Abu Chin Peng: Apa yang bahayanya?
Agak panas mengenai isu abu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dibawa pulang ke negara ini. Tindakan tersebut didakwa telah mengguris perasaan mangsa kekejaman komunis serta ahli keluarga mereka, terutama dalam kalangan polis, tentera serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung. Sejarah hitam kekejaman komunis di Malaysia pastinya tidak dapat dilupakan oleh banyak pihak. Namun, dalam masa yang sama ada pihak yang melihat Chin Peng dan pengikut PKM sebagai pejuang kemerdekaan yang menentang penjajahan British dan cuba menjustifikasikan kekejaman yang dilakukan oleh parti komunis tersebut.
Kita tidak nafikan terdapat segelintir pihak, termasuk umat Islam yang telah terpengaruh dengan idealisme yang dibawa oleh komunis. Golongan ini berasal dari mereka yang kecewa dengan apa yang terdapat dalam sistem demokrasi bawaan ideologi kapitalisme yang penuh dengan ketidakadilan dan penindasan kepada manusia, khususnya dari sudut ekonomi. Mereka melihat realiti di mana sistem kapitalisme hanya menguntungkan golongan pemilik modal dan elit politik yang bersekongkol dengannya, sekaligus menjadikan rakyat (golongan bawahan) dan khususnya kaum buruh, hidup dalam keadaan tertindas dan serba kekurangan.
Walaupun hakikatnya abu Chin Peng tidak membawa apa-apa bahaya kepada masyarakat atau negara, namun kita mesti melihat lebih jauh bahawa wujudnya usaha untuk “mengiktiraf” perjuangan dan ideologi yang dibawa oleh bekas pemimpin PKM itu, dengan membawa pulang abunya ke Malaysia. Ideologi komunisme ternyata masih belum lenyap walaupun blok sosialis (yang di dalamnya terkandung idea komunisme) secara zahirnya telah lenyap dalam politik dunia. Politik dunia hari ini telah didominasi oleh negara-negara Barat sebagai blok kapitalis, setelah tumbang dan terpecahnya Soviet Union pada awal 90-an.
Sosialisme-komunisme adalah sebuah ideologi yang berasal dari akal manusia dan lahir daripada akidah materialisme, sebuah akidah yang memandang bahawa alam semesta, manusia dan kehidupan hanya merupakan material belaka. Material ini terhasil dengan sendiri dan mengalami evolusi dengan sendirinya tanpa adanya Pencipta (Al-Khaliq). Dengan kata lain akidah materialisme ini menafikan kewujudan Allah (swt) dan menafikan kewujudan alam akhirat. Bahkan, penganut akidah ini memandang bahawa keyakinan terhadap Tuhan sebagai sesuatu yang merbahaya bagi kehidupan dan mengibaratkan keyakinan terhadap agama sebagai “candu” bagi masyarakat.
Kita perlu sedar bahawa dalam isu ini, aspek penting yang perlu diperhatikan ialah ideologi komunisme itu sendiri, bukannya abu Chin Peng. Bolosnya abu tersebut ke negara ini tidak membawa apa-apa bahaya pun, tetapi bolosnya ideologi sosialisme-komunisme sejak puluhan tahun lamanya dan masih bertahan hingga kini, inilah yang telah ‘membahayakan’ masyarakat di negara ini, khususnya umat Islam, kerana ideologi tersebut bukan sahaja bertentangan dengan fitrah manusia, malah bertentangan dengan akidah Islam itu sendiri.
Apa pun, umat Islam perlu sedar bahawa ideologi kapitalisme yang dianut oleh negara ini jauh lebih ‘berbahaya’ berbanding ideologi komunisme. Sebagaimana komunisme, ideologi kapitalisme juga berasal dari akal manusia, yang menjadikan ‘manfaat’ (bukannya halal-haram) sebagai tolok ukur kehidupan. Kedua-duanya ideologi ini bertentangan dengan Islam dan wajib ditolak. Kedua-duanya telah terbukti menindas manusia dan membawa kesengsaraan kepada seluruh umat manusia. Kita seharusnya ‘mengabukan’ kedua-dua ideologi ini dan mengembalikan ideologi Islam ke dalam kehidupan dan ke dalam pemerintahan negara.
Ustaz Umar Hussein
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia