Saling Mencintai Kerana Allah

cinta-benci-kerana-allah-1Cinta yang paling tinggi dan mutlak bagi seseorang Muslim adalah cinta kepada Allah SWT, Dzat yang Maha Agung. Segala bentuk cinta yang terbit dan kepada sesiapa pun cinta itu ingin ditujukan, ia sepatutnya berlandaskan kepada cinta yang paling tinggi tersebut. Rasulullah saw telah bersabda:

“Tali iman yang paling kuat adalah mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah” [HR Tirmizi]

 

Bahkan mencintai kerana Allah menjadi ciri kesempurnaan iman seseorang Muslim sebagaimana sabda Nabi saw:

“Sesiapa sahaja yang mencintai kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna imannya.” [HR Abu Dawud dan Tirmizi]

Ada beberapa faktor yang dapat mengukuhkan kecintaan kita di jalan Allah SWT. Antaranya:

1. Memaklumkan kepada orang yang kita cintai bahawa kita mencintainya kerana Allah. Diriwayatkan daripada Abu Dzar ra bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Apabila ada seorang daripada kalian mencintai sahabatnya, hendaklah dia datang ke rumahnya dan memberitahu kepadanya bahawa dia mencintai sahabatnya kerana Allah SWT” [HR Ibnu Mubarak dalam kitab Az-Zuhd]

2. Saling memberi hadiah. Rasulullah saw bersabda daripada Abu Hurairah ra:

“Berilah hadiah antara satu sama lain, nescaya kalian akan saling mencintai” [HR Bukhari dan Baihaqi]

3. Saling mengunjungi. Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw pernah bersabda:

“Wahai Abu Hurairah! berkunjunglah engkau dengan baik, tidak terlalu kerap dan terlalu jarang, nescaya akan bertambah sayang.” [HR Thabrani dan Baihaqi].

4. Saling mengucapkan salam. Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah kalian masuk syurga sehingga kalian beriman. Tidaklah kalian beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan tentang sesuatu yang apabila kalian lakukan, kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.”
[HR Muslim]

5. Jangan berprasangka buruk dan melakukan ghibah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di kalangan kamu yang mengumpat (ghibah) sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kalian merasa jijik…” [TMQ Al-Hujurat (49): 12]

6. Memiliki sikap kebersamaan. Rasulullah saw bersabda:

“Orang-orang Mukmin itu ibarat satu tubuh. Apabila satu anggota badan sakit, maka seluruh tubuh turut merasa sakit dengan demam dan tidak dapat tidur.” [HR Muslim]

Berdasarkan penjelasan Rasulullah saw dalam beberapa hadisnya, buah dan hasil daripada saling mencintai di jalan Allah adalah seperti mendapat kecintaan dan kemuliaan daripada Allah SWT. Kita juga mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat ketika tidak ada naungan kecuali naungan Allah, merasakan manisnya iman, meraih kesempurnaan iman dan akan dimasukkan ke dalam syurga.

Rasulullah saw bersabda sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah ra:

 “Allah berfirman pada Hari Kiamat, “Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu pada hari ini? Aku akan menaungi mereka dalam naunganKu pada hari yang tiada naungan kecuali naunganKu.” [HR Muslim]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah telah bersabda:

ukhwah-6“Orang-orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya dalam naungan ‘Arsy pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya. Rasulullah saw pun menceritakan dari Rabbnya yang berfirman: CintaKu adalah untuk orang-orang yang saling mencintai keranaKu. CintaKu adalah untuk orang-orang yang saling tolong-menolong keranaKu. CintaKu adalah untuk orang-orang yang saling berkunjung keranaKu. Orang-orang yang bercinta kerana Allah berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya dalam naungan ‘Arsy pada hari tiada naungan kecuali naunganNya.” [HR Ahmad]

Rasulullah saw juga bersabda, daripada Muadz bin Jabal ra, bahawa Allah SWT telah berfirman:

“Orang-orang yang mencintai kerana keagunganKu, mereka mendapatkan mimbar-mimbar daripada cahaya sehingga para nabi dan syuhada cemburu terhadap mereka.” [HR Tirmidzi]

Mudah-mudahan kita semua dapat meraih segala kemuliaan dan keutamaan ini melalui cinta kerana Allah. Amiin.