Seminar ekonomi HTM perjelas kerosakan sistem Kapitalis
Ridhuan selaku ahli panel pertama memulakan pembentangannya dengan membawa kisah penderitaan sebuah keluarga di Pulau Pinang yang berlaku di depan matanya sendiri. Beliau kemudian menerangkan apakah sistem kapitalisme dan seterusnya menjelaskan bagaimana sistem buatan manusia tersebut adalah penyebab utama kepada penderitaan sebahagian besar umat manusia. Inilah hakikat yang tidak disedari oleh ramai umat Islam.
Acara diteruskan dengan pembentangan kedua dari Abu Sulaiman yang menerangkan tentang “bahana cukai” yang merupakan antara tunjang utama sistem Kapitalis. Pembentangan bersahaja dari beliau ini turut menyentuh isu GST yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia sekarang. Beliau membongkar propaganda yang di lakukan pemerintah kepada rakyat dalam usaha pemerintah “memperindah” GST yang akan dilaksana April tahun hadapan.
Abu Hafiz selaku panel terakhir mengambil tempat membentangkan bagaimana pelaksanaan sistem ekonomi Islam akan menyelesaikan kesemua masalah manusia, khususnya menyelesaikan segala kerosakan yang ditimbulkan oleh sistem Kapitalis. Beliau turut menegaskan bahawa sistem ekonomi Islam ini perlu berjalan seiring dengan sistem-sistem Islam yang lain seperti sistem pemerintahan, sistem pergaulan, sistem pendidikan, sistem uqubat dan lain-lain. Tegas beliau, sistem ekonomi Islam tidak dapat disempurnakan secara sendiri kerana setiap sistem di dalam Islam terkait di antara satu sama lain.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi soal-jawab sebelum bersurai lebih kurang jam 12.30 tengah hari. HTM mengharapkan seminar seumpama ini akan memberi sedikit pencerahan kepada umat Islam berkenaan kerosakan sistem Kapitalis buatan manusia dan betapa perlunya kita berusaha untuk mengembalikan sistem Islam ke dalam kehidupan.