Persoalan Penting di Sebalik Menara Dubai

Sejak tiga hari pertama selepas Menara Dubai atau Burj Khalifa dibuka kepada masyarakat umum, kira-kira sepuluh ribu enam ratus orang telah menaiki lif untuk sampai ke menara peninjau di tingkat ke-124. Jumlah bayaran yang terkumpul adalah sekitar USD280,000.

Di sekeliling menara tersebut, hari demi hari, ribuan pengunjung bersesak berebut tempat untuk bergambar di hadapan kilauan menara setinggi 818 meter itu. Mereka bersukaria dan terpesona dengan keberanian Dubai membangunkan Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia ketika ini.

Menara itu merupakan rangka kedegilan Dubai dalam menarik pelaburan, sedangkan negara ini sebenarnya sedang mengalamai kemelesetan ekonomi. “Bangunan ini menunjukkan bagaimana kekayaan sedang bergerak dari Barat ke Timur,” kata Prajash Kelkar, yang sudah sebelas tahun tinggal di Dubai. Tanpa merasa khuatir tentang situasi kewangan, dia pun berkata, “Inilah kebanggaan Dubai.”

Tidak ada sebarang persoalan atau kenyataan yang mencemuh pemerintah Dubai. Walaupun masih dikelilingi dengan pelbagai kemelut ekonomi dan kewangan, pemerintah Dubai tetap memusatkan diri untuk menyiapkan projek yang ‘ironik’ ini, itulah yang diperkatakan oleh mereka.

Dubai sebenarnya sedang dikelilingi hutang yang dianggarkan mencecah USD100 bilion, dengan ledakan hartanah yang semakin membimbangkan dan kelembapan dunia pelaburan yang mengecewakan para pelabur. Kejayaan dalam mengatasi pelbagai masalah sebenarnya tidak cukup dengan diwakili oleh sebuah bangunan yang menjulang tinggi membelah langit   yang biru. Masalahnya yang sebenar ialah masih banyak bangunan tinggi yang gagal disiapkan akibat krisis kewangan.

Bandar Antarabangsa (International City) yang merupakan salah satu kawasan projek mega Dubai adalah contoh runtuhnya projek hartanah. Kawasan ini menjadi contoh lumpuhnya pasaran perumahan. Pihak yang bertanggungjawab dalam penyelengaraan dan perkhidmatan kawasan itu menderita kerugian besar kerana kekurangan wang tunai serta tenggelam dalam hutang dan muflis.

Pembangunan di kawasan seluas lapan ratus hektar tersebut yang digambarkan akan menjadi pusat perniagaan dan kebudayaan Timur Tengah kini telah tersungkur ke dalam kemuflisan. Seluruh pangsapuri dan deretan kedai hampir kosong sama sekali. Perniagaan penyewaan bangunan, pangsapuri dan deretan kedai muflis kesemuanya.

Di pelbagai pelusuk bandar, sisa pembinaan yang belum siap berserakan. Kadar jenayah semakin meningkat dan ribuan pekerja buruh mengeluh kerana upah yang rendah. Banyak keluarga yang terjebak dalam pelbagai masalah ekonomi dan kewangan terutamanya setelah membeli rumah atau pangsapuri secara hutang, mereka tidak mampu untuk membayar semula. Bahkan, lampu-lampu isyarat di jalan raya banyak yang tidak berfungsi kerana tidak boleh diperbaiki lagi.

Tidak ada seorang pun yang meramalkan Dubai bakal tumbuh menjadi ‘pusat’ Bandar Antarabangsa. Para penganalisis kewangan mengatakan, persoalan yang menyelubungi  Bandar Antarabangsa itu kemungkinan besar mewakili pelbagai kemelut yang akan mendatang. Ini adalah kerana, pada masa ini Dubai masih lagi terjebak dalam pelbagai kemelut, sesuatu yang sangat besar yang tidak boleh ditutupi begitu sahaja dengan kehadiran sebuah menara tinggi.

Sebelum ini, pembangunan besar-besaran seperti Dubai Mall, dengan akuarium yang dipenuhi ikan yu, kemudahan bermain ski ais, hiasan pancutan air, pawagam dengan ribuan kedai-kedai juga menjadi masalah besar. Ramai orang tidak mampu lagi untuk mengusahakannya kerana mereka memerlukan wang yang banyak untuk membayar hutang mereka.

Raj Kuwar, pemilik pasaraya Sky Grocery mengatakan, ramai orang telah  meninggalkan Bandar Antarabangsa tersebut. Hasil perniagaannya menurun sebanyak tiga puluh peratus berbanding tahun lalu, tetapi perniagaan lain seperti pelacuran semakin bertambah. “Ramai gadis yang berpindah ke kawasan ini kerana bayaran sewa lebih murah,” tambahnya.

Abu Dhabi, ibu kota Emiriyah Arab Bersatu, sebenarnya berada di “kolam” minyak. Namun, kilauan Burj Khalifa tidak mampu untuk menyelindungi pelbagai kemerosotan yang berlaku di Dubai di saat ini. (kompas.com, 16/1/2010)

Sumber: Hizbut Tahrir Indonesia