sejarah. Mereka telah menyirami tanah Syam yang diberkati itu dengan darah-darah mereka yang mulia, setelah mereka memecahkan segala benteng ketakutan dengan kaki-kaki mereka dan mereka terus tegar dengan perjuangan untuk menghumban diktator Syam dan pihak berkuasa rejim yang penuh kejahatan, bersama kesemua pasukan keselamatan, media yang menjadi alatnya dan siapa sahaja yang mempertahankan rejim ini, merangkumi peraturan antarabangsa yang tidak adil serta undang-undang antarabangsa yang menjaga penindas, bukannya menjaga orang yang ditindas. Hanya keimanan mereka kepada Allah sahajalah yang telah membuatkan mereka mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mengharungi segala pengorbanan dan pendirian mereka untuk menumbangkan rejim terkutuk ini.

Mereka menjawab kepada rejim yang cuba untuk menundukkan mereka dengan melaungkan

“Kita tidak akan tunduk kecuali kepada Allah!”

Mereka menjawab kepada rejim yang cuba untuk mengalihkan mereka kepada sekularisme dengan melaungkan

“Hanya untuk Allah! Hanya Untuk Allah!”.

Para anggota tentera yang berpaling tadah dari rejim telah memilih nama Sahabat, menyebabkan semua Muslim di luar dan di dalam Syria telah mula mencium keharuman hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,

“Ibu negara Islam adalah Syam”.

Dalam pada kebangkitan ini merupakan petanda yang baik untuk kaum Muslimin, pada masa yang sama, ia juga merupakan petanda yang buruk dan sumber ketakutan kuffar Barat, yang terpaksa akur bahawa revolusi di Syria ini adalah digerakkan oleh Islam manakala puak sekular di luar Syria tidak mempunyai populariti untuk menggerakkan kaum Muslimin bagi meneruskan kepentingan Barat pada masa depan.

Kami, HizbutTahrir Syria dengan ini menyampaikan seruan kepada kalian dengan memohon kepada Allah agar ia sampai kepada setiap telinga yang dapat mendengar dan sampai kepada setiap hati yang mempunyai kesedaran.

Kami menyeru kepada saudara-saudara kami di tanah Syam yang diberkati!

Dengan keimanan, kesabaran dan pengorbanan kalian, kalian telah pun memecahkan segala perasaan takut dan bimbang kalian serta segala tekanan dan pemaksaan yang telah dikenakan ke atas kalian oleh rejim Syria selama lebih 40 tahun. Kalian telah mendedahkan kesemua para munafik dan ejen (Barat) sehingga rakyat mendapati diri mereka berada hanya dalam salah satu dari dua kelompok – kelompok yang beriman dan tidak ada kemunafikan di dalamnya dan kelompok munafik yang tidak ada keimanan di dalamnya. Dalam masa setahun, kalian telah berjaya menghidupkan kembali harapan seluruh umat untuk mengembalikan semula Negara Khilafah dan sejarahnya yang gilang gemilang. Kami mengucapkan tahniah kepada kalian atas apa yang telah kalian lakukan. Semoga Allah menganugerahkan kepada kalian apa yang telah Dia anugerahkan kepada hamba-hambaNya yang ikhlas.

Kami di HizbutTahrir menekankan kepada kalian bahawa kalian hendaklah mengambil Islam semata-mata sebagai asas kepada revolusi kalian – yang lahir dari akidah Islam dan dibina darinya, bukannya lahir dan dibina atas asas sekularisme yang fajir dan demokrasi yang kufur – kerana ini bukanlah pakaian kalian. Pakaian kalian hanyalah Islam. Oleh yang demikian, kami menyeru kalian dengan penuh keikhlasan untuk menjadikan Khilafah dan tidak yang lain, sebagai satu-satunya objektif revolusi kalian. Berhati-hatilah agar revolusi kalian tidak sampai menjadi seperti di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen di mana revolusi mereka telah dirampas (oleh Barat) dan darah-darah para syuhada telah dijual, sehingga revolusi mereka memerlukan revolusi yang lain.

Kepada saudara-saudara kami di Syria yang masih belum bergerak terhadap diktator Syam, kami ingin bertanya kepada kalian, apakah yang kalian nantikan? Apakah kalian boleh menerima agama ini dihina, masjid dibom, solat dihalang, solat Jumaat diganggu dan Al-Quran dikoyak-koyak? Jika kalian tidak bangkit untuk agama kalian, untuk memuliakan para Muslimah kalian, untuk saudara-mara kalian yang dibunuh dan untuk putera-puteri agama ini, maka perkara apakah lagi yang akan menyebabkan kalian bangkit? Sesungguhnya apabila kalian berdiri teguh untuk agama ini dan bersama-sama dengan saudara-saudara kalian di dalam revolusi ini di semua tempat, maka tiada lagi ruang yang tinggal untuk sistem yang rosak ini untuk bertahan. Sesungguhnya hal ini adalah wajib bagi kalian dan kalian tidak mempunyai pilihan lain lagi. Jika tidak, Allah SWT akan mengecewakan orang yang mengecewakan agamanya.

Kami menyeru kepada para ulama di Syria!

Allah SWT telah mengambil janji dari kalian bahawa kalian wajib menyampaikan kebenaran kepada manusia dan tidak menyembunyikannya. Perkara pertama yang kalian mesti sampaikan di Syria adalah kewajipan untuk menjatuhkan sistem kufur ini dan menggantikannya dengan hukum-hukum Allah. Kewajipan kalian bertambah besar apabila demonstrasi tercetus dari masjid dan selepas solat Jumaat. Oleh yang demikian, jadilah pemimpin sebenar umat ini dan ikatkan diri kalian dengan thariqah (jalan) Rasulullah SAW di dalam membawa perubahan, kerana kalianlah yang lebih layak untuk itu.

Kalian juga wajib memberi amaran kepada manusia akan bahayanya seruan kepada demokrasi, sekularisme dan negara sivil, dan menjelaskan juga bahaya dalam meminta campur tangan asing dan bahaya merayu kepada penyelesaian dari Majlis Keselamatan PBB, yang merupakan musuh umat Islam. Semua ini adalah seruan kepada fitnah, dan tidak ada jawapan (kepada seruan ini) kecuali meyakini dengan penuh keikhlasan apa yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW, “Ingat-ingatlah, sesungguhnya iman itu adalah ketika berlakunya fitnah di Syam” [HR Ahmad]. Siapakah jika bukan kalian (selaku) para ulama yang akan membawa kewajipan untuk mendedahkan fitnah ini dan menjelaskan bahawa hanya dengan keimanan fitnah ini boleh dihadapi. 

Kami menyeru kepada Muslim yang ikhlas dari kalangan tentera Syria!

Pemisahan diri kalian dari kumpulan tentera rejim membuktikan betapa bersihnya hati kalian yang telah menolak arahan rejim untuk membunuh saudara kalian sendiri. Menamakan kelompok kalian dengan nama sahabat yang mulia merupakan bukti kecintaan kalian kepada Allah, RasulNya, para sahabat dan agama Islam. Kami melihat bahawa penipuan Barat dan tali barut mereka telah menyelinap di kalangan kalian. Penipuan dan tali barut Barat yang kami maksudkan adalah para pemimpin di tempat kalian itu sendiri. Jadi, kami menasihati kalian tentang dakwaan kalian bahawa kalian telah dibekalkan senjata oleh musuh-musuh Islam, kerana ini melibatkan kompromi di antara agama kalian dan prinsip kalian. Jadi, berhati-hatilah dengan musuh-musuh Allah dan juga sesiapa sahaja yang melawat negara mereka dan kedutaan mereka dari pihak pembangkang yang sekular yang penuh keraguan. Janganlah berikan kepimpinan kalian kepada orang-orang dari golongan ini.

Sedarlah wahai kesemua Muslim yang ikhlas dalam tentera Syria yang mempunyai kekuatan (sama ada yang telah berpaling tadah mahupun belum) bahawa adalah wajib ke atas kalian untuk bergabung bersama para pegawai tentera lainnya yang sedang berjuang untuk menegakkan Khilafah. Tugas ini adalah sama sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum Ansar dahulu yang telah membantu Rasulullah SAW, yakni, kalian hendaklah menumbangkan pemerintahan diktator yang kini berada di Syam dan menyerahkan kekuasaan kepada HizbutTahrir, yang telah bersedia untuk mendirikan Khilafah ar-Rasyidah di atas jalan kenabian demi untuk menerapkan hukum Allah.

Kami menyeru kepada umat Islam!

Bahawa Allah SWT telah menyebut tentang kalian di dalam Al-Quran, bahawa kalian adalah umat yang satu dan kalian adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa kalian adalah umat yang satu yang berbeza dari umat yang lain. Kalian tidak membezakan darjat dalam persaudaraan kalian dan kalian bersatu menghadapi sesiapa sahaja yang memusuhi kalian Kedudukan kalian ini juga disebut di dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,

“Sesiapa sahaja yang mengecewakan seseorang Muslim yang kemuliaannya dicalar dan kesuciannya dicemari, maka Allah akan mengecewakan orang tersebut ketika ia memerlukan pertolonganNya. Dan sesiapa sahaja yang membantu seseorang Muslim ketika kemuliaan Muslim tersebut dicalar dan kesuciannya dicemari maka Allah akan membantunya apabila ia memerlukan bantuanNya” [HR Ahmad].

Kami di HizbutTahrir memohon kepada Allah agar seruan kami ini sampai kepada setiap orang yang beriman dan yang mempunyai kesedaran dan kami memohon kepada Allah agar mempercepatkan pertolongan dan bantuanNya ke atas umat Islam di Syria. Kami berdoa agar Allah menjerut segala kejahatan sang penindas ke tengkuk-tengkuk mereka dan memusnahkan mereka dengan rancangan jahat mereka sendiri. Kami memanjatkan doa kepada Allah agar segera menamatkan penderitaan ini dan di akhir kepada segala penderitaan ini, menganugerahkan kepada kita dua kebaikan – kebaikan dengan tumbangnya rejim diktator dan kebaikan dengan pengisytiharan kembalinya Daulah Khilafah di atas jalan kenabian. Walhamdu lillahi Rabbil alamin.

“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kalin dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kalian akan dikumpulkan” [TMQ al-Anfal (8):24].

HizbutTahrir
Wilayah Syria
22 Rabiul Akhir 1433H
15 Mac 2012M