Dialog Negara Islam di Melaka terus disambut baik

MELAKA 25 November – Bertempat di Dewan Tun Sri Lanang, Hang Tuah City Hotel, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) meneruskan siri jelajah Malaysia Dialog Negara Islam ke-11 peringkat negeri Melaka. Peserta yang hadir  memenuhi dewan membuktikan bahawa rakyat Melaka juga tidak mahu ketinggalan untuk mendengar dan memberi sokongan kepada perjuangan menegakkan Khilafah.

Majlis yang bermula lebih kurang 9.15 pagi itu dipengerusikan oleh Ustaz Abu Abbas dan diawali dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh Sdr Shahril. Moderator pada kali ini adalah Dr.Daris manakala Ustaz Abdul Hakim Othman, Presiden HTM dan Ustaz Tarmizi Salleh, AJK Pusat HTM selaku ahli panel.

Banyak soalan yang diajukan berkisar usaha-usaha yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir (HT) dalam mengembalikan sistem Khilafah, pandangan HT tentang pilihan raya, bagaimana menentukan status sebuah Negara Islam, tohmahan-tohmahan ke atas HT dan banyak lagi. Setelah kesemuanya dijawab oleh ahli panel, di bahagian akhir majlis, persoalan bertumpu kepada kesan-kesan daripada dakwah Hizbut Tahrir dan apakah perkara yang harus dilakukan oleh para hadhirin selepas ini.

Sebelum majlis ditutup, Abdul Hakim menyeru kepada peserta yang hadir agar sedar akan kewajiban mereka di dalam usaha untuk menegakkan Negara Khilafah di mana tidak ada jalan lain yang boleh mengembalikan kesatuan dan kemuliaan kaum Muslimin di seluruh dunia kecuali dengan tegaknya Khilafah dan dibaiahnya seorang Khalifah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.