Seminar Hijrah Anjuran Hizbut Tahrir Malaysia

hijrah-03Shah Alam, 5hb Disember: Bertempat di Masjid Ubudiah Seksyen 19 Shah Alam semalam telah berlangsung seminar hijrah anjuran Khilafah Centre dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia. Seminar kali ini membincangkan tajuk “Hijrah Bukan Sekadar Lintasan Sejarah Tetapi Adalah Hukum Yang Masih Berlangsung”. Pada seminar kali ini, dua orang ahli panel telah membentangkan tajuk kajian masing-masing, mereka adalah Saudara Khairul Effendy dan Ustaz Umar Hussein. Antara perkara yang disentuh adalah peranan golongan  Anshar, makna hakiki hijrah, tholabun nusrah dan hukum berkenaan dengan hijrah. Di dalam pembentangannya, saudara Khairul Effendy yang juga merupakan salah seorang aktivis dakwah HTM telah menekankan tentang peri pentingnya umat Islam memahami aktiviti hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.  Apa yang perlu difahami adalah, hijrah Rasulullah SAW itu bukan untuk mengelakkan diri daripada ancaman puak kuffar Quraisyh, tetapi ia merupakan suatu perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan kepada wahyu yang diperintahkan oleh Allah SAW.

Beliau juga menyentuh berkenaan dengan isu dan persoalan Thalabun Nusrah yang merupakan salah satu dari af’al Rasul yang menjadi  fasa perjalanan thoriqah dakwah Nabi SAW dalam perjuangan baginda untuk menegakkan Daulah Islam. Khairul Effendy juga telah menjelaskan kekaburan yang melingkungi umat Islam, khususnya kalangan gerakan Islam hari ini dalam melihat jalan manakah yang perlu ditempuh oleh mereka di dalam mendapatkan “kekuasaan” bagi membolehkan Islam itu berkuasa. Kekaburan tersebut menyebabkan mereka masih mengharapkan ‘ruang-ruang’ yang ada di dalam sistem demokrasi untuk mendapatkan kuasa dan menerapkan Islam. Sedangkan hakikatnya demokrasi adalah perangkap maut dan racun berbisa yang dicipta oleh barat untuk membius dan seterusnya membunuh Islam dan umat Islam.
 
Manakala ahli panel kedua Ustaz Umar Hussein yang juga merupakan Timbalan Presiden Hizbut Tahrir Malaysia telah menghuraikan kedudukan dan makna hijrah secara syarie dan hukum-hukum berkenaan dengan hijrah. Kesalahan pemahaman umat Islam di dalam melihat fakta dan realiti hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang telah berlalu 1432H yang lalu menyebabkan kehidupan umat Islam hari terus terperosok. Di mana-mana sahaja umat Islam terus dihina , disiksa dan seumpamanya. Dalam pembentangan beliau, Umar menjelaskan bahawa hijrah yang sepatutnya dihayati dan wajib diteladani oleh umat Islam hari ini adalah hijrah yang telah dilakukan oleh baginda SAW. Di mana dengan hijrahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ianya bermakna suatu kepimpinan baru, suatu negara baru, suatu kehidupan baru dan juga suatu tamadun baru telah berjaya diwujudkan oleh Rasulullah SAW bagi menggantikan sistem jahiliyyah yang telah sekian lama melingkungi kehidupan masyarakat Arab. Benarlah kata-kata Umar Al-Khattab bahawa “hijrah itu adalah yang membezakan di antara hak dan batil”. Selepas hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itulah terbitnya sinar kegemilangan cahaya Islam yang memayungi dan menyinari seluruh Jazirah Arab sehingga berjaya menguasai dua pertiga dunia. Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab dari para peserta.
Pihak penganjur iaitu HTM Kawasan Kuala Lumpur ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada hadirin yang hadir dan sambutan  menggalakkan yang telah diberi oleh umat Islam sekitar Shah Alam pada seminar kali ini. Apa yang diharapkan adalah semoga tahun hijrah 1432H kali ini bakal menyaksikan tertegaknya Daulah Islam di muka bumi Allah ini dan seterusnya memberikan kegembiraan kepada orang-orang yang telah berusaha menegakkannya dengan tekun, istiqamah, bersungguh-sungguh dan ikhlas mengikut thoriqah Rasulullah SAW.

hijrah-01

hijrah-02

hijrah-03

hijrah-04

hijrah-05

Masjid Ubudiah Seksyen 19 Shah Alam, Selangor D.E