FORUM MUSLIMAH: Menyanjung Kasih Kepada Rasulullah

JOHOR BAHRU-20 Januari 2013, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia cawangan Johor Bahtu telah mengadakan Forum Muslimah yang bertajuk Menyanjung Kasih kepada Rasulullah. Sesi pendaftaran bermula pada jam 8.30 pagi sehingga 9.15 pagi. Program yang bertempat di Taman Sri Putra Johor Bahru ini telah menghimpunkan muslimah yang datang daripada sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang dan Pontian. Forum ini telah menampilkan dua orang panel yang juga merupakan aktivis Hizbut Tahrir Malaysia.

Ustazah Khairunnisa sebagai penal pertama menceritakan latar belakang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sejak daripada kecil.  Beliau telah menceritakan tentang ciri-ciri kenabian dan kemuliaan akhlak nabi sejak nabi kecil sehingga nabi menjadi Rasul.  Kemudian panel kedua, iaitu ustazah Nurul Ilmi pula telah menerangkan siapakah Rasulullah SAW setelah menerima wahyu.  Khairunnisa  seterusnya menjawab persoalan bagaimana seharusnya seorang muslim mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW.   Beliau menjelaskan lagi erti cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasulullah adalah mentaati keduanya dan redha terhadap segala perintah dan  ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Nurul Ilmi kemudian menerangkan bagaimana Rasulullah sebagai model suami unggul yang mesti dicontohi oleh semua para suami. Sesi pertama diakhiri dengan menggambarkan kepada hadirin bagaimana Rasulullah SAW sebagai seorang pendakwah. Para panel mengajak  para hadirin agar mencintai Rasulullah SAW dengan nilai cinta yang sebenar, iaitu mentaati dan redha dengan segala ajaran Baginda yang merupakan manusia agung yang diutus Maha Pencipta.

Forum berhenti rehat 20 minit sambil menikmati menjamu,hadirin disajikan dengan tayangan video. Sebelum memulakan sesi kedua, para hadirin bersalawat bersama-sama.  Kemudian, forum sesi kedua bermula dengan soalan yang lebih menarik. Nurul Ilmi telah menerangkan kepada umat peranan Rasulullah sebagai seorang ketua Negara dan kemudian beliau membuat perbandingan antara ketua Negara hari ini yang tidak menjadikan Rasulullah sebagai contoh tauladan bagi mereka.

Khairunnisa  juga telah mengetengahkan peranan Rasulullah SAW sebagai pemimpin angkatan tentera  dan beliau juga telah membuat perbandingan  halatuju tentera pimpinan Rasulullah yang berjuang semata-mata demi mempertahan dan menyebarkan Islam, namun, tentera hari ini yang dipimpin dengan semangat nasionalisme telah tersasar daripada peranannya sebagai perjuang yang sebenar.  Dua soalan terakhir, moderator telah meminta para panel untuk menjelaskan dan menunjukkan kepada para hadirin bagaimana caranya para sahabat Rasulullah SAW dan para tabi’in mencintai Rasulullah. Para panel seterusnya memberikan solusi dan saranan bagaimana kita seharusnya menyambung kasih kepada Rasulullah SAW.  Sebagai seorang muslim yang selama ini lalai.  Forum ditutup dengan bacaan doa oleh Doktor Nureni.