SN335 – BAGAIMANA MENCINTAI RASULULLAH

SN keluaran 18 Januari 2013
 

BAGAIMANA MENCINTAI RASULULLAH

[SN335] Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita dapat jangkakan bahawa sambutan maulidur Rasul tahun ini akan disambut seperti biasa oleh sebahagian umat Islam, apatah lagi oleh pemerintah di mana perarakan biasanya menjadi acara rutin. Selain kerana memperingati tarikh kelahiran Muhammad SAW, semua sambutan ini dilakukan atas alasan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Bagi pemerintah, masa inilah yang paling sesuai untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah orang yang ingat kepada Rasulullah. SautunNahdhah siri ke-166 telah mengupas dengan panjang lebar tentang hukum sambutan maulidur Rasul ini yang dimulakan di Mesir pada 362H oleh aliran Ismailiyyah yang telah keluar dari Islam. Kali ini marilah kita sama-sama melihat bagaimanakah cara yang benar untuk kita menunjukkan kecintaan kita kepada junjungan besar yang kita kasihi ini.

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian” [TMQ al-Ahzab (33):21]. Ayat ini membawa pengertian bahawa satu-satunya contoh yang wajib diikuti oleh umat Islam ialah Rasulullah SAW dan baginda wajib dicontohi oleh umat Islam dalam segenap aspek, bukan hanya dalam aspek-aspek tertentu sahaja. Islam adalah satu agama sekali gus sebuah ideologi dan cara hidup yang unik. Al-Quran dan as-Sunnah, yang menjadi landasan dalam kehidupan umat Islam, secara jelas direpresentasikan secara utuh oleh peribadi Rasulullah SAW. Dengan kata lain, Muhammad SAW merupakan ikon untuk kita memahami praktis tentang Islam secara keseluruhan dari A hingga Z. Di samping itu, kita diseru agar mencintai peribadi yang mulia lagi agung ini. Kecintaan kita kepada baginda tidak cukup hanya melalui tataran batiniah (kalbu) sahaja, tetapi wajib dizahirkan melalui aktiviti lahiriah (fizikal), iaitu dengan mengikuti setiap perilaku baginda dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya. Kewajipan untuk meneladani dan mencintai baginda tidak boleh sekali-kali dibataskan hanya pada hal ibadat dan akhlak sahaja tetapi wajib dimanifestasikan dalam seluruh aktiviti kehidupan seperti pemerintahan, ekonomi, pendidikan, pergaulan, politik, jihad dan semuanya.

Kewajiban Mencintai Rasulullah

Sebelum pergi lebih jauh, marilah kita memahami apakah yang diterangkan oleh para ulama tentang maksud “cinta” kepada Allah dan RasulNya. Al-Azhari berkata, “Erti cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasulullah adalah mentaati dan mengikuti perintah Allah dan RasulNya.” Al-Baidhawi berkata, “Cinta adalah keinginan untuk taat.” Ibnu Arafah berkata, “Cinta menurut istilah orang Arab adalah menghendaki sesuatu untuk meraihnya.” Al-Zujaj berkata, “Cintanya manusia kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati keduanya dan redha terhadap segala perintah Allah dan segala ajaran yang dibawa Rasulullah SAW” [Min Muqawwimat an-Nafsiyyah al-Islamiyyah, ms 40, HizbutTahrir].

Perlu difahami bahawa mencintai Allah dan Rasul adalah sebuah kewajipan, malah wajib melebihi kecintaan kita kepada sesiapa sahaja di dunia ini. Firman Allah SWT,

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri dan kaum keluarga kalian, juga harta dan kekayaan yang kalian usahakan, perniagaan yang kalian khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kalian sukai, adalah lebih kalian cintai daripada Allah dan RasulNya, maka tunggulah  sampai Allah mendatangkan keputusan (azab)Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik” [TMQ at-Taubah (9):24].

Ayat ini menjadi dalil bahawa setiap Muslim wajib meletakkan kecintaan kepada Allah SWT dan RasulNya pada kedudukan yang paling atas, malah kecintaan kepada Allah dan RasulNya ini sekali gus menjadi parameter untuk mengukur kadar keimanan seseorang Muslim.

Kefahaman yang senada dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan dari Anas ra di mana ia berkata Rasulullah SAW bersabda,

“Tidak beriman seorang hamba hingga aku lebih dicintainya daripada keluarganya, hartanya dan seluruh manusia lainnya” [HR Mutafaq ‘alaih].

Kecintaan kita kepada Rasulullah wajib melebihi daripada kecintaan kepada diri kita sendiri. Abdullah bin Hisyam berkata,

“Kami bersama Nabi SAW, sementara baginda memegang tangan Umar bin al-Khathab. Umar berkata, ‘Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali dari diriku sendiri.’ Nabi SAW bersabda, “Bukan begitu! Demi Allah, hingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.’ Maka Umar berkata, ‘Sesungguhnya mulai saat ini, demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.’ Nabi SAW bersabda, ‘Sekarang engkau benar wahai Umar” [HR Bukhari].

Imam Nawawimenukil dalam Syarah Muslim tentang erti cinta kepada Rasulullah SAW dari Abu Sulaiman al-Khathabiy. Dalam syarah itu dikatakan,

“…engkau tidak dikatakan benar-benar mencintaiku hingga dirimu binasa dalam taat kepadaku dan engkau lebih mementingkan redhaku daripada hawa nafsumu, meski engkau harus binasa kerananya.”

Manisnya iman hanya akan dapat dirasai oleh seseorang Muslim jika dia telah menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya melebihi daripada kecintaannya kepada yang lain. Sabda Rasulullah SAW,

“Ada tiga perkara yang siapa yang memilikinya, ia telah menemukan manisnya iman – orang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada yang lainnya; orang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah; orang yang tidak suka kembali pada kekufuran sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka” [HR Muttafaq ‘alaih].

Contoh Cinta Sahabat Kepada Rasulullah

Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, mencintai Rasul bukan hanya sekadar dalam hati, tetapi wajib ditunjukkan melalui perbuatan harian kita. Allah SWT telah meletakkan ‘syarat’ sekiranya seseorang itu cinta kepadaNya, maka apa yang wajib dilakukan oleh orang itu ialah ‘mengikuti’ RasulNya. Malah, kasih dan pengampunan dosa dari Allah SWT hanya akan terwujud sekiranya seseorang itu bersungguh-sungguh mencintai Rasulullah SAW. Firman Allah,

“Katakanlah (wahai Muhammad),  ‘Jika kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian” [TMQ Ali Imran (3):31].

Kewajipan ‘mengikuti’ Rasul di sini bermaksud menunaikan apa sahaja yang diperintah oleh Rasulullah dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh baginda. Firman Allah,

“Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul untuk kalian, maka ambillah dan apa sahaja yang dilarangnya atas kalian, maka tinggalkanlah” [TMQ al-Hasyr (59):7].

‘Apa sahaja’ di sini bermaksud semua perkara, baik dalam aspek rumah tangga, politik, ekonomi, ibadat, akhlak, jihad dan lain-lain.

Kesungguhan dalam mencintai dan mengikuti Rasulullah SAW ini telah terpateri kuat dalam peribadi dan kehidupan para sahabat. Merekalah golongan yang pertama-tama dan bersungguh-sungguh menzahirkan kecintaan ini. Mereka senantiasa berlumba-untuk mendapatkan kemuliaan ini kerana ingin termasuk ke dalam golongan orang-orang yang dicintai Allah dan RasulNya. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke urusan nyawa, para sahabat telah memanifestasikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dengan sebenar-benarnya. Diriwayatkan dari Anasra., ia berkata,

“Ketika perang Uhud kaum Muslimin bertempiaran lari meninggalkan Nabi SAW. Abu Thalhah sedang berada di depan Nabi, melindungi baginda dengan perisainya. Abu Thalhah adalah seorang pemanah yang sangat cepat lontarannya. Pada saat itu ia mampu menangkis dua atau tiga busur panah. Kemudian ada seorang lelaki yang melaluinya. Ia membawa satu wadah anak panah kemudian berkata, ‘Aku akan campakkan untuk Abu Thalhah’. Kemudian Nabi SAW berdiri tegak melihat orang-orang. Maka Abu Thalhah berkata, ‘Ya Nabiyullah, demi bapa dan ibuku, jangan engkau berdiri tegak, nanti panah orang-orang akan mengenaimu. Biarkan aku yang berkorban jangan engkau….” [HR Mutafaq ‘alaih].

Anas bin Malik berkata,

“Sesungguhnya Rasulullah SAW pada saat perang Uhud, telah terpisah bersama tujuh orang Ansar dan dua orang Quraisy (Muhajirin). Ketika musuh (kaum Musyrik) telah bergerak mendekati baginda, baginda bersabda, ‘Siapa yang boleh menolak mereka dari kita, maka ia akan masuk syurga atau menjadi temanku di syurga.’ Maka majulah seorang lelaki dari kaum Ansar lalu melawan musuh tersebut hingga terbunuh. Kemudian musuh kembali mendekati. Baginda bersabda, ‘Siapa yang boleh menolak mereka dari kita, maka ia akan masuk syurga atau menjadi temanku di syurga.’ Maka majulah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu melawan musuh tersebut hingga ia terbunuh. Hal seperti itu terjadi berulang-ulang hingga syahidlah tujuh orang Ansar. Rasulullah bersabda kepada dua sahabatnya (dari Muhajirin), “Kita tidak sebanding dengan para sahabat kita itu” [HR Muslim].

Cara Mencintai Nabi SAW

Sungguh aneh sekiranya rasa cinta kepada Rasulullah SAW hanya diungkapkan di mulut-mulut melalui acara-acara ritual seperti yang dilakukan sebahagian umat Islam. Sungguh aneh juga sekiranya rasa cinta kepada Rasulullah dizahirkan melalui sambutan mengenang kelahiran baginda walhal hal itu tidak diperintahkan dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat  yang mulia. Kecintaan semacam ini tidak bermakna apa-apa dalam aspek kehidupan nyata, kerana ajaran yang dibawa oleh baginda justeru ditinggalkan. Bagaimana mungkin seseorang dikatakan mencintai Rasulullah, sementara teladan kehidupan nyata diambil dari selain Rasulullah? Dalam aspek pemerintahan diambil sistem demokrasi kufur dari Barat;  dalam aspek ekonomi, diambil sistem ekonomi Kapitalis yang berdiri atas dasar ribawi dan spekulasi yang diharamkan; dalam aspek pergaulan/sosial diambil konsep kebebasan dari Barat; dalam aspek politik diambil konsep ‘maslahat’ bukannya hukum syarak sebagai dasar dan pelbagai idea kufur lainnya diambil serta diamalkan dengan mencampakkan segala sunnah Rasul dari kehidupan. Apakah ini dikatakan cinta kepada Rasulullah?

Dari sekecil hal dalam kehidupan sehinggalah ke urusan memerintah dunia, makna kecintaan kita kepada Rasulullah adalah mengikuti apa sahaja yang baginda perintah dan meninggalkan apa sahaja yang baginda larang. Kecintaan kita kepada Rasulullah dalam hal berpakaian, makan, dan minum bermaksud kita wajib berpakaian dengan cara menutup aurat dengan cara yang benar, makan dan minum yang baik lagi halal. Rasulullah SAW mengajar bahawa aurat bagi lelaki adalah dari pusat ke lutut manakala aurat seorang wanita adalah seluruh anggota tubuhnya, kecuali muka dan telapak tangan. Allah dan RasulNya juga merincikan hal makan dan minum dari segi halal-haramnya serta hukum memberi makan kepada mereka yang memerlukan dan banyak lagi hukum lainnya yang wajib diikuti oleh setiap Muslim.

Dalam berkeluarga, wajib bagi seorang anak mahupun ibu bapa menjadikan Rasulullah sebagai ikutan dalam kehidupan rumah tangga. Sebagai seorang suami, Rasulullah adalah orang yang paling mencintai isteri-isterinya. Justeru, setiap suami wajib meneladani Rasulullah di dalam menyayangi isterinya. Manakala si isteri pula wajib taat kepada suami dalam segala hal yang tidak bertentangan dengan syarak dan masing-masing (suami-isteri) tidak boleh menyakiti pasangan masing-masing. Seorang bapa dan suami adalah pemimpin yang wajib melindungi bukan sahaja dirinya, malah anak dan isterinya daripada api neraka. Kesemua tatacara kehidupan berkeluarga ini diajar oleh Rasulullah dan wajib diikuti oleh setiap Muslim dalam kehidupan sehariannya. 

Dalam dakwah, Rasulullah SAW tidak pernah berhenti berdakwah dan baginda telah meletakkan hidup dan mati sebagai ‘piawai’. Sabda baginda,

“Demi Allah, wahai bapa saudaraku, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan perkara ini (dakwah Islam), sungguh aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan aku atau aku mati kerananya” [sirah Ibnu Hisyam].

Justeru, setiap Muslim wajib meneladani Rasulullah dalam hal ini dengan berdakwah mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan mesti menjadikan ia (dakwah) sebagai urusan hidup dan mati. 

Rasulullah SAW adalah seorang ketua negara, seorang ahli politik dan seorang negarawan yang  ulung. Terlalu banyak hadis yang menerangkan tentang kehebatan Rasulullah sebagai seorang pemerintah dan ahli politik. Justeru, sesiapa yang mencintai Rasulullah wajib mencontohi Rasulullah dalam hal politik dan pemerintahan. Sungguh aneh dengan sebahagian umat Islam yang menyatakan cinta kepada Rasulullah tetapi menolak politik. Bukan sekadar tidak mahu terlibat dalam politik, malah ada Muslim yang berusaha menjauhkan orang lain daripada berpolitik. Jika mereka berpandangan bahawa politik sekarang ini tidak betul, penuh kekotoran dan sebagainya, seharusnya mereka berusaha untuk membersihkan politik ini dan menunjukkan cara politik Islam yang benar, bukannya menolak politik! Mana mungkin kita boleh menolak atau tidak mahu terlibat dengan politik kerana Rasulullah adalah seorang ahli politik yang sentiasa terlibat dengan politik.

Rasulullah SAW juga adalah seorang hakim (qadhi) yang berhukum dengan hukum Allah dalam setiap urusan pengadilan. Rasulullah tidak pernah berhukum dengan hukum kufur dan tidak membenarkan Muslim memutuskan hukum dengan hukum kufur. Justeru, bagi pemerintah dan qadhi yang cintakan Rasulullah, wajib bagi mereka untuk memutuskan hukum menurut hukum Allah, bukannya memutuskan hukum dengan undang-undang buatan manusia. Apa ertinya cintakan Rasul tetapi menolak hukum Allah dan menolak Sunah Rasulullah dalam aspek pengadilan dan hukuman?

Khatimah

Sesungguhnya kecintaan dan pengagungan kita kepada Rasulullah SAW mewajibkan kita untuk menyelaraskan semua hal yang terkait dengan peribadi, masyarakat mahupun kenegaraan dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Kita wajib meneladani Rasulullah dalam hal politik sebagaimana kita meneladani Rasulullah dalam hal ibadah. Kita wajib meneladani Rasulullah dalam hal dakwah sebagaimana kita meneladani Rasulullah dalam hal akhlak. Kita wajib meneladani Rasulullah dalam hal jihad sebagaimana kita meneladani Rasulullah dalam hal rumah tangga. Kita wajib meneladani Rasulullah dalam hal pemerintahan sebagaimana kita meneladani Rasulullah dalam hal berpakaian dan begitulah seterusnya. Pendek kata, kita tidak boleh memilih hanya aspek tertentu dari Rasulullah untuk kita ikuti sementara kita meninggalkan aspek yang lain. Cara yang benar di dalam mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah dengan meneladani Rasulullah SAW secara total, tidak boleh secara sebahagian-sebahagian. Lebih buruk, sekiranya seseorang itu menyatakan bahawa ia cintakan Rasulullah, tetapi hakikatnya ia senantiasa melakukan apa yang bertentangan dengan perintah Rasulullah SAW.