Keputusan kes model 20 Julai
hujah balas terhadap rayuan Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, bagi meringankan hukuman. Rayuan tersebut dikemukakan melalui peguam syarie, Mohd. Zuki Che Muhamad Ghani. Terdahulu, Saiful Adham meminta mahkamah memberi masa kepadanya untuk meneliti rayuan yang dikemukakan oleh Kartika kerana beliau baru menerima salinan rayuan itu semalam. Hakim Abdul Rahman berkata, tempoh yang diberikan itu agak panjang bertujuan membolehkan pihak pendakwa syarie menyediakan hujah balas berhubung kes berkenaan. Pada 12 Januari tahun lalu, Kartika didakwa bersama Noorazah Baharuddin, 22, yang berasal dari Selangor atas tuduhan minum minuman keras di sebuah pub di Jalan Gambut di sini. Kedua-dua mereka ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kira-kira pukul 1.20 pagi, 12 Julai 2008. Noorazah yang mengaku bersalah telah dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali. Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987. Enakmen tersebut turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun. Pelaksanaan hukuman sebat dibuat mengikut Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002.
Utusan Malaysia: 06/05/09
Mahkamah Tinggi Syariah Meninggikan Hukum Siapa?
Pelik tetapi benar. Kenapa ianya pelik tetapi benar? Kerana telah berlaku suatu tindakan yang benar kerana menangkap peminum arak, tetapi pelik kerana hukuman yang dijatuhkan bukan dalam bentuk yang sebenarnya, bahkan tersasar jauh darinya… Inilah kesimpulan awal yang dapat kita tanggapi tentang keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang mengenai hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan meminum arak.
Bentuk hukuman yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah ini jauh bertentangan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Meminum arak adalah satu kesalahan yang termasuk di dalam kesalahan hudud di mana bentuk hukumannya telah ditentukan oleh Islam.
Wahai pegawai Mahkamah Tinggi Syariah Pahang! Bukankah hukuman hudud ini adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam al-Quran dan Hadis? Bukankah hukuman hudud ini adalah hukuman Allah yang tidak boleh ditukar ganti dan tidak boleh diubah suai dan dipinda? Bukankah di dalam Islam seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat dan tidak kurang dari empat puluh kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali Ibn Abi Talib RA, “Rasulullah SAW telah menyebatkan orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat dan Abu bakar telah menyebat sebanyak empat puluh kali sebat juga, dan Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW. Dan ini yang lebih aku sukai”. [HR Muslim].
Apakah hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah terhadap kesalahan meminum arak, iaitu hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali itu datang dari dalil syara’ ataupun dari akal manusia? Apakah kita sebagai umat Islam masih lagi mahu berhukum dengan hukuman taghut (meskipun disolek sebagai ‘undang-undang Islam’)sedangkan secara terang kita sebagai umat Islam telah diperintahkan untuk mengkufurinya. Firman Allah SWT:
“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ an-Nisaa’ (4) :60]. FirmanNya lagi
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ al-Maaidah (5) :50]