Selesai dulu sebuah drama, nanti akan berulang lagi…
Terbuktilah sangkaan para penonton kebanyakannya betul belaka, Datuk Ahmad Ismail menjadi mangsa terbaru. Dia dijatuhkan hukuman gantung hak keahlian selama 3 tahun.
Walaupun dia telah menerima keputusan tersebut dengan tenang, namun, dia masih beranggapan dirinya tidak bersalah kerana mempertahankan kenyataannya berhubung status kaum Cina di negara ini. Begitulah realiti sketsa politik yang pasti menjadikan seseorang sebagai mangsa sebagai pelengkap jalan cerita. Tidak kira apa jua faktor dan alasan yang diberikan oleh Datuk Ahmad, hukuman telah pun dijatuhkan dan ia sudah tentu bukan sebagai satu jalan penyelesaian kepada kemelut perkauman kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN)
Semua orang tahu pergaduhan sesama ketua kaum di dalam BN bukanlah perkara baru. Sketsa ini nampaknya menjadi sangat popular lebih-lebih lagi kepada Buletin Utama di TV3 dan Berita Perdana di TV1. Ia dijadikan ’isu’ utama oleh kedua-dua siaran berita dan ’isu’ ini terus dimainkan agak lama sehingga seolah-olah tiada berita lain yang lebih penting darinya. Seperti biasa Pak Lah dipotretkan oleh media sebagai seorang pelakon utama yang tenang di dalam menangani kemelut ini sambil berhadapan dengan desakan daripada ketua-ketua kaum komponen BN yang lain. Dia seolah-olahnya seperti nakhoda yang dengan tenang sedang mengemudi bahtera yang sebenarnya sudah usang dan menunggu masa untuk karam.
Sketsa pertelagahan antara pemimpin kaum di dalam BN adalah perkara biasa yang akan dimunculkan tatkala negara sedang menghadapi pelbagai isu besar yang cuba diselindungkan dari rakyat atau isu yang cuba diselindungkan demi menyelamatkan parti itu sendiri. Isu berkaitan kenaikan harga barangan kesan daripada kenaikan harga minyak yang mendadak dan besar, kadar inflasi sedang meningkat, pergaduhan dan persaingan tidak sihat sesama ahli di dalam parti-parti komponen hanya menunggu masa sahaja untuk meletup.
Pergaduhan dan pergeseran dalaman memerlukan cetusan dari luar untuk memantapkan lagi ikatan sesama ahli. Ini adalah sifat tabii ikatan assabiyyah di dalam suatu kelompok manusia. Sekiranya tidak ada ancaman dari luar, maka akan wujud persaingan dalaman sesama ahli. Justeru, isu seperti ancaman dari luar terpaksa direka agar ahli-ahli di dalam parti diharapkan kembali bersatu untuk menentang ancaman dari luar itu. Dalam kes ini, ancaman dari luar yang dimaksudkan adalah ‘kelemahan Melayu’ disebabkan adanya ‘persaingan’ dari bangsa Cina. Juga, ancaman yang muncul dari ‘kekuatan’ parti lawan yang boleh menyebabkan anggota BN/UMNO melompat ke sana. Justeru, untuk menyatukan semula sesama anggota BN/UMNO, isu perkauman perlu dimainkan, agar ahli parti Melayu bersatu semula di bawah UMNO untuk mendapatkan kekuatan, kerana kononnya UMNOlah satu-satunya parti yang akan menjaga Melayu.
Hal di atas menjadi penting apatah lagi dalam keadaan UMNO yang akan kembali ‘bergaduh’ sesama sendiri di musim pemilihan nanti. Jadi, unsur ‘ancaman’ dari luar ini memang perlu agar sentimen Melayu dan perpaduan dapat dibangkitkan dan senantiasa segar dalam ingatan, jika tidak secara terang-terangan pun, perlu dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Inilah dasar politik assabiyyah yang senantiasa memerlukan ‘ancaman’ yang direka dari luar untuk menguatkan ikatan sesama ahli.
Walhal, apalah sangat yang menghalang mereka dari menukar perjuangan assabiyyah tersebut kepada perjuangan Islam? Yang pasti, jawapannya adalah ‘manfaat’! Manfaat dunia yang sejak 50 tahun lalu yang dinikmati dalam UMNOlah yang selama ini menjadi penghalang. Manfaat dunia berupa kuasa, harta, kekayaan, pangkat, status dan sebagainya ini menjadikan mereka kasihkan dunia dan ingin hidup kekal, dengan mereka lupa bahawa hari ini ataupun esok, mereka pasti mati dan menghadap Allah!!!