SN430 – Pemerdagangan Manusia: Masalah Dan Penyelesaiannya

PDF

SN keluaran 4 Jun 2015

[SN430] Setelah dikejutkan dengan ribuan pelarian Rohingya dan Bangladesh yang terkapai-kapai di lautan menunggu ajal, baru-baru ini kita digemparkan pula dengan penemuan ratusan kubur di Wang Kelian, Perlis. Sebanyak 139 kubur besar dan kecil dijumpai di 28 buah kem di sempadan Malaysia-Thailand itu yang dilaporkan sebagai tempat tahanan pelarian Rohingya sebelum dibawa masuk ke negara ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan yang kem-kem ini ada kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia.Rentetan itu, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia berhubung isu Rohingya apabila sempadan negara disahkan menjadi pusat transit untuk aktiviti sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia, terutamanya pelarian Rohingya. Lebih ironi, seramai 12 orang anggota polis telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lapan anggota polis manakala empat lagi telah ditahan sendiri oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM). “Ia masih dalam siasatan sama ada mereka terbabit secara langsung atau hanya menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan itu untuk masuk ke Malaysia. Kita akan siasat semua pihak termasuk Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Imigresen, Renjer Negeri Perlis, Pasukan Gerakan Am (PGA)”, jelasnya. Walaupun belum terbukti bersalah, namun penangkapan ini menunjukkan yang penglibatan ‘orang dalam’ dalam aktiviti jenayah di Malaysia sememangnya tidak dapat dinafikan.

Pemerdagangan Manusia

Artikel 3 ‘Protokol Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dalam Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Manusia Terutamanya dalam Kalangan Wanita dan Kanak-kanak’ telah mendefinisikan pemerdagangan manusia sebagai “perekrutan, pengangkutan, pemindahan, penampungan atau penerimaan orang dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan lain, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan kerentanan, atau memberi atau menerima bayaran atau pemanfaatan untuk mencapai persetujuan seseorang yang mempunyai kawalan keatas orang lain, untuk tujuan eksploitasi iaitu pelacuran, buruh paksa atau perhambaan dan pemindahan organ-organ.”

Manakala Seksyen 2 Akta Anti pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 mendefinisikan pemerdagangan orang sebagai “segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui  paksaan  dan  termasuklah  perbuatan  merekrut,  mengangkut, memindahkan,  melindungi,  menyediakan  atau  menerima  seseorang bagi maksud akta ini”. Lebih lanjut, seksyen yang sama dalam akta ini memberi definisi yang agak panjang tentang maksud penyeludupan migran, yang terkait rapat dengan pemerdagangan manusia.

Walaupun definisi PBB nampaknya lebih spesifik berbanding Malaysia, namun apa yang penting untuk diperhalusi dalam kes ini ialah masalah jenayah pemerdagangan manusia yang terkait rapat dengan persoalan rentas sempadan atau migrasi dari satu negara ke negara yang lain. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, berlakunya aktiviti pemerdagangan manusia ini menunjukkan bagaimana dalam dunia yang didominasi oleh ideologi Kapitalis sekarang, segala perkara boleh dijadikan bahan perdagangan, termasuklah manusia! Penganut ideologi ini bukan sahaja menjadikan ‘benda’ sebagai bahan untuk menambah kekayaan, tetapi apa sahaja termasuk ‘manusia’, asalkan boleh mendatangkan wang. Kalau sebelum ini kita melihat bagaimana negara dan puak Kapitalis mengaut segala hasil bumi seperti minyak, gas dan segala bahan galian yang merupakan milik umum, untuk dijadikan milik peribadi, kini mereka cubalakukan segala-galanya untuk mendapatkan kekayaan.

Tidak cukup dengan segala milik umum yang ada dalam perut bumi disebat oleh mereka, negara penganut Kapitalis juga menjadikan pendidikan, kesihatan dan keamanan sebagai “bahan” perniagaan untuk mengaut keuntungan, walhal menurut Islam, kesemua perkara tersebut wajib diberikan secara percuma oleh negara kepada rakyat. Kini, batang tubuh manusia turut dijadikan bahan perdagangan dalam memenuhi ketamakan para kapitalis meraih kekayaan. Walaupun aktiviti pemerdagangan manusia ini suatu yang dilihat baru di Malaysia, namun ia lebih kejam daripada aktiviti jenayah perdagangan lainnya kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan manusia secara langsung. Sebelum kita dikejutkan dengan kes pemerdagangan pelarian Rohingya ini, hakikatnya, kes-kes pemerdagangan manusia untuk tujuan pelacuran dan perkhidmatan bersifat seksual bukanlah suatu yang asing di Malaysia, malah sudah menjadi rahsia umum.

Punca Berlakunya Pemerdagangan Manusia

Realitinya, aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang terancang sudah pasti melibatkan banyak pihak dan bukannya melibatkan pihak pembeli dan penjual sahaja. Ini kerana, aktiviti ini merupakan aktiviti rentas sempadan yang memerlukan jaringan yang luas serta kompleks termasuklah melalui ‘orang dalam’ di pihak penguatkuasa seperti imigresen, polis dan lain-lain. Apabila kita cermati masalah ini, kita dapati antara puncanya adalah:

Pertama; Masalah dalaman sesebuah negara. Berlakunya perpindahan dan penyusupan individu antara sempadan dua buah negara pastinya memiliki faktor penolak dari negara asal dan faktor penarik dari negara yang dituju sama ada ia bersangkut paut dengan masalah ekonomi, politik mahupun keselamatan sesebuah negara. Penyusupan masuk ke negara lain sudah pasti dengan harapan untuk mencari dan menikmati hidup yang lebih baik daripada tempat asal mereka. Dalam kes Muslim Rohingya, mereka terpaksa melarikan diri (daripada kekejaman penganut Buddha dan pemerintah Myanmar) dari kampung halaman bagi tujuan mencari perlindungan dan kehidupan di negara yang dirasakan lebih selamat. Malangnya, kesusahan yang mereka hadapi ditempat asal mereka ini telah ‘dimanfaatkan’ oleh sindiket penyeludupan manusia dengan mengaut keuntungan darinya. Sindiket yang tidak berperikemanusiaan yang hanya memikirkan keuntungan ini, sanggup mendera dan membunuh mereka jika syarat-syarat tidak dipenuhi. Inilah sikap manusia penganut ideologi Kapitalis yang hanya berfikir untuk mengambil kesempatan dan keuntungan di atas penderitaan orang lain.

Kedua; Kerakusan puak Kapitalis dalam meraih keuntungan. Selain penderitaan di tempat asal, tidak dinafikan, terdapat banyak kes pemerdagangan manusia berkait rapat dengan kerakusan para Kapitalis dalam mengeksploitasi tubuh badan manusia. Ini terbukti daripada banyak sindiket berkaitan penyeludupan manusia untuk tujuan pekerjaan haram dan pelacuran seperti yang banyak berlaku ke atas warganegara China, Thailand dan Vietnam yang dieksploitasi dan dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan perkhidmatan seks. Aktiviti ini berlaku kerana kerakusan para kapitalis dalam mengeksploitasi segala perkara untuk meraih keuntungan darinya tanpa mengambil kira halal dan haram atau risiko perundangan. Ia dipermudah dengan bantuan orang dalam yang menyebabkan mereka ini sering bolos dari tangkapan mahupun perundangan.

Bagaimana Islam Menangani Masalah Pemerdagangan Manusia

Nyawa dan kehormatan manusia merupakan perkara yang dijamin oleh Islam dan sekiranya berlaku pelanggaran ke atasnya tanpa hak, orang yang bertanggungjawabakan menerima hukuman yang sewajarnya daripada negara, sesuai dengan hukum syarak yang terkait dengannya. Dalam menyelesaikan masalah pelarian dan isu pemerdagangan manusia seperti kes Muslim Rohingya ini, Negara Islam (Khilafah) akan melakukan dua pendekatan iaitu pendekatan secara pro-aktif dan secara reaktif.

Tindakan secara pro-aktif adalah dengan memberi amaran kepada rejim Myanmar agar melayani dan menyantuni Muslim Rohingya yang tinggal di Myanmar dengan sebaiknya sebagaimana mereka melayan warganegara mereka yang lain. Segala kebajikan dan hak mereka mesti diberi sebagaimana diberi kepada semua warganegara yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku, nescaya tiada lagi keperluan bagi Muslim Rohingya untuk melarikan diri daripada pemerintah Myanmar dan mereka boleh terus menetap di Myanmar dan melakukan aktiviti seperti biasa, termasuklah aktiviti dakwah kepada non-Muslim di sana.

Sekiranya rejim Myanmar tidak melakukan perkara tersebut, maka Khilafah akan melakukan tekanan politik ke atas negara kufur itu, termasuklah ancaman dan seruan jihad fisabilillah jika mereka terus berdegil! Ini bagi memastikan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah kuffar ini dihentikan secara tuntas dan lebih jauh, apabila jihad dilancarkan dan Islam mencapai kemenangan, maka Myanmar akan menjadi sebahagian daripada Negara Khilafah dan hukum Allah SWT akan diterapkan di situ. Maka tiada lagi keperluan Muslim Rohingya untuk melarikan diri.

Dari segi tindakan secara reaktif pula, sekiranya berlaku penindasan terhadap kaum Muslimin di mana-mana belahan dunia, Khalifah akan menyeru dan mengalu-alukan mereka untuk berhijrah ke Negara Khilafah, malah Khalifah akan menyediakan segala kemudahan untuk perjalanan mereka. Mereka akan diberi kewarganegaraan dan segala hak dan kebajikan mereka akan dijaga sebagaimana hak dan kebajikan warganegara Khilafah yang lain. Tindakan ini termasuk kepada non-muslim yang tertindas di mana-mana belahan dunia yang inginkan pembelaan dan tempat selamat untuk berteduh, maka mereka ini akan diperhatikan oleh Negara Khilafah dan diberikan perlindungan yang sewajarnya.

Manakala bagi sindiket yang melakukan kejahatan dan keharaman, mereka akan dibawa ke muka pengadilan dan sekiranya terbukti bersalah, mereka akan dikenakan uqubat (hukuman) yang setimpal. Hukuman juga tidak terkecuali kepada setiap orang yang bersubahat melakukan kejahatan dan keharaman memperdagangkan manusia ini.

Tindakan Khilafah ini jauh berbeza dengan tindakan negara bangsa seperti Malaysia sekarang ini. Ini kerana, ideologi kapitalisme yang dianuti oleh negara ini telah menjadikan segala keuntungan kebendaan sebagai kayu ukur utama. Malaysia memiliki kepentingan yang banyak di Myanmar terutamanya dari segi ekonomi seperti dalam sektor minyak dan gas, perladangan serta pembinaan. Malah, aset yang dimiliki oleh syarikat yang berkaitan kerajaan Malaysia di Myanmar adalah mencecah berbillion ringgit yang pastinya akan menjadi pertimbangan besar untuk Malaysia melakukan bantahan terhadap kezaliman pemerintah Myanmar ke atas Muslim Rohingya. Jika bantahan pun tidak sanggup untuk dilakukan, penyelesaian jihad jauh sekali!!!

Dari satu sudut, baik sindiket pemerdagangan manusia mahupun negara Malaysia sendiri, kedua-duanya merupakan penganut ideologi Kapitalis yang memiliki cara berfikir dan manfaat yang sama iaitu keuntungan. Kedua-duanya hanya berfikir mengenai keuntungan, perdagangan dan kekayaan. Bezanya, kerajaan Malaysia melakukan perdagangan dengan jalan yang disahkan oleh undang-undang yang dibuatnya sendiri, manakala sindiket pemerdagangan melakukan perdagangan dengan jalan yang tidak disahkan oleh kerajaan. Namun demikian, ‘perdagangan’ dan keuntungan adalah kayu ukur utama dalam setiap tindakan mereka.

Selain itu, sikap assabiyyah dan wathaniyyah yang diharamkan oleh Islam yang menebal dikalangan pemimpin umat Islam menjadikan isu penindasan Muslim Rohingya hanya terbatas kepada masalah dalaman negara Myanmar semata-mata atau sebatas masalah kemanusiaan dan bukannya masalah kaum Muslimin seakidah yang wajib dibela!!! Atas dasar ini, pemimpin ini tidak pernah dan tidak akan menyelesaikan masalah Muslim Myanmar secara tuntas, sebagaimana mereka tidak pernah menyelesaikan masalah Muslim Thailand, Muslim Kashmir, Muslim Palestin dan lain-lain secara tuntas. Walhal umat Islam dahulunya merupakan umat yang terbela, kuat dan merupakan gergasi dunia di bawah Negara Khilafah yang menaungi dunia selama lebih dari 13 abad.

Khatimah

Dalam melihat dan menangani kes pemerdagangan manusia ini, khususnya yang melibatkan Muslim Rohingya, kita tidak boleh lari daripada melihat dan menangani punca kepada masalah itu sendiri. Faktor utama kenapa ia berlaku adalah kerana dunia yang ada sekarang telah dicengkam oleh ideologi kapitalis yang menjadikan manfaat kebendaan lebih tinggi dari segala-galanya. Melalui ideologi ini, segala perkara yang boleh di manfaatkan akan dipergunakan secara maksimum untuk meraih keuntungan demi memuaskan hawa dan nafsu serakah penganutnya. Tanpa pemimpin yang menerapkan Islam, baik dalam dan luar negeri, maka masalah Muslim Rohingya secara khusus dan masalah kaum Muslimin secara umumnya, tidak akan dapat diselesaikan. Sesungguhnya sudah tiada pilihan lain untuk menyelamatkan umat Islam dan mengembalikan semula kemuliaannya melainkan dengan berusaha mengembalikan semula Daulah Khilafah yang akan dipimpin oleh seorang Khalifah, yang akan bertindak sebagai perisai umat sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW,

“Sesungguhnya Imam (pemimpin) itu laksana perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Bukhari& Muslim].

Wallahua’lam.