Munaaqashah Mac 2010 – Kembalinya Islam Sebagai Kuasa Besar
BANDAR BARU BANGI – Lebih 100 orang peserta tanpa mengira latarbelakang serta umur memenuhi program Munaqashah (Diskusi) fikrah Islam bertajuk ‘Kembalinya Islam Sebagai Kuasa Besar’ yang dianjurkan oleh Khilafah Centre dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) pada Ahad (21 Mac) lalu.
Munaqashah yang diadakan di Bilik Seminar Khilafah Centre, Seksyen 7, Bangi ini telah menghadirkan dua orang ahli panel yang juga merupakan aktivis HTM iaitu Prof. Dr. Muhammad dan Ustaz Umar Hussain dengan dipengerusikan oleh Sdr Yusuf Muhammad.
Semasa ucapan pembukaan, Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan bahawa usaha untuk menegakkan Khilafah untuk kedua kalinya merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim. Ujarnya lagi, dengan hanya penegakan Khilafah sahajalah, agama Allah S.W.T ini akan dapat dizahirkan semula dan Islam akan kembali sebagai rahmat bagi seluruh alam. Ustaz Hakim menjelaskan bahawa HIzbut Tahrir berusaha siang dan malam untuk menegakkan semula Daulah Khilafah, dan Hizbut Tahrir juga telah membuat jangkaan sekiranya Khilafah berdiri nanti, pelbagai halangan dan tentangan dari pelbagai sudut bakal dihadapi oleh Khilafah. Justeru, persediaan ke arah itu hendaklah dilakukan dari sekarang agar apabila Allah memberikan kekuasaan suatu hari nanti, Daulah Khilafah ini akan dapat mempertahankan diri dari segala tentangan luar, di samping menjaga penerapan Islam dari dalam.
Prof. Dr. Muhammad selaku ahli panel pertama telah membentangkan dalil dari Al-Quran dan Sunnah bahawa Khilafah mengikut manhaj kenabian buat kedua kalinya akan berdiri semula, malah beliau membentangkan bahawa ulama empat mazhab sendiri tiada khilaf (perselisihan) dalam mengatakan Khilafah merupakan satu kewajipan.
“Sejarah telah membuktikan Khilafah merupakan kuasa besar yang berdiri selama lebih 1300 tahun dan pernah menguasai hampir dua pertiga dunia. Seluruh umat manusia telah menyaksikan yang umat Islam telah menguasai timur dan barat dunia dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, perindustrian, ekonomi, dan juga politik, dan ini semua berlaku hanya ketika umat Islam berada di bawah kepimpinan seorang Khalifah. Malah, semasa wujudnya Khilafah, kesejahteraan dan keadilan bukan sahaja berlaku ke atas umat Islam tetapi juga kepada mereka yang bukan Islam” katanya.
Tegasnya lagi, walau dalam keadaan lemah sekalipun, Khilafah sebagai entiti politik umat Islam yang terbesar telah berjaya menghalang usaha pihak kuffar untuk mempersendakan agama Islam dan Rasulllah S.A.W yang ternyata berbeza jika dibandingkan dengan keadaan pemimpin kaum muslimin yang ada pada hari ini yang tidak berbuat apa-apa.
Kini, gelombang kebangkitan umat Islam dan gerakan Islam untuk mewujudkan semula Khilafah semakin membesar dan Hizbut Tahrir adalah di antara gerakan Islam yang berusaha di seluruh dunia untuk merealisasikannya, tegas Profesor tersebut.
Ujarnya lagi, pihak Barat sendiri telah begitu takut akan kedatangan Khilafah dan perkara ini sudah tidak dapat siembunyikan lagi oleh mereka. Beliau memetik salah satu artikel oleh John Shea (Vol 16 – No 3857, Jan 19 2010, The American Reporter “War against The Caliphate”), yang berbentuk surat terbuka kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang mana John Shea melahirkan keyakinannya bahawa akan munculnya semula Khilafah yang akan menjadi sebuah Negara yang kuat, dan beliau menyeru Presiden Obama untuk mengubah polisinya dalam menyokong negeri kaum Muslimin, agar apabila Khilafah berdiri nanti, Barat tidak akan menghadapi masalah dengan Khilafah.
Ustaz Umar Hussain selaku ahli panel kedua telah menghuraikan dengan menyeluruh tentangan-tentangan yang bakal dihadapi daripada pihak kuffar apabila berdirinya Khilafah nanti.
Beliau berkata, Daulah Khilafah akan menghadapi tentangan dari luar dan dalam serta serangan dalam bentuk pemikiran, politik dan fizikal. Namun, sebagai kuasa besar kelak Daulah Khilafah pasti akan dapat mematahkan semua serangan tersebut dan Khalifah akan melancarkan jihad untuk menentang pihak kuffar kelak.
“Realitinya kini, umat Islam berjumlah 1.6 billion dengan jumlah tentera yang cukup banyak. Jika umat Islam bersatu dibawah satu kepimpinan (Negara Khilafah), satu pemikiran, perasaan dan sistem serta tindakan yang sama selain akidah yang mantap, maka segala cubaan dan tentangan dari pihak kuffar akan pasti dapat diatasi dengan mudah.” katanya.
“Namun, umat Islam perlu jelas terlebih dahulu bahawa menegakkan Khilafah adalah satu kewajipan. Perlu untuk mewujudkannya kembali dan setelah ianya wujud, maka wajib mempertahankannya seperti persoalan hidup dan mati,” katanya.
Sebaik sahaja Ustaz Umar menyelesaikan pembentangannya, sesi soal jawab telah diadakan dan para peserta yang hadir rata-ratanya bersetuju bahawa Khilafah merupakan satu-satunya penyelesaian untuk mengembalikan kemuliaan Islam dan umatnya dan akan pasti menjadi kuasa besar dunia.
Munaqashah ini berakhir dengan bacaan doa oleh Ustaz Hafiz Ismail yang juga Naqib HTM Kawasan Bangi.
Khilafah Centre boleh dihubungi di talian 03-8922 3149.