Alangkah kaya rayanya orang-orang UMNO…
Datuk Mustapa Mohamed, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang juga Menteri Pertanian pada Jumaat lepas menyatakan kebimbangannya tentang budaya tersebut yang pada pandangannya akan menyebabkan orang-orang Melayu menjauhkan diri dari UMNO dan akan akhirnya menghancurkan UMNO sendiri.
Gejala politik wang yang sudah mendarah daging dalam UMNO nampaknya sudah tidak dapat dihapuskan. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Banyak sebabnya, tapi antara yang menarik untuk dihighlightkan adalah kerana UMNO dari dulu memang dipenuhi oleh golongan Kapitalis (golongan kaya raya). Mungkin peribahasa Melayu moden ‘siapa nak kaya masuklah UMNO’ amat tepat untuk menggambarkan realiti yang wujud di dalam UMNO. Siapa tak tahu yang para pemimpin UMNO ini mempunyai wang ratusan ribu malah juta-juta sejak memegang jawatan penting dalam UMNO? Jika mereka tidak mempunyai wang sebanyak itu, sudah tentulah tidak akan berlaku politik wang! Berapa banyakkah setiap pemimpin UMNO mengaut duit sejak menjawat jawatan penting sama ada dalam UMNO atau dalam kerajaan? Wallahu a’lam, hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu, termasuklah ‘kehalalan’ wang yang dikaut mereka.
Kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin UMNO menjadikan pesta politik wang semakin meriah setiap kali pertandingan. Bagi orang UMNO yang sedikit duitnya, jangan haraplah nak bertanding, apatah lagi nak menang. Dalam pemilihan UMNO, makin besar rasuah diberi, makin cerahlah peluang untuk menang. Inilah tradisinya.
Persoalan yang timbul adalah, jika jawatan-jawatan di dalam UMNO itu tidak menjanjikan kemewahan dan kesenangan, apakah akan wujud persaingan dan rasuah politik wang sebagaimana sekarang? Sudah tentu tidak, bahkan mungkin tidak ada seorang pun yang akan menawarkan dirinya untuk bertanding. Tetapi apa yang berlaku hari ini, golongan yang kaya raya di dalam UMNO ini sedang berebut-rebut untuk mencalonkan diri sendiri dan tidak kisah akan ‘pengorbanan’ wang ringgit yang mereka rasuahkan kepada para perwakilan, kerana sudah barang pasti apabila menang, jutaan wang lagi yang akan menanti di depan mata! Siapa sanggup menolak peluang dosa keemasan ini?
Biar apa pun diperkatakan oleh sesiapa sahaja untuk menghentikan rasuah politik wang ini, baik dari dalam UMNO mahupun dari luar, baik dari pemimpin mahupun rakyat, baik dari cendekiawan mahupun ulama, namun oleh sebab pemimpin UMNO ini terlalu amat kaya raya, maka politik wang tetap menjadi pilihan utama. Mungkin hanya setelah dibalut kain kafan, barulah mereka berhenti dari perbuatan keji ini…