Majlis Hari Raya Muslimah Hizbut Tahrir(MHTM) Di Seri Kembangan

Pada 18 Oktober 2009 bersamaan 28 Syawal 1430H, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah mengadakan Majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor .  Majlis bermula pada jam 10.00 pagi didahului dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Puan Ummu Hajar.  Seterusnya, Puan Hajjah Ummu Kalsom selaku Ketua Pimpinan MHTM menyampaikan ucapan pembukaan yang diantara isinya, beliau menegaskan betapa pentingnya mempelajari ilmu-ilmu Islam, supaya kefahaman Islam sentiasa subur di sanubari kaum Muslimin dan muslimah.
Majlis diteruskan dengan tazkirah yang telah disampaikan oleh Puan. Asma’ yang membawakan tajuk Taqarrub Ila Allah.  Dalam tazkirahnya, Puan Asma’ menjelaskan pengertian Taqarrub Ila Allah yang sebenar-benarnya adalah mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan cara melaksanakan perintah-perintah-Nya dan meninggalkan larangan-larangan-Nya serta berdakwah melakukan amar makruf nahi mungkar.  Ini kerana kebanyakan umat Islam pada masa kini telah salah faham dengan pengertian Taqarrub Ila Allah.  Sebahagian besarnya mengertikannya sebatas ibadah ritual seperti shalat, puasa, haji, zikir dan sebagainya sahaja.  Namun hakikatnya melaksanakan ajaran Islam dengan sepenuhnya dalam interaksi antara sesama manusia, perjuangan menegakkan syariah Islam serta menjalankan pemerintahan Islam adalah juga merupakan Taqarrub Ila Allah.

Sebelum menikmati juadah, majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Puan. Hajjah Ummu Kalsom.  Majlis yang dihadiri oleh hampir 80 orang tetamu ini telah berakhir sepenuhnya lebih kurang jam 2.00 petang.  MHTM dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan hadirin yang telah menjayakan majlis ini.