Perutusan Hari Raya Idul Fitri 1429H
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR, LA ILAHA ILLALLAHU WALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD…
Kaum Muslimin yang dikasihi…
Ramadhan yang mulia telah pun meninggalkan kita dan kini Syawal telah menjelang tiba. Begitu cepat rasanya masa berlalu hinggakan kemanisan beribadah di bulan yang penuh berkat itu belum pun lagi puas kita nikmati, namun berlalulah sudah ia sebagai sebuah ketetapan dari Allah Azza Wa Jalla. Semoga kita akan diberi kesempatan oleh Yang Maha Kuasa untuk berjumpa lagi dengan Ramadhan yang mendatang agar kita dapat mengecapi lagi kemanisan mengabdikan diri di dalamnya.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, umat Islam tahun ini sekali lagi menyambut 1 Syawal di dalam hari-hari yang berbeza mengikut ketentuan pemerintah di negara masing-masing. Umat Islam masih lagi tidak mempunyai seorang Khalifah yang boleh menyatukan hari kebesaran mereka ini. Para pemerintah sekular yang masih taat menjaga batas sempadan negara-bangsa yang telah dicipta oleh penjajah sejak sekian lama, masih menjadi benteng pemisah bagi umat Islam di seluruh dunia untuk bersama-sama bertakbir membesarkan Allah pada hari yang sama.
Kaum Muslimin yang dimuliakan…
Tidak ada yang lebih indah untuk dilihat dan didengar pada 1 Syawal kecuali gema takbir kaum Muslimin bagi membesarkan dan mensucikan Tuhan mereka. Alangkah indahnya jika gema takbir itu dilaungkan secara serentak oleh kaum Muslimin di hari yang sama di seluruh dunia yang menandakan kesatuan akidah dan hukum syarak yang mereka miliki. Di pagi hari yang mulia ini, kita semua bertasbih dan bertahmid,
اللهُ اَكْبَرْ كَبِيْراً وَالْحَمْدَ ِللهِ كَثِيْراً وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَّأَصِيْلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَةُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ
جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابُ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ هُوَ اللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ
.Mungkin ramai di kalangan kita yang tidak sedar atau tidak faham bahawa tasbih hari raya yang dikumandangkan itu antara lain mengandungi ucapan bahawa Allah telah memuliakan tenteranya dan memberikan kejayaan ke atas mereka dengan dikalahkan tentera Ahzab dengan keEsaanNya.
Jika kita menelusuri kisah Perang Ahzab, kita akan mendapati bahawa pihak kaum Muslimin telah terkepung dengan pasukan gabungan (ahzab) kafir Quraisy dan Yahudi dan mereka telah nekad untuk menyerang Rasulullah dan kaum Muslimin pada esok harinya secara serentak dari beberapa penjuru. Maha Perkasa Allah yang telah menurunkan ribut pada malam itu yang telah memecah dan memporak-porandakan barisan musuh dan segala kelengkapan serta peralatan mereka. Walaupun kaum Muslimin berada di dalam keadaan terkepung, namun kaum kafir telah berjaya dikalahkan semata-mata dengan kekuatan dan pertolongan Allah yang Maha Esa.
Inilah di antara janji Allah kepada kaum Muslimin yakni kemenangan kepada mereka yang menolong agamaNya. Kuat mana sekalipun golongan yang menentang agama Allah, sesungguhnya amat mudah bagi Allah untuk menghapuskan mereka. Syaratnya, kaum Muslimin itu sendiri hendaklah terlebih dahulu menolong agama Allah. FirmanNya,
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47):7].
Justeru, tanyalah diri kita sendiri adakah kita telah benar-benar menolong agama Allah? Adakah kita telah berusaha untuk menegakkan agama Allah? Adakah kita telah bergerak untuk berdakwah kepada umat Islam dan para pemimpin yang menerapkan hukum taghut sekarang? Apakah kita telah menyahut seruan Allah dan RasulNya dan berusaha untuk merubah hukum kufur yang ada sekarang dengan menggantikannya dengan hukum ciptaan Allah? Atau apakah kita hanya memilih untuk mementingkan dunia dan berdiam diri dengan sistem kufur yang mendominasi kita sekarang? Atau ada di antara kita yang memilih jalan yang lebih hina dan keji untuk bersama menyokong dan mempertahankan sistem kufur ini demi secebis habuan dunia yang diharapkan?
Kaum Muslimin yang dimuliakan…
Kita sering mendengar dan memperkatakan bahawa Idul Fitri merupakan hari kemenangan kepada mereka yang berpuasa. Benar, kita tidak menafikan kenyataan ini dilihat dari konteks pencapaian setelah berpuasa itu sendiri. Persoalannya, apakah umat Islam itu telah meraih kemenangan sebagaimana yang Allah perintahkan? Apakah umat Islam itu benar-benar telah mencapai kemenangan sebagaimana kemenangan yang telah dicapai oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kemenangan setelah berpuasa sebulan (semata-mata) merupakan kemenangan hakiki umat Islam sehingga tidak ada lagi perjuangan untuk mencapai kemenangan sesudah itu? Apakah Takbir Kemenangan yang kita laungkan tidak mengingatkan kita tentang kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Rasulullah dan para Khulafa’ setelah mereka berjaya menguasai dunia dan menerapkan hukum Allah di bumiNya?
Dahulu, saban tahun Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan menyambut Idul Fitri dengan kemenangan. Mereka tidak berhenti-henti berdakwah untuk menyebarkan agama Allah. Mereka berpuasa dan mereka berjihad untuk menyebarluaskan Islam. Mereka berhari raya dan mereka pastikan bumi ini tidak diperintah kecuali dengan hukum Allah semata. Mereka menyambut Idul Fitri dengan memastikan agama Allah adalah agama yang menakluki dunia. Rasulullah dan para sahabat meraikan Idul Fitri dengan memastikan kemenangan adalah berpihak kepada Islam dan kaum Muslimin. Inilah kemenangan hakiki umat Islam sebagaimana yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukannya sekadar kemenangan di dalam melengkapkan 30 hari berpuasa semata-semata.
Saudaraku yang dimuliakan…
Sedarlah bahawa kita bertakbir untuk membesar dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebahagian kita bertakbir dengan penuh perasaan di dalam masjid, tetapi apabila di luar masjid mereka takbur kepada Allah. Mereka berhukum dengan hukum selain Allah. Mereka mengambil sistem yang lain dari sistem Allah. Mereka berjuang dan mempertahankan sistem Demokrasi ciptaan kuffar, mereka masih berpegang erat dengan assabiyyah, wathaniyyah, masih memperjuangkan sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya. Mereka mengagungkan kekayaan, kekuasaan, dan kedudukan dengan meninggalkan syariat Allah. Mereka membesarkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi. Mereka mementingkan kehidupan dunia yang rendah berbanding akhirat. Mereka memikirkan dunia dan takut akan kehilangan kenikmatan dunia yang sedikit dan lupa akan nikmat akhirat yang tidak terbatas. Kerana semua ini, mereka memilih untuk hidup selesa di dunia dan tidak mempedulikan perjuangan untuk menegakkan syariat Allah. Islam diambil sebagai agama untuk kepentingan peribadi, bukan agama untuk diperjuangkan. Malah lebih buruk, sebahagian dari mereka memandang serong golongan yang berjuang untuk mengembalikan syariat Islam. Inilah sebahagian sikap umat Islam yang takbur walaupun mereka melaungkan takbir kepada Allah.
Bagaimana mungkin manusia boleh selamat dari azab Allah apabila mereka hanya mengambil aqidah Islam, tetapi meninggalkan syariat Islam? Ingatlah! Allah adalah Zat yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur. Allah mencipta manusia, alam dan kehidupan dan Allah mengatur ketiga-tiganya. Allah mencipta manusia dan mengatur sistem hidup untuk manusia. Bagaimana mungkin manusia mengambil aturan selain dari aturan Allah? Kenapakah para pemerintah pada hari ini mengambil aturan ciptaan kafir penjajah, dan ciptaan tangan mereka sendiri, sekiranya mereka meyakini bahawa Allah adalah Maha Pengatur. Kenapakah manusia mengambil sistem selain sistem Allah yang Maha Sempurna? Apakah takbir yang dilaungkan hanya untuk membesarkan Allah di dalam solat walhal di luar solat menyombong dan membesarkan diri di hadapan Allah dengan mencipta hukum sendiri, yang kononnya lebih baik dari hukum Allah? Nau’uzubillah min zalik.
Saudara-saudara yang dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala…
Sesungguhnya Idul Fitri merupakan salah satu syiar yang menyatukan kaum Muslimin dari ufuk barat hingga ufuk timur, dan mengingatkan kita bahawa perayaan kita satu, Tuhan kita adalah satu, Rasul kita adalah satu, agama kita satu, kiblat kita satu, kitab kita satu dan negara kita adalah satu. Perpecahan umat Islam yang berlaku sekarang, khususnya dipecahkan menjadi negara bangsa melalui batas nasionalisme dan patriotisme hanyalah merupakan rekayasa penjajah kafir ke atas kita. Justeru, kita perlu mengorak langkah untuk kembali kepada fitrah dengan melakukan perubahan yang hakiki dan mendasar. Perubahan hakiki adalah yang dapat menyelesaikan secara menyeluruh persoalan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, kita wajib membangun kekuatan politik internasional yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan. Kekuatan politik itu tidak lain adalah negara Khilafah Islamiyyah, yang akan memayungi dan memelihara setiap Muslim di dunia dengan Kitabullah dan Sunah RasulNya. Hanya dengan cara ini sahajalah, maka kemenangan hakiki umat Islam akan dapat dicapai.
Bersempena hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Azza Wa Jalla agar pada Idul fitri yang akan datang, umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan kesatuan dan kemenangan dan dengan penuh kemuliaan di bawah naungan seorang Khalifah yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
UST. ABDUL HAKIM OTHMAN
Presiden HIZBUT TAHRIR MALAYSIA (HTM)
1 Syawal 1429H / 30 September 2008M