Burj Dubai – Bangunan yang paling tinggi tetapi umat yang paling rendah nilainya.




DUBAI 2 Sept – Burj Dubai, menara yang sedang dibangunkan di sini oleh Emaar Properties, telah mencapai ketinggian terbaru – 688 meter. Menara itu yang kini mempunyai lebih 160 aras juga dicatatkan mempunyai bilangan aras paling banyak di mana-mana bangunan, kata pemajunya dalam satu kenyataan. 

Struktur itu menjadi menara paling tinggi selepas ia melepasi tiang KVLY-TV di North Dakota, di Amerika Syarikat pada bulan April lalu. Tiang TV berkenaan mempunyai ketinggian 628.8 meter.

Kini, kira-kira 7,500 pekerja profesional dan mahir sedang bertugas di tapak pembinaan Burj Dubai itu. Projek Burj Dubai bernilai AS$20 bilion itu turut menempatkan hotel premium, kemudahan perniagaan yang eksklusif, kawasan kediaman moden, pusat membeli-belah dan kemudahan hiburan. – Bernama

 

Sumber: Utusan Malaysia 03/09/08

 

Ulasan:

 

Kesanggupan negara-negara Arab Teluk untuk berbelanja dengan boros membina menara-menara yang tidak memanfaatkan umat Islam, mahupun melakukan perkara-perkara pembaziran lainnya, bukan lagi merupakan suatu perkara yang baru atau luar biasa.

 

Dalam suatu laporan yang sama dari Utusan Malaysia 4 September 2008, memberitakan bahawa bilionair Arab iaitu Sulaiman Al-Fahim pemilik baru kelab bola sepak Liga Perdana England, Manchester City sanggup membayar 135 juta pound (RM823 juta) untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo daripada Manchester United. Juga Al-Fahim mahu memburu bintang bola sepak lain, termasuk Thierry Henry dari Barcelona dan penyerang Valencia iaitu David Villa dalam usaha mengubah wajah City kepada gergasi baru bola sepak.

 

Pembelian kelab bolasepak terkemuka di dunia atau pun pembinaan bangunan tertinggi di dunia bukanlah suatu yang boleh dibanggakan oleh umat Islam, sementara umat Islam di Gaza terpaksa bergelut dengan kekurangan makanan akibat sekatan oleh rejim Zionis Israel. Ia hanyalah satu pembaziran tatkala saudara-saudara kita yang lain memerlukan bantuan untuk hidup. Firman Allah,

 

“Dan janganlah membazir, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membazir”. [TMQ al-An’am (6):141]

 

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan  dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [TMQ al-Isra’ (17):27].

 

Laporan akhbar Utusan Malaysia 26 Ogos 2008, memberitakan berpuluh-puluh aktivis pro-Palestin dari 17 buah negara yang dianjurkan oleh gerakan Free Gaza (Bebaskan Gaza) yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat, telah belayar dengan bot-bot nelayan ke wilayah pentadbiran Hamas untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada penduduk Gaza. Mereka yang menolong dan belayar ke Gaza bukan daripada negara kaum Muslimin tetapi dari Amerika Syarikat. Di manakah bantuan daripada negara-negara Arab Teluk yang kaya raya kepada saudara Muslim mereka di Gaza ?

 

Suatu laporan dari Associated Press pada 17 Februari 17 2007 melaporkan daripada United Nations (UN) mengatakan bahawa setiap hari seramai 18,000 kanak-kanak mati kebuluran, dan suatu laporan daripada Reuters bertarikh 26 Ogos 2008, Bank Dunia (World Bank) melapur bahawa seramai 1.9 bilion penduduk dunia hidup dengan USD1.25 setiap hari.

 

Sepatutnya dengan kekayaan umat Islam yang melimpah ruah, negara-negara Arab Teluk boleh menggunakannya untuk membangun industri ketenteraan yang kuat dan berperang mengalahkan Amerika, membebaskan negeri umat Islam dan menyatukannya di bawah Khilafah. Pada masa yang sama membelanjakan wang mereka dengan membantu saudara mereka yang lain sama ada membekalkan makanan, ubat-ubatan, membina universiti-Universiti, hospital-hospital yang terbaik di dunia dilengkapi dengan peralatan dan kepakaran manusia yang terbaik untuk membantu perkembangan Research and Development (RND), atau membuka industri-industri yang boleh mengeluarkan barangan pengguna yang mengurangkan kebergantungan terhadap Barat. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu perbelanjaan yang boros yang tidak menguntungkan umat Islam sedikit pun, tetapi hanyalah untuk kepentingan peribadi dan malah berbangga-bangga pula dengannya.

 

Semasa Sepanyol dibuka oleh tentera Islam melalui peperangan pada kurun ke 8, keadaan Sepanyol (Andalus) bukan sahaja menjadi kawasan terkaya di seluruh Eropah tetapi pusat pembelajaran sehingga kesemua penduduk Eropah datang ke Andalus untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Tetapi lama kelamaan apabila kekayaan menjadi ukuran kemajuan manakala dakwah dan jihad diabaikan di mana kekuatan ketenteraan tidak lagi dijadikan perhatian, Andalus lalu mula dikuasai oleh golongan Kristian sehingga berlaku pengusiran umat Islam pada kurun ke 15. Puak Kristian yang merampas Andalus daripada umat Islam seolah-olah telah menguasai lubuk emas. Mereka seterusnya menggunakan kekayaan untuk membina kapal-kapal dan meredah lautan dunia sehingga sampai ke benua Amerika Utara dan Selatan, dan merampas dan membunuh besar-besaran (genocide) penduduk peribumi benua Amerika itu.

 

Para pemimpin, baik Arab mahupun bukan Arab, sudah memang terkenal dengan pengkhianatan mereka kepada umat. Juga, bila terdapat golongan umat Islam yang kaya-raya (Kapitalis) seperti ini, mereka juga menunjukkan ciri-ciri yang sama. Di manakah lagi tempat umat bergantung harap? Sesungguhnya setiap harta kekayaan yang mereka miliki dan mereka belanjakan akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.

 

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya”. [TMQ al-Zalzalah (99):7-8].

 

Firman Allah yang lain,

 

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu` dalam shalatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna…” [TMQ Al-Mu’minun (23):1].

 

Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud,

 

“Sebahagian daripada kebaikan Islam, ialah seseorang meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya” [HR al-Tirmizi].

 

Apalah gunanya mempunyai bangunan yang tinggi melangit, namun dalam masa yang sama umat Islam terus-menerus hidup terhina menyembah bumi. Umat Islam telah lama menderita hidup di dalam zaman Kapitalis ini. Sistem Kapitalis ini sesungguhnya penuh dengan kerosakan, pembaziran dan kezaliman. Kita wajib mendirikan Khilafah untuk menggantikan kerajaan Kapitalis yang telah banyak merampas dan membazir harta kekayaan umat Islam sambil dalam masa yang sama menguntungkan musuh-musuh Islam. Dengan usaha keras kita ke arah menegakkan agama Allah ini, semoga Allah segera menghapuskan sistem kufur yang keji ini dan menggantikannya dengan sistem Khilafah.