Politik dan pemerintahan negara bukan persoalan trial and error

pas-ikatan2Dengan penyakit kronik yang melanda UMNO-BN pada hari ini, banyak pihak tampil dengan pelbagai cadangan dan usaha untuk menyelamatkan negara. Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Deklarasi Rakyat-nya, DAP-PKR-Amanah dengan Pakatan Harapan-nya dan yang terbaru kita menyaksikan PAS-Ikatan dengan Blok Ketiga-nya!

Walaupun nampak pelbagai kesepakatan ini semacam hal yang baru, tetapi hakikatnya hal ini tidak lebih daripada konsep tahaluf siyasi yang sudah basi di Malaysia, walaupun mereka tidak menamakannya sedemikian. Apa yang ‘baru’ hanyalah pihak-pihak yang terlibat dalam tahaluf tersebut, itu sahaja.

Sungguh menyedihkan apabila melihat gabungan parti Islam yang membentuk tahaluf dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dengan ikatan yang rapuh tanpa hala tuju yang jelas, kerana apa yang kita harapkan daripada parti Islam ialah satu usaha menegakkan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, dan bukannya satu usaha untuk menang pilihan raya, melalui cara tahaluf siyasi yang telah terbukti gagal berkali-kali.

Perkembangan terbaru di Malaysia ini menyaksikan pelbagai usaha untuk menyelamatkan negara ini dilakukan oleh pelbagai pihak, tetapi semuanya berdasarkan kaedah ‘cuba jaya’ (trial and error).

Itulah usaha buruk parti-parti yang berjuang dalam demokrasi, apatah lagi parti Islam, kerana segala kaedah yang digunakan ialah kaedah berdasarkan akal, bukannya berdasarkan syarak. Mereka ini, khususnya Muslim, gagal berfikir dengan benar tentang formula untuk menyelamatkan negara, walhal formula itu termaktub dengan cukup jelas dalam Kitabullah dan Sunnah RasulNya, tetapi mereka tetap menggunakan formula akal mereka sendiri!

Jika sebelumnya mereka telah bergabung sesama parti pembangkang, kemudian gagal dan bubar dan bertukar arah perjuangan untuk bergabung pula dengan parti pemerintah. Setelah itu gagal dan bubar lagi dan bergabung semula sesama pembangkang sekali lagi, baik yang sekular mahupun yang kafir, kemudian gagal lagi dan bubar lagi. Kini mereka bergabung pula untuk membentuk blok ketiga dengan konsep berpolitik matang yang mereka cuba ketengahkan, yang nampaknya akan menerima nasib yang sama.

Sudah berapa kali trial and error dilakukan dengan bergabung dengan kawan mahupun lawan, dalam usaha untuk menumbangkan musuh yang sama (common enemy), namun tetap gagal, lalu dilakukan lagi trial and error seterusnya dan gagal lagi dan begitulah hal ini diulang-ulang! Sungguh malang apabila mereka masih tidak nampak kerosakan formula ini.

Sekarang, mereka tampil dengan formula yang mereka rasakan baru, tetapi sama sahaja sebenarnya, cuma ditambah sedikit perisa baru yang dipanggil politik matang blok ketiga. Pelbagai hujah dan justifikasi terpaksa diberikan dalam usaha meyakinkan orang yang melihat bahawa ‘formula baru’ ini bakal menjamin kemenangan yang diimpikan dan membawa kesejahteraan kepada parti, rakyat dan negara.

Hakikatnya, formula ini tidak lebih daripada sekadar ramuan politik yang akan memperpanjangkan hayat sistem kufur demokrasi untuk terus menikmati sisa-sisa hidupnya yang sudah tidak panjang ini. Dalam masa yang sama dan secara tidak langsung, ia memberikan sedikit nafas kepada UMNO yang sedang menderita penyakit kronik, untuk meneruskan sisa-sisa hidup dan menghisap darah rakyat.

Sesungguhnya persoalan politik dan pemerintahan dalam Islam bukanlah persoalan yang boleh dilakukan secara trial and error! Islam telah menetapkan garis panduan dan formula tersendiri bagaimana cara berpolitik, cara menegakkan negara dan cara memerintah negara, dan formula ini telah lama tertuang dalam al-Quran dan al-Sunnah dan terbukti telah berjaya menyelamatkan ummah dan negara, malah dunia, di sepanjang lebih 13 abad sejarah pemerintahan Islam.

Oleh itu, sesebuah parti Islam tidak sepatutnya, malah haram menggunakan kaedah trial and error dalam setiap tindakan politik mereka, seolah-olah Islam tidak menerangkan kaedah untuk berpolitik, menegakkan dan memerintah negara, sehingga perlu dilakukan pelbagai trial and error! Selagi formula Islam tidak diambil, lihatlah, parti Islam bukan sekadar akan terus gagal, malah akan semakin ditolak oleh ahli-ahlinya sendiri dan oleh umat yang semakin sedar.