Presiden HTM bertemu Saifuddin Nasution
Abdul Hakim menjelaskan serba sedikit tentang Hizbut Tahrir dan perjuangan Hizb di dalam menegakkan Khilafah di seluruh dunia. Presiden HTM itu juga menjelaskan tentang perkembangan terbaru Hizb di Malaysia dan juga di lain-lain negara yang semakin mendapat perhatian umat Islam.
Pelbagai isu dibincangkan dalam pertemuan sulung tersebut khususnya isu-isu semasa politik tanah air dan juga antarabangsa. Walaupun suasana perbincangan agak santai, tetapi Saifuddin tetap serius dalam membincangkan setiap isu, yang menunjukkan keprihatinan beliau kepada setiap peristiwa politik yang berlaku. Selain isu semasa seperti kebangkitan rakyat, isu perhimpunan Bersih, isu Felda dan isu pilihan raya umum akan datang turut disentuh dengan agak mendalam oleh Ahli Parlimen Machang itu.
Ust Hakim sempat menerangkan tentang pendirian HizbutTahrir berkenaan pilihan raya dan walaupun wujudnya perbezaan pendapat tentangnya, Presiden HTM itu menasihatkan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat menang di dalam pilihan raya umum yang akan datang, ia diharap menerapkan Islam secara keseluruhan. Inilah yang diingini oleh Hizbut Tahrir dan juga oleh umat Islam, di mana umat Islam mahukan pemerintah, siapa pun ia, menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan, kerana menerapkan hukum Allah itu merupakan kewajipan ke atas setiap pemimpin.
Pertemuan berakhir dengan Abdul Hakim menghadiahkan dua buah buku kepada Saifuddin “The Islamic State” (Negara Islam) dan juga “Struktur Negara Khilafah Di Dalam Pemerintahan Dan Administrasi” keluaran Hizbut Tahrir.