SN421 – GST: Jawapan Kepada Mereka Yang Menghalalkan

PDF

SN keluaran 20 Mac 2015

[SN421] Umum mengetahui satu tradisi buruk berkenaan 1 April ialah “April Fool” yang dilakukan oleh seseorang untuk “mengenakan” orang lain. 1 Aril 2015 nanti bakal menyaksikan satu tragedi buruk dalam sejarah Malaysia apabila kerajaan akan “mengenakan” rakyat dengan GST (Goods and Services Tax). Walaupun rakyat tidak terkejut dengan hal ini kerana telah lama dimaklumkan, namun penentangan dari rakyat terhadap pelaksanaan GST masih berterusan sehingga ke hari ini. Kerajaan dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan GST, bagi menggantikan SST (Sales and Services Tax) sehingga Jakim digunakan untuk mengeluarkan fatwa bahawa hukum GST adalah harus (halal).

Lebih ironi, ramai agamawan dan intelektual yang turut berjalan seiring dengan kerajaan dan Jakim, memberi ceramah dan penerangan di sana sini, baik di alam nyata mahupun alam maya, bagi menjelaskan kepada orang ramai bahawa GST itu selaras dengan kehendak Islam. Sungguh luar biasa usaha kerajaan kali ini sehingga tidak tahu berapa banyak wang yang dihabiskan sebagai persediaan untuk melaksanakan cukai baru ini, termasuklah usaha memahamkannya kepada masyarakat. Ini berbeza sama sekali dengan hudud di mana kerajaan memberikan alasan yang masyarakat masih belum faham, maka tidak boleh dilaksanakan dan dalam masa yang sama kerajaan tidak pernah melakukan apa-apa untuk memberikan kefahaman kepada rakyat!

SautunNahdhah kali ini cuba menjawab secara umum hujah/alasan pihak yang menghalalkan GST yang kami pecahkan kepada 3 kategori:-

(A) Hujah Akal/Logik Semata-mata

Banyak pihak, khususnya kerajaan sendiri, memberi justifikasi tentang GST menggunakan logik akal semata-mata dengan berhujah bahawa GST membawa kebaikan dari sudut ekonomi. GST dikatakan akan membawa kepada kestabilan kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki ketirisan dan kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang terlepas atau sengaja melepaskan diri dari membayar cukai. Sistem percukaian akan menjadi lebih adil dan telus, karenah birokrasi juga akan berkurangan selain mengurangkan kebergantungan kepada cukai pendapatan dan petroleum. GST seterusnya dikatakan membawa banyak kebaikan dengan membandingkannya dengan SST dan juga negara-negara lain, khususnya Eropah, yang melaksanakannya.

Berdasarkan logik, golongan yang menghalalkan GST ini juga berhujah bahawa adalah mustahil untuk kerajaan tidak mengutip cukai kerana katanya seluruh hasil kerajaan dari cukai berjumlah RM171.7 billion pada tahun 2014. Manakala hasil bukan cukai adalah RM51.5 bilion dan ada sedikit lagi hasil lain sekitar RM1.7 bilion. Maka total hasil kerajaan pada tahun 2014 adalah RM225 billion. Dari sumber hasil itu, gaji kakitangan awam sahaja berjumlah RM65 billion. Maka, jika semua cukai diputuskan haram, kerajaan hanya ada hasil sebanyak RM53.2 billion. Lalu golongan ini mempertanyakan, apa akan berlaku jika sebanyak itu sahaja hasil kerajaan?

Hujah akal ini, walaupun logik tetapi sebenarnya terlalu rapuh dan lebih penting, tidak ada nilai di sisi syarak pun. Ia hanyalah fakta baik-buruk dan untung-rugi yang dinilai berdasarkan metode berfikir Kapitalisme. Islam menetapkan yang penganutnya wajib melihat (dan terikat) dengan hukum syarak dalam menilai atau melakukan sesuatu perbuatan, Sekuat dan selogik mana pun hujah, fakta dan justifikasi untung-rugi, sekiranya nas syarak menyatakannya haram, maka ia tetap haram dan wajib ditinggalkan. Jika halal barulah dibincangkan aspek untung-ruginya.

Ingatlah ketika Allah SWT mengharamkan arak dan judi, Allah telah mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan manfaat sebagai pertimbangan. FirmanNya,

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” [TMQ al-Baqarah (2):219].

Kerana itulah, para sahabat, apabila Allah SWT telah mengharamkan sesuatu, maka mereka semua meninggalkannya serta merta tanpa mencari lagi alasan kebaikan atau manfaatnya. Inilah cara berfikir dan bertindak yang benar.

Hukum asal harta seseorang itu adalah suci dan haram daripada diambil tanpa hak. Islam dengan jelas mengharamkan sesiapa sahaja (termasuk pemerintah) untuk mengambil harta warganya tanpa kerelaannya. Allah SWT berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” [TMQ an-Nisa’ (4):29].

Rasulullah SAW bersabda,

“Harta seseorang Muslim itu tidak dihalalkan (bagi orang lain) selain dengan kerelaannya.”

Sabda baginda yang lain,

“Harta, kehormatan dan darah seorang Muslim diharamkan ke atas Muslim lainnya” [HR Abu Daud& Ibnu Majah].

Memaksa GST ke atas rakyat jelas merupakan tindakan mengambil harta seseorang secara paksa dan tanpa hak yang diharamkan secara qath’ie oleh Islam.

(B) Hujah Akal/Logik Yang Disandarkan Kepada Kaedah Fiqh& Pendapat Ulama

Hujah logik akal yang disandarkan kepada kaedah fiqh dan pendapat ulama merupakan hujah yang paling banyak dikemukakan oleh pihak yang menghalalkan GST. Antara hujah mereka:-

1 – Kaedah maslahat – Mereka berhujah bahawa pemerintah boleh mengutip cukai berdasarkan maslahat seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat dan ia dibenarkan demi memenuhi maslahat umum pentadbiran negara. Hujah ini jauh tersasar dari kebenaran kerana maslahat sekali-kali tidak boleh dijadikan dalil untuk menghalalkan suatu yang haram, apatah lagi dalam keadaan sudah ada nas yang menjelaskan hukumnya. Apa yang diambil kira ialah nas dan kaedah maslahat langsung tidak boleh digunakan. Sebagai contoh, jika riba, arak dan judi itu haram berdasarkan nas yang jelas, maka sudah tidak perlu dibincangkan lagi maslahat yang dapat diraih jika melaksanakannya, kerana kita wajib meninggalkannya. Begitu juga walaupun pada babi itu ada banyak kebaikannya, namun apabila telah ada nas yang mengharamkannya, maka wajib ditinggalkan sahaja tanpa perlu dibahas lagi maslahat jika kita memakannya. Begitulah dengan cukai, apabila telah ada nas yang menjelaskan keharamannya, tidak perlu dibincangkan lagi aspek kemaslahatan jika ia dilaksanakan, tutup kes.

2 – Kaedah akhafudhararain (mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudaratan) atau ahwan al-syarrain (mengambil yang lebih ringan dari dua keburukan) atau kaedah-kaedah seumpamanya – Menurut hujah ini, jika GST mampu dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai dan seterusnya mampu diurus dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem SST sebelumnya, maka GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar mengambil mudarat yang lebih ringan (antara GST-SST). Hujah ini juga menyatakan bahawa kemudaratan kepada individu rakyat akan berlaku jika dikenakan GST, tetapi kemudaratan umum akan lebih besar lagi jika GST tidak dilaksanakan.

Kaedah ini sebenarnya hanya terbatas kepada keadaan di mana seseorang itu tidak dapat menghindari keharaman kecuali melakukan salah satu darinya dan tidak mungkin pula untuk dia meninggalkan kedua-duanya secara bersamaan (tidak ada pilihan ketiga). Dalam keadaan seseorang itu ada pilihan, maka dia wajib memilih pilihan yang halal, bukannya sengaja memilih untuk melakukan yang haram. Dalam keadaan sekarang, kerajaan ternyata masih boleh memilih untuk meninggalkan (tidak melaksanakan) GST yang haram dan mempunyai pilihan lain yang halal untuk dilakukan yakni dengan menerapkan sistem Islam. Membolehkan pelaksanaan GST dengan kaedah ini sama sahaja dengan membolehkan didirikan pusat pelacuran atau judi kerana jika tidak, akan wujud kemudaratan yang lebih besar seperti meningkatnya kes zina dan perjudian di tengah-tengah masyarakat!

3 – Kaedah maqasid syariah (maksud-maksud syariah) dan fiqh al-waqi’ (fiqh realiti) – Hujah ini menyatakan yang kita mesti berfikir secara holistik dan melihat konteks terkini dan kemudian mengeluarkan pendapat yang paling logik dan mampu dilaksanakan segera, bukan mengikut pandangan yang ideal tapi tidak mampu dilakukan. Atas dasar ini, GST menjadi harus, walau mengandungi kecacatan sekalipun. Lebih lanjut, hujah ini menyatakan bahawa beberapa jenis hukum dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.

Kesalahan hujah ini ialah kerana mengutamakan “maksud syariah” sehingga membelakangkan “hukum syariah” itu sendiri. Ukuran perbuatan ialah nas, bukannya sama ada ia mampu dilakukan atau tidak. Apabila As-Syari’ (Pembuat syariat – Allah SWT) memerintahkan sesuatu perbuatan, maka ia sudah pasti mampu dilakukan atau ditinggalkan oleh manusia, kerana mustahil Allah SWT memerintahkan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan (oleh manusia) yang bererti Allah itu zalim, na’uzubillah.

Justeru, persoalannya bukan mampu atau tidak, tetapi mahu atau tidak (melaksanakannya). Adapun hukum bagi sesuatu hakikatnya tidak pernah berubah menurut zaman. Apa yang berubah ialah alat atau sarana (teknologi) sahaja sedangkan hukumnya tidak. Merubah hukum kerana berubahnya zaman sama dengan menundukkan Islam dengan realiti, walhal realiti yang perlu ditundukkan kepada Islam dan bukan sebaliknya. Sesungguhnya hukum itu telah ditetapkan berdasarkan nas, bukannya berdasarkan zaman, jadi hukum itu bersifat tetap, walaupun zaman berubah.

4 – Berpegang kepada pendapat Ulama – Bagi menguatkan hujah mereka untuk menghalalkan GST, pendapat beberapa ulama seperti Sheikh Mahmud Syaltut, Sheikh Abu A’la al-Maududi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibn Khaldun dan lain-lain dipetik dan dikatakan yang ulama tersebut mengharuskan cukai atas tujuan kemaslahatan umum dan pentadbiran negara. Jika benar sekalipun petikan mereka terhadap pendapat ulama tersebut, namun pendapat ulama tidak boleh digunakan apabila menyalahi nas. Pendapat ulama sama sekali tidak boleh menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan sebaliknya. Apa yang wajib kita pegang ialah nas, bukannya pendapat ulama yang bertentangan dengan nas.

Kita perlu faham bahawa kaedah fiqh bukanlah nas syarak melainkan hanya sebatas kaedah yang dibuat oleh mujtahid atau ahli fiqh bagi memudahkan proses penarikan hukum dari nas. Apabila terjadi perbezaan pendapat tentang kaedah atau tentang penerapannya, maka wajib merujuk kepada sumbernya iaitu nas-nas syarak. Nas-lah yang akan menjelaskan maknanya, batasan penerapannya, objek-objeknya dan pengecualiannya. Malangnya kaedah-kaedah fiqh ini digunapakai oleh golongan agamawan pada hari ini, dengan membelakangkan nas, dalam usaha mereka menghalalkan yang haram!

(C) Hujah Yang Disandarkan Kepada Nas Tetapi Keliru

Tidak dinafikan bahawa pihak-pihak yang menghalalkan GST menyandarkan juga hujah mereka kepada nas. Namun kita semua tahu bahawa kesemua nas ini dikemukakan setelah kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya. Dengan kata lain, keputusan dibuat lebih dahulu, nas dicari kemudian dan disesuaikan dengan keputusan. Sepatutnya, mereka berbincang berdasarkan manath (fakta) dan nas terlebih dahulu, barulah dibuat keputusan sama ada perkara tersebut halal atau haram. Antara nas yang mereka gunakan ialah:-

1 – Menyamakan GST dengan kharaj – Kharaj adalah bayaran yang dikenakan oleh negara ke atas tanah (tanah kharajiyah), sedangkan GST adalah cukai yang dikenakan ke atas individu atas muamalah yang mereka lakukan. Hal ini amat jauh berbeza. Lagipun, Malaysia merupakan tanah usyuriyah, bukan tanah kharajiyah dan tidak terkena hukum kharaj.

2 – Menyamakan GST dengan dharibah – Dharibah adalah bayaran sementara yang dikenakan oleh negara ke atas warganya ketika kecemasan yakni di saat Baitul Mal (perbendaharaan negara) kosong atau tidak mencukupi untuk menampung keperluan wajib negara atau umat Islam. Ini berbeza dengan GST yang bakal dijadikan sebagai “pendapatan tetap” negara. Dharibah hanya dikenakan ke atas warganegara Muslim (lelaki) yang mempunyai kelebihan harta sahaja, sedangkan GST dikenakan ke atas seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira Muslim atau kafir, lelaki atau perempuan, kaya atau miskin. Jika benar negara dalam keadaan kecemasan sekalipun (walhal kerajaan sering menafikannya), apa yang perlu dilakukan adalah untuk keluar daripada keadaan ini dengan cara yang syarie, bukannya terus selesa mengamalkan sistem kufur kapitalisme dan terus mengutip cukai secara sistematik dan terancang dengan alasan darurat!

3 – Menyamakan GST dengan jizyah –  Jizyah dikenakan oleh negara ke atas lelaki kafir dzimmi sahaja (kafir warganegara Daulah Islam) dan yang mampu. Ini berbeza sama sekali dengan GST yang dikenakan ke atas setiap pengguna tanpa mengira agama dan kemampuan.

Kita perlu faham yang semua bayaran yang dikenakan ke atas harta rakyat oleh Rasulullah SAW dan para Khalifah adalah dilakukan berdasarkan nas dan bukan berdasarkan hawa atau maslahat. Hujah untuk menyamakan GST dengan kutipan-kutipan yang dilakukan oleh Rasulullah dan para Khalifah amatlah keliru dan out of context. Realitinya, GST bukanlah mekanisme untuk kerajaan mengambil harta rakyat berdasarkan nas, tetapi merupakan mekanisme untuk kerajaan merampas duit rakyat ketika rakyat sedang melakukan transaksi (muamalah). Realitinya juga, GST sebenarnya diambil dari sistem percukaian atau perundangan kuffar Barat dan cuba “dihalalkan” dengan menggunakan nas, kaedah syarak dan pendapat ulama!

Khatimah

Sesungguhnya tidak ada keraguan sedikit pun tentang keharaman GST mahupun SST kerana kerajaan mengambil harta rakyat dengan jalan yang batil. Jual beli adalah transaksi yang melibatkan keredhaan dua pihak yakni pembeli dan penjual sahaja tanpa campur tangan pihak ketiga. Tambahan 6% ke atas harga adalah campur tangan nyata dari kerajaan (pihak ketiga) sebagai bentuk paksaan ke atas akad yang dilakukan oleh dua pihak yang berakad, sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah mengganggu transaksi jual beli dan harga pasaran walaupun diminta berbuat demikian tatkala harga naik. Sesungguhnya bukan sahaja GST, malah segala bentuk cukai yang diambil oleh kerajaan tanpa hak adalah haram. Semua keharaman dan kezaliman ini sesungguhnya tidak lepas dari sistem Kapitalisme yang yang diamalkan dalam negara demokrasi yang mencengkam kita semua pada hari ini, yang wajib dibuang dan diganti dengan sistem Islam di bawah bingkai Negara Khilafah.

Wallahua’lam.