SN403 – ANTARA JIHAD DAN MILITAN

 
SN keluaran 24 Oktober 2014




ANTARA JIHAD DAN MILITAN

[SN403] Baru-baru ini kita telah diberitakan dengan penangkapan beberapa individu yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan. Pada 14 Oktober 2014 lepas, berlaku penahanan terhadap 13 individu yang di percayai dalam persiapan menyertai kumpulan bersenjata Islamic State (IS), di sebuah kedai makan di Shah Alam. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mereka yang ditahan terdiri daripada pelajar, pekerja buruh dan pekerja kilang. Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Menurut laporan akhbar, setakat ini seramai 36 orang individu telah ditangkap atas alasan yang sama sejak 28 April lalu. Sebelum itu, kerajaan telah mengeluarkan kenyataan di mana seramai 22 orang rakyat Malaysia termasuk tiga wanita berada di Syria yang terlibat dengan aktiviti militan. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas berkaitan isu tindakan ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat ke atas Syria dan Iraq berkata, “Malaysia bersama negara-negara lain juga bersependapat untuk mengambil apa jua tindakan yang patut bagi memerangi kumpulan itu. “Bagaimanapun, tindakan ketenteraan sahaja tidak boleh memberi penyelesaian mutlak tetapi harus juga memahami dan memerangi idea, ideologi serta kefahaman yang berkaitan dengan kumpulan ini,” katanya [Utusan Malaysia 18/10/2014].

Kewujudan Individu/Kelompok Bersenjata

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, makna militan ialah “sedia untuk berjuang atau berperang” dan “cenderung menggunakan keganasan, kekerasan atau tekanan kuat untuk mencapai sesuatu tujuan”. Dari definisi ini dapat difahami bahawa maksud militan sebenarnya boleh jadi ‘neutral’ yang boleh membawa makna yang baik jika tujuannya adalah baik. Namun demikian, istilah militan telah diberi konotasi yang negatif oleh Barat dalam usaha mereka melabelkan seseorang Muslim atau sesebuah kumpulan Islam sebagai pengganas. Oleh itu, takrifan militan dan pengganas sering dikaitrapatkan. Takrifan negatif yang diberikan terhadap militan oleh Barat ini ditelan bulat-bulat pula oleh pemerintah Muslim dalam usaha mereka meraih redha Amerika dan dalam rangka menunjukkan kepada tuannya itu yang mereka adalah pengikut yang taat dalam memerangi militan/pengganas.

Jika dikaji dengan teliti, individu atau kelompok bersenjata ini bukanlah muncul secara tiba-tiba atau dalam keadaan vakum. Ia muncul sebagai reaksi kepada cengkaman dan penjajahan kaum kuffar ke atas umat Islam di pelbagai belahan dunia ini. Diamnya para penguasa daripada membebaskan umat Islam dan wilayah Islam yang dirampas, walhal di kiri dan kanan penguasa ini penuh dengan kelengkapan tentera yang boleh dikerahkan pada bila-bila masa untuk membebaskan umat Islam dan wilayah Islam yang dirampas, menyebabkan kemunculan kelompok bersenjata ini. Selain itu, ia juga muncul akibat kezaliman penguasa itu sendiri serta undang-undang yang penuh tekanan, penindasan dan merampas hak-hak rakyat. Kesemua faktor ini mendorong mereka untuk membela diri, keluarga dan saudara-saudara mereka yang tertindas atau diperangi. Dari semangat pembelaan inilah, lahirnya para individu yang kemudiannya atas dasar kesamaan perjuangan, membentuk pelbagai kelompok demi mencapai tujuan perjuangan masing-masing. Ringkasnya, oleh sebab pemimpin dan juga tentera tidak mengangkat senjata memerangi musuh Islam dan menyelamatkan umat Islam yang tertindas di seluruh dunia, maka muncullah kelompok bersenjata yang mengambil alih peranan mereka.

Dengan kemunculan kelompok ini, Barat, khususnya Amerika, merasa sungguh terancam, lalu ia dengan bersungguh-sungguh melabelkan bahawa kelompok ini adalah pengganas dan segala aktiviti mereka adalah keganasan. Seterusnya Amerika menyeru dunia khususnya pemimpin Muslim untuk bersama dengannya bagi menghapuskan kelompok ini. Inilah yang dihighlightkan oleh Amerika agar dunia membincangkannya. Sedangkan apa yang dunia patut bincangkan ialah tentang kejahatan dan keganasan yang dilakukan oleh Amerika dengan masuk campur dan menjajah wilayah Islam dan kejahatan pemimpin yang menjadi penyebab munculnya individu dan kelompok militan yang berusaha untuk menghadapi mereka.

Atas faktor yang sama juga, lahirnya individu/kelompok yang berdiri atas dasar ingin berjihad. Mereka memahami bahawa keadaan yang wujud ini telah menimbulkan kewajipan kepada mereka untuk berjihad dalam memerangi Barat dan juga para penguasa Muslim yang khianat yang menjadi ejen kepada Barat ini. Ia juga wujud hasil kecintaan mereka kepada syahid dan mereka ingin meraihnya dan inilah masanya. Kelompok yang ikhlas ini, yang sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang dialami oleh keluarga dan saudara-saudara mereka, mengambil keputusan untuk bertindak sendiri dengan memerangi Barat dan penguasa Muslim yang menindas umat Islam. Di samping itu, mereka juga ingin menukar keadaan yang buruk dan negeri yang menerapkan sistem kufur kepada keadaan yang lebih baik dan negeri yang menerapkan hukum Islam.

Dari senario yang berlaku ini, Barat dan penguasa Muslim mengambil kesempatan untuk melabelkan semua gerakan bersenjata sebagai pengganas. Tindakan Barat ini boleh difahami dengan mudah kerana mereka adalah kaum kafir yang merupakan musuh Islam. Malangnya hal yang sama turut dilakukan oleh pemerintah Muslim tanpa membezakan antara kelompok militan dan mujahidin yang sebenar. Asalkan mengangkat senjata, semuanya ditangkap muat sebagai pengganas. Tidak berhenti di situ, para penguasa Muslim ini akan memburu sampai ke lubang cacing siapa sahaja yang didapati mempunyai semangat jihad dan penguasa ini tidak pernah dan tidak mahu mengiktiraf mana-mana individu/kelompok sebagai melakukan aktiviti jihad. Dengan kata lain, perkataan jihad sudah dihapuskan dari benak para penguasa ini dan diganti dengan perkataan pengganas. Justeru, apabila disebut sahaja jihad, maka ini bermakna pengganas. Inilah yang ada dalam kepala penguasa Muslim yang tidak ada beza sedikit pun dengan apa yang ada dalam kepala Barat.

Jihad, Mujahidin Dan Militan

Ayat-ayat dan hadis yang mewajibkan jihad sungguh banyak sekali. Begitu juga banyaknya nas-nas yang menyebut tentang keutamaan jihad sehingga masuknya seseorang ke dalam syurga turut bergantung pada amalan yang mulia ini. Malangnya tidak ada seorang pun dari penguasa kaum Muslimin yang menunaikan kewajipan ini. Lebih buruk apabila mereka menghalang pula individu/kelompok yang ingin berjihad. Inilah dosa dan pengkhianatan penguasa Muslim yang meninggalkan kewajipan yang telah Allah amanahkan kepada mereka, sedangkan jihad merupakan ra’sul amal (penghulu amalan) setelah keimanan kepada Allah SWT. Imam Bukhari menuturkan sebuah hadis dari Abu Dzar RA, bahawasanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,

“Amal apakah yang paling utama? Nabi SAW menjawab, “Iman kepada Allah dan jihad di jalanNya” [HR Bukhari].

Al-Hafidz Ibnu Hajar mengatakan, ‘Hadis ini menunjukkan bahawa jihad merupakan amal yang paling utama setelah iman kepada Allah.”

Hukum jihad sama sekali tidak akan terhapus walaupun umat Islam dipimpin oleh penguasa yang zalim seperti sekarang. Sabda Rasulullah SAW,

“Jihad berlaku sejak Allah mengutusku sampai umatku yang terakhir memerangi Dajjal. Ia (jihad) tidak akan terbatal oleh kejahatan penguasa yang jahat dan tidak pula oleh keadilan penguasa yang adil” [HR Ahmad dan Abu Daud].

Bahkan Nabi SAW bersabda,

“Barangsiapa yang mati sedangkan dia belum berperang dan dalam dirinya tidak terbetik keinginan untuk berperang, maka dia mati di atas salah satu cabang kemunafikan.”

Sesungguhnya jihad merupakan aktiviti yang mulia dan agung. Ia merupakan sebahagian daripada hukum Islam yang diwajibkan ke atas umatnya. Secara bahasa, jihad bererti “mengerahkan seluruh kemampuan untuk memperoleh tujuan” [An-Naisaburi, Tafsir an-Naisaburi, XI/126]. Adapun menurut pengertian syar’ie, para fuqaha mendefinisikan jihad sebagai “usaha mengerahkan segenap kekuatan dalam perang fi sabilillah secara langsung mahupun memberikan bantuan kewangan, pendapat atau memperbanyakkan logistik dan lain-lain”. Kerana itu, perang dalam rangka meninggikan kalimat Allah itulah yang disebut dengan jihad [Al-Nabhani, al-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Jilid II]. Justeru, makna jihad secara syar’ie menjurus khusus kepada peperangan dan hanya termasuk segala sesuatu yang berkaitan langsung dengan peperangan sahaja. Kerana itu, perjuangan politik tidak dinamakan jihad. Demikian juga dengan usaha untuk menyingkirkan para penguasa Muslim yang zalim, ini bukanlah jihad meskipun pahala dan faedah bagi kaum Muslimin amat besar, kerana permasalahannya di sini bukanlah kesulitan atau faedah, tetapi makna syar’ie yang terkandung dalam kata ini (jihad).

Penyebab jihad bukanlah dalam rangka mencari jizyah, meskipun saat musuh mahu membayar jizyah kita berhenti memerangi mereka. Tetapi sebab jihad adalah keberadaan orang-orang yang kita perangi sebagai orang kafir yang enggan menerima dakwah. Allah SWT berfirman,

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak pula kepada hari Akhir, mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan RasulNya dan mereka tidak beragama dengan agama yang benar (iaitu) orang-orang yang diberikan Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [TMQ al-Taubah (9):29].

Perintah untuk memerangi mereka ialah kerana adanya sifat kufur. Ertinya, mereka diperangi kerana mereka tidak beriman kepada Allah, tidak pula kepada hari Akhir dan seterusnya sehingga sifat ini adalah qayd (batasan) bagi peperangan dan pada saat itu ia menjadi sebab.

Dengan demikian, sebab peperangan adalah kekufuran. Dalam ayat lain disebutkan,

“Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang di sekitar kalian itu dan hendaklah mereka mendapatkan kekerasan dari kalian” [TMQ al-Taubah (9):123].

Banyak lagi ayat lainnya yang berupa perintah memerangi musuh adalah demi menentang kekufuran. Jika orang-orang yang kita perangi menerima dakwah, maka mereka telah menjadi orang-orang Islam. Jika mereka enggan untuk memeluk Islam, namun mereka mahu membayar jizyah dan berhukum dengan Islam, maka itu diterima dan peperangan terhadap mereka dihentikan kerana mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam. Ringkasnya, penyebab jihad adalah keberadaan orang-orang yang kita perangi sebagai orang-orang kafir yang enggan menerima dakwah. Tidak ada sebab selain itu bagi jihad dan segala aktiviti selain itu bukan merupakan jihad.

Kewajipan jihad perlu difahami dalam dua konteks iaitu memulakan serangan (ibtida’) dan diserang (muhajamun). Memulakan jihad adalah fardu kifayah dan wajib bagi negara (pemerintah) melakukannya. Namun jika musuh yang lebih dulu menyerang, maka menjadi fardu ain bagi orang yang diserang dan fardu kifayah bagi orang lain (yang tidak diserang). Fardu tersebut tidak akan gugur sehingga musuh dapat diusir dan tanah Islam dapat dibersihkan dari kekejian musuh. Makna jihad sebagai fardu kifayah untuk dimulakan adalah bahawa kita wajib memulai menyerang musuh meskipun musuh tidak memulainya. Jika tidak ada seorang pun di antara kaum Muslimin yang memulai peperangan pada masa tertentu, maka semuanya telah berdosa kerana meninggalkan jihad. Makna memulai jihad juga bukan bererti kita wajib memerangi musuh secara langsung tetapi musuh (kuffar) harus diseru terlebih dahulu kepada Islam. Tidak halal bagi kaum Muslimin untuk memerangi mereka yang dakwah belum sampai kepadanya. Justeru, orang-orang kafir wajib diseru terlebih dahulu kepada Islam. Jika mereka menolak, maka mereka diwajibkan membayar jizyah yang bererti mereka wajib tunduk kepada Islam. Jika menolak untuk membayar jizyah, maka barulah mereka diperangi.

Oleh yang demikian, kita perlu bezakan di antara aktiviti jihad dan militan walaupun terdapat elemen yang sama di dalamnya. Siapa sahaja sama ada individu, kumpulan atau tentera yang berperang memerangi orang-orang kafir dalam rangka meninggikan kalimah Allah, maka ini adalah jihad dan mereka merupakan mujahidin. Manakala siapa sahaja sama ada individu, kumpulan atau tentera yang berperang selain dari rangka di atas, apatah lagi memerangi sesama Muslim, maka ini bukanlah jihad dan mereka bukannya mujahidin. Justeru, tidak semua militan itu adalah mujahidin kerana apa yang perlu dilihat adalah niat dan aktiviti mereka. Jika niat dan aktiviti mereka adalah untuk berperang melawan orang-orang kafir demi meninggikan kalimah Allah, maka sesungguhnya mereka adalah mujahidin dan jika tidak, maka mereka kekal sebagai kumpulan militan yakni kumpulan bersenjata semata-mata dan bukannya mujahidin, walaupun mereka menamakan diri mereka mujahidin sekalipun.

Jadi, perlu difahami bahawa tidak semua perjuangan bersenjata itu tergolong dalam jihad. Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa kesemua kumpulan bersenjata itu salah. Salah atau benar adalah tergantung pada niat dan tindakan mereka. Jika niat dan aktiviti mereka ialah untuk membunuh dan memerangi sesama kumpulan Muslim, maka ini adalah salah dan haram. Jika mereka memerangi dan membunuh orang awam mahupun pemimpin tanpa hak, baik yang dibunuh itu Muslim atau non-Muslim, ini juga adalah salah dan haram dan semua ini tidak tergolong dalam jihad. Namun, jika mereka berniat dan beraktiviti dalam memerangi golongan kuffar (harbi fi’lan) yang sedang memerangi Islam demi meninggikan kalimah Allah, maka kelompok bersenjata itu adalah kelompok mujahidin dan aktiviti mereka adalah jihad dan sekiranya mereka terbunuh dalam perjuangannya, maka mereka meraih syahid di sisi Allah.

Khatimah

Wahai mereka yang memegang kekuasaan! Sesungguhnya jihad adalah satu amalan yang mulia dan agung dan merupakan kewajipan yang tidak pernah putus. Peperangan yang dilancarkan Barat ke atas Islam dan umatnya wajib disambut dengan jihad dan kamu adalah orang yang berkuasa untuk mengisytiharkannya. Peperangan melawan kafir harbi yang memerangi Islam adalah jihad yang sebenar dan inilah yang amat ditakuti oleh puak kuffar jika kamu melakukannya. Namun kami tahu bahawa kecintaan kamu kepada dunia dan ketundukan kamu kepada puak kuffar menyebabkan kamu lari dari jihad sejauh-jauhnya. Kerana itu, Hizbut Tahrir berjuang untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah dan apabila tertegaknya Khilafah sedikit masa lagi, Sang Khalifah selaku pemimpin kaum Muslimin akan pasti menyerukan jihad dan membariskan tentera-tenteranya untuk memerangi kaum kuffar dan menghapuskan kekufuran untuk digantikan dengan cahaya dan rahmat Allah. Pada waktu, pintu jihad akan dibuka seluas-luasnya dan mana-mana individu/kelompok yang ingin meraih kesyahidan tidak akan dihalang, sebaliknya akan diperlengkapkan dan dipermudahkan oleh Khalifah jalan mereka menuju ke syurgaNya.

Wallahu a’lam.