Seruan Hizbut Tahrir Malaysia Sempena Ketibaan Musim Piliharaya Umum Ke-13
Sebagai pembuka bicara seruan tersebut, Ustaz Umar Hussein telah mengajak para jemaah agar meluangkan sedikit masa bagi mendengar seruan yang bakal disampaikan di samping mengingatkan umat Islam tentang tipu daya Barat yang telah berjaya menyogok dunia Islam dengan demokrasi yang pada hakikatnya adalah suatu sistem yang batil di mana haram bagi umat Islam untuk mengambilnya, menerapkannya dan menyebarluaskannya. Kemudian seruan diteruskan pula oleh Ustaz Isa Abdullah yang dengan lantangnya mengatakan bahawa perkara yang hak dan yang batil tidak boleh bercampur sama sekali. Islam tidak boleh disamakan dengan demokrasi. Islam tidak memerlukan demokrasi untuk ditegakkan. Islam adalah suatu mabda yang sempurna dan berdiri dengan sendirinya kerana Islam itu datangnya daripada Allah SWT. Tetapi hakikatnya, umat Islam pada hari ini tidak lagi menyedari perkara ini. Mereka masih beranggapan bahawa demokrasi itu boleh dan dibenarkan dalam Islam yang mana ia akhirnya membuatkan umat Islam terperangkap dengan racun berbisa yang disogokkan oleh Barat itu. Yang menentukan boleh atau tidaknya sesuatu perkara adalah suara majoriti dan inilah prinsip yang paling suci dalam sistem kufur demokrasi. Ini adalah sesuatu yang sungguh bertentangan dengan Islam. Dalam Islam, kayu ukur kebenaran itu diukur dan ditentukan oleh hukum syarak semata-mata. “Sudah sampai masanya umat Islam meninggalkan dan membuang demokrasi”, seru Ustaz Isa. “Apakah hukum jahiliyyah yang kamu cari?!”, serunya lagi. Demokrasi adalah sistem yang membenarkan mereka (ahli parlimen yang terpilih) yang berada di tempat legislatif untuk merampas hak Allah SWT sebagi musyari’ (pembuat hukum). Demokrasi yang diterima oleh kebanyakan negara di dunia ini pada hakikatnya telah membawa musibah yang berpanjangan yang tidak ada kesudahannya. Mengapa masih diletakkan kepercayaan dan harapan kepada demokrasi? Apa yang pastinya, pihak mana pun yang memenangi kerusi dalam PRU-13 tidak akan meletakkan Islam di tempat yang selayaknya. Islam akan terus menjadi bahan yang ditawar menawar oleh pihak yang bertarung dalam pilihann raya umum kali ini, sedangkan Islam itu adalah penawar yang hakiki bagi umat manusia, kata Ustaz Isa lagi.
Ketika kebanyakan jemaah sedang khusyuk memberi penuh perhatian kepada seruan yang disampaikan oleh Ustaz Isa, tiba-tiba suasana dikejutkan oleh bunyi bising melalui jeritan-jeritan dan bunyi-bunyian yang pelik. Amat menyedihkan apabila didapati yang melakukan perkara jelek tersebut ialah pegawai keselamatan masjid yang sama yang telah menghalau keluar anggota-anggota HTM di awal tadi. Dengan berpakaian baju melayu lengkap bersamping serta bersonggok hitam, tanpa perasaan malu pengawal keselamatan tadi naik berdiri di atas tembok berdekatan sambil menjerit-jerit dan membuat bunyi bising dengan tujuan untuk mengganggu dan mengalihkan perhatian umat daripada mendengar seruan yang sedang dilakukan oleh Hizbut Tahrir. Tindakan pegawai yang sudah berusia tersebut yang seperti kebudak-budakan dan menjengkelkan itu akhirnya telah membangkitkan kemarahan para jemaah yang hadir. Bagaimanakah orang yang berperangai buruk sebegini boleh diberikan amanah untuk menjaga keharmonian dan keselamatan rumah Allah yang juga merupakan tempat untuk menyebarkan dakwah!? Dia bukan sahaja telah menghalang daripada dakwah dibuat dalam kawasan masjid, malah menghalang umat daripada mendengar seruan dakwah di luar masjid. Ini sungguh memalukan.
Seruan itu kemudiannya diakhiri dengan doa penutup oleh Ustaz Isa. Di sepanjang seruan itu disampaikan, para jemaah yang mendengar seruan tersebut turut dijemput untuk menandatangani kain rentang yang disediakan oleh HTM sebagai tanda sokongan kepada seruan agar Islam diterapkan secara kaffah di Malaysia. Diharapkan mudah-mudahan umat Islam sedar dan memahami bahawa demokrasi adalah racun yang disuntik oleh Barat untuk menghancurkan Islam.