Seminar HTM Di Kuantan Dibatalkan
Kami dimaklumkan oleh pihak premis bahawa mereka diarahkan oleh unit Cawangan Khas (SB) PDRM untuk membatalkan seminar ini. Kami telah berusaha untuk berunding dengan pihak premis, namun gagal. Jawapan yang kami terima ialah “ini adalah keputusan pengurus besar” manakala apabila kami meminta untuk berjumpa dengan pengurus besar, dia tidak ada di pejabat dan tidak dapat dihubungi.
Nampakya pihak premis telah tunduk kepada arahan PDRM walaupun arahan PDRM adalah bertentangan dengan undang-undang, malah arahan PDRM ini sebenarnya bertentangan dengan Islam kerana mereka sebenarnya cuba menghalang pihak kami dari menyampaikan Islam.
Seminggu sebelumnya, pihak SB telah menahan salah seorang anggota HTM di Masjid Negeri, Kuantan kerana ‘kesalahan’ menyebarkan flyers yang mengandungi iklan seminar. Satu hal yang bertentangan dengan undang-undang dan langsung tidak masuk akal apabila sebaran flyers (iklan) pun dikatakan kesalahan! Anggota kami turut dikasari semasa ditahan dan apabila anggota kami mengingatkan mereka bahawa apa yang kami lakukan tidak bersalahan dengan undang-undang dan kerja kami adalah untuk menyampaikan Islam yang mana kewajipan yang sama terkena ke atas mereka, namun mereka menjawab “kami (SB) hanya mengikut arahan orang atas”.
Pada hari seminar tersebut, pintu dewan telah dikunci dan tiada sesiapa yang dibenarkan masuk. Presiden dan Timbalan Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dan Ustaz Umar Husien yang masing-masing sepatutnya menjadi ahli panel dalam seminar tersebut hadir seawal 8 pagi bersama beberapa orang petugas seminar yang hanya mampu berdiri di luar dewan dan melayan orang ramai yang berdatangan. Mereka yang hadir meluahkan rasa hampa dan kecewa dengan tindakan polis dan pihak premis yang membatalkan seminar ini. Sekitar 10 orang anggota polis lengkap beruniform telah ditugaskan ke sana. Juga, sekitar 6-8 SB turut kelihatan berkeliaran dan ada yang mengambil gambar dan video secara sembunyi-sembunyi.
Tiada kata-kata yang dapat kami luahkan bagi menggambarkan sikap para SB/PDRM ini terhadap perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini. Maha Suci Allah yang telah menjelaskan sikap mereka terhadap agamaNya,
“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah berhukum kepada apa yang diturunkan oleh Allah dan Rasul(Nya)’ nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu” [TMQ An-Nisa (5):61].
Tidak kiralah siapa ketua mereka yang memberikan arahan, baik dari kalangan pegawai atasan polis, ketua polis sendiri, mahupun menteri atau perdana menteri sekalipun, nampaknya dengan sedikit kuasa yang ada pada mereka di dunia ini, sungguh berani mereka menghalang usaha menegakkan agama Allah. Ya, mereka boleh menunjukkan kuasa dan kesombongan di dunia fana ini, namun demi Allah, di akhirat nanti akan rugilah mereka dan akan celakalah mereka serta akan menyesallah mereka dengan apa yang mereka lakukan ini. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan melepaskan mereka mahupun ketua mereka dari azabNya. Inilah janji Allah. Allah SWT berfirman,
“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong (yang menjadi pemimpinnya), ‘Sesungguhnya kami dahulu (di dunia) adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindar daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka (pemimpin) menjawab, ‘Kalaulah Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau kita bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri (dari azab Allah)” [TMQ Ibrahim (14):21].
“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya), ‘Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah’. Dan mereka berkata lagi, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!” [Al-Ahzab (33):66-68].
Walaupun mereka dapat menghalang kami dari mengadakan seminar ini, namun demi Allah, kita semua yakin bahawa mereka sekali-kali tidak akan dapat menghalang agama Allah dari ditegakkan.
Insya Allah, kami akan berusaha untuk mengadakan lagi seminar ini dalam masa terdekat. Semoga Allah sentiasa memberkati usaha hamba-hambaNya yang ikhlas untuk menegakkan agamaNya.
Kami mengucapkan ribuan terima kasih dan memohon maaf kepada mereka yang telah hadir ke seminar tersebut.
HIZBUT TAHRIR MALAYSIA (HTM)
22 Zulkaedah 1431H
30 Oktober 2010