Kiamat Palsu Rekaan Manusia
Pergunungan Himalaya merupakan salah satu daripada lima tempat paling selamat menurut mereka kerana ia dianggap sebagai tempat paling tinggi di dunia, selain China, Sierra Nevada, Arizona dan Afrika. Sementara itu di China, pihak berkuasa menahan hampir 1,000 anggota kumpulan Almighty God yang didakwa menyebarkan khabar angin tentang kedatangan hari kiamat.
Boleh dikatakan semua agama di dunia ini mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau agama-agama lain di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih ‘tahu’ akan tarikh berlakunya kiamat. Kepercayaan mengenai hari kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana Nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf di dalam Islam. Pada asasnya, kepercayaan hari kiamat para ahli kitab ini adalah sama sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu sendiri, iaitu tidak ada sebarang tarikh tertentu yang diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam.
Hakikatnya, sebelum penayangan filem 2012, terdapat lebih kurang 26 ramalan tentang hari kiamat yang telah disebarkan oleh kumpulan pemuja hari kiamat, ahli astrologi dan para ilmuwan. Ramalan-ramalan tidak benar ini telah bermula sejak seawal tahun 1945 sehinggalah ke 2003. Antaranya;
- Charles, seorang paderi Kristian dari AS meramalkan kiamat iaitu bumi akan terbakar pada 21 September 1945, pukul 5.33 pagi.
- Charles Laugheda, seorang doktor dari AS meramalkan kiamat berupa banjir dan gempa bumi yang dahsyat akan terjadi pada 20 Disember 1954.
- Ada pihak pernah meramalkan kiamat akan terjadi pada 14 Julai 1960, pukul 1.45 petang disebabkan oleh ledakan bom bawah tanah milik Amerika. Lucunya, ekoran ramalan tersebut terdapat sebahagian orang yang menghasilkan perahu untuk menyelamatkan diri.
- Ahli astrologi India pula meramalkan kiamat akan terjadi pada 2 Februari 1962 iaitu antara pukul 12.05 tengah hari hingga 12.15 tengah hari.
Hakikat Kiamat Di Dalam Islam
Islam menjadikan yaumul qiyamah (hari kiamat) sebagai salah satu rukun iman, di mana kita hanya diwajibkan untuk yakin dan beriman padanya dan bukan untuk memikirkannya. Ini adalah kerana dalam perkara-perkara yang mana faktanya boleh diindera oleh manusia, maka Allah pasti menyuruh kita untuk memikirkannya. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (TMQ Al-Imraan [3]: 190)
Akan tetapi dalam perkara-perkara yang faktanya tidak boleh diindera oleh manusia (perkara ghaib), maka Allah hanya meminta kita untuk meyakini dan mengimaninya sahaja.
“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (TMQ al-Baqarah [2]: 3)
Pada hakikatnya, hari kiamat adalah tergolong dalam perkara yang ghaib yang tidak dapat diindera faktanya oleh manusia. Oleh kerana itu, Allah hanya memerintahkan kita untuk mengimani, mengambil pengajaran tentangnya dan bersiap sedia untuk menghadapinya. Allah SWT tidak pernah meminta kita untuk memikirkan tentang waktunya.
Oleh yang demikian, dengan memikirkan bilakah tarikh akan terjadinya kiamat dan menyibukkan diri dengan menghitung hari untuk terjadinya hari kiamat adalah perkara yang sia-sia bagi sesiapa pun kerana perbuatan tersebut tidak pernah diperintahkan oleh Allah. Apatah lagi untuk mempercayai berita-berita tentang datangnya hari kiamat dan ramalan-ramalannya, maka hal ini termasuk sebagai salah satu bentuk kemusyrikan kerana Allah sendiri telah berulang kali menyatakan di dalam al-Quran bahawa kiamat adalah hakNya dan dalam pengetahuanNya. Ini bererti meyakini suatu perkara yang bukan datangnya daripada Allah akan menyebabkan kita mencari sekutu selain Allah. Naudzubillahi min dzalik.
FirmanNya:
“Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kiamat: ‘Bilakah masa datangnya?’. Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Kiamat) itu sangatlah berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut’. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sudah mengetahuinya. Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan (mengenai hari kiamat) itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui”. (TMQ al-A’raaf [7]: 187)
Rasulullah saw pernah ditanya tentang kiamat:
“Bahawa seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Bilakah kiamat itu akan tiba?’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Apakah yang telah kamu persiapkan untuk menghadapinya?’. Lelaki itu menjawab: ‘Cinta Allah dan RasulNya’. Rasulullah SAW bersabda: ‘Kamu akan bersama-sama orang yang kamu cintai’”. (HR. Muslim no.4775)
Daripada dua dalil di atas, dapat kita fahami bahawa dengan mengetahui tentang waktu terjadinya hari kiamat adalah tidak penting dan ia tidak perlu dibahas sebagai orang yang beriman. Sesungguhnya perkara yang perlu dikhuatirkan oleh manusia tentang hari kiamat bukanlah tentang waktunya, tetapi pada apa yang telah dipersiapkan untuk menghadapinya. Allah SWT memberi isyarat bahawa kiamat akan terjadi secara tiba-tiba (mendadak), yang mana manusia tidak akan menyangka akan ketibaannya. Hikmahnya adalah agar manusia selalu menjadikan setiap aktivitinya adalah untuk kebaikan di jalan Allah dan supaya mereka sentiasa bersegera dalam melaksanakan amal kebajikannya sebelum tibanya hari kiamat, sebagaimana khabar Rasulullah SAW bahawa kiamat itu sangat dekat sekali.
“Jarak antara pengutusanku dan hari kiamat bagaikan dua jari ini”. [Kemudian baginda SAW menunjukkan isyarat antara jari tengah dan jari telunjuknya]. (HR. Muslim no. 7597)
Kiamat itu sama sahaja dengan kematian di mana ia akan datang dalam saat-saat yang tidak diduga. Allah SWT sengaja menjaga waktu kiamatnya agar tetap dalam rahsiaNya agar manusia senantiasa beramal dengan mengikut syariat Islam dan menjauhi segala larangan-laranganNya, supaya dengan harapan mereka sedar bahawa kiamat itu akan terjadi pada bila-bila masa tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Seandainya kiamat dapat dijangka waktunya, maka manusia tidak akan memiliki niat untuk bersegera dan berlumba-lumba dalam kebaikan, malah sebaliknya kebanyakan manusia akan berputus asa dan tidak berbuat apa-apa melainkan hanya menunggu-nunggu saat kehancuran.
“Sesungguhnya hari kiamat itu akan datang Aku merahsiakan (waktunya) agar supaya setiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.” (TMQ Thahaa [20]: 15)
Jika kita mengaku sebagai orang yang benar-benar beriman tentang hari kiamat, apakah yang telah kita persiapkan sebelum tibanya hari kiamat tersebut? Jika Arab Badwi menjawab dengan mencintai Allah dan Rasul, dan dia akan masuk syurga kerana itu, maka bagaimana pula dengan sikap kita pada saat ini? Adakah kita sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi hari kiamat yang pasti akan terjadi dengan benar-benar mencintai Allah dan RasulNya serta mentaati segala suruhan-suruhanNya?
“Katakanlah, ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah). Nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TMQ al-Imraan [3]: 31).