Ada apa dengan endemik dan Islam?

PETALING JAYA 28 Ogos – Islam telah menjadi satu endemik yang memberi kesan kepada hampir semua aspek pentadbiran, perundangan dan badan eksekutif negara.

Pengurus Program SIS, Shareena Sheriff ketika berkata demikian turut menyatakan, keadaan ini menyebabkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan sekarang ataupun dalam masa terdekat sukar untuk dilakukan.

Berita penuh: utusan.com.my


Komentar:

Bagi yang pertama kali mendengar perkataan endemik, pasti akan tertanya-tanya apa maksud sebenar “endemik” ini. Apa pula kaitannya dengan Islam seperti yang disebut oleh pengurus program SIS ini? Maksud endemik berdasarkan Kamus Dwibahasa Oxford Fajar ialah: yang lazimnya di dapati pada sesuatu tempat atau di kalangan kumpulan tertentu (edisi keenam 2017). Jadi seolah-olah tidak ada masalah maksud endemik ini sekiranya dibaca maksudnya seperti yang terkadung dalam kamus tersebut. Namun begitu, apabila kita melihat pula di laman Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi istilah (éndémik) ialah penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu (Kamus Dewan Edisi Keempat): http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=endemik.

Apabila diamati dengan teliti apa yang disebut oleh aktivis SIS ini, kita dapat memahami bahawa dia ingin menyatakan Islam itu sebagai suatu penyakit yang telah menjadi sebuah wabak dalam masyarakat di Malaysia khususnya umat Islam. Oleh itu, sebarang usaha untuk memisahkan Islam daripada kehidupan memerlukan waktu yang lama dan akan wujud pelbagai tentangan kerana Islam ibarat penyakit yang telah sebati dengan masyarakat (Islam) Malaysia. Jelas sekali, perkataan endemik yang digunakan untuk mendeskripsi Islam membawa konotasi yang sangat negatif terhadap Islam. Sungguh ini merupakan satu bentuk kebiadapan kerana menyamakan Islam dengan wabak penyakit!

Persoalannya, mengapa Islam digambarkan sampai begitu sekali sehingga perlu ada usaha daripada kalangan manusia yang diciptakan sebagai makhluk dan hamba Allah SWT untuk memisahkan agama daripada kehidupan ini?

Hakikatnya, deskripsi terhadap Islam seperti ini menunjukkan bahawa ada  segelintir umat Islam itu sendiri yang sudah mabuk dengan pemikiran Barat. Mereka membawa pemikiran sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) dan pemahaman liberalisme yang meletakkan kedaulatan hukum di tangan manusia serta berusaha dengan begitu keras agar pemikiran ini dianuti oleh masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam. Lebih buruk lagi, gambaran Islam sebagai suatu penyakit dalam masyarakat yang menghalang pelbagai usaha sekularisasi, seolah-olah diiyakan oleh pihak berkuasa apabila pelbagai dasar dan keputusan kehakiman yang begitu jelas bertentangan dengan Islam dibiarkan begitu sahaja. Apa yang paling menyedihkan, sebarang keputusan atau polisi yang ‘berbau’ Islam malah dikritik dan diperlecehkan.

Apa yang nyata, sebarang usaha untuk memisahkan Islam daripada kehidupan bertolak belakang daripada apa yang sepatutnya dilaksanakan oleh umat Islam.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

[Terjemahan]“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya secara kaffah; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Perlu kita sedari bahawa pemisahan agama daripada kehidupan ini merupakan perjuangan yang telah dilaksanakan oleh Barat sejak dahulu dan pemikiran inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada pelbagai masalah yang melanda umat manusia sejagat, meskipun negara-negara Barat yang menganuti pemikiran ini menonjolkan kemajuan material yang hebat. Malangnya, umat Islam terus terpesona dengan apa yang dibawa oleh Barat meskipun hakikatnya pelbagai bentuk permasalahan – krisis ekonomi yang berpanjangan, kerosakkan struktur sosial, jenayah berat, keruntuhan akhlak dan moral – merupakan perkara alami yang terus berlaku di Barat. Tambahan pula, permasalahan ini langsung tidak menunjukkan bahawa ia akan berkurangan, malah menjadi semakin parah.

Ternyata aktivis SIS ini merupakan salah satu daripada mereka yang sudah mabuk dengan pemikiran dan cara hidup yang disajikan oleh Barat. Golongan seperti ini tanpa rasa segan silu memperjuangkan pemikiran-pemikiran yang rosak ini dalam masyarakat Malaysia. Lebih malang, golongan seperti ini pula yang mendapat tempat dan dihadiahkan platform untuk memperjuangkan pandangan mereka oleh pihak berkuasa. Umat Islam di Malaysia haruslah peka bahawa perjuangan yang dipelopori oleh golongan seperti inilah yang akan merosakkan masyarakat dan umat Islam sedangkan Islam datang tiada lain kecuali untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin). Allah SWT berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)” [TMQ Saba’ (34): 28].

Umat Islam terdahulu telah berjuang dengan harta dan nyawa mereka untuk meletakkan kalimah Allah SWT sebagai kalimah tertinggi dengan menerapkan setiap hukum Allah SWT di atas muka bumi ini. Perjuangan seperti inilah yang sepatutnya diteruskan oleh umat Islam hari ini, bukannya dengan mengadopsi pemikiran sekularisme dan liberalisme. Dalam masa yang sama, perkara yang mendukacitakan pada hari ini ialah tema ‘rahmatan lil ‘alamin’ telah dipergunakan sebagai topeng dalam merealisasikan objektif golongan sekular dan liberal di Malaysia. Konsep ‘rahmatan lil alamin’ hanya tinggal konsep yang diperkotak-katikkan oleh golongan tertentu dalam meneruskan agenda hina mereka. Apa yang jelas, rahmatan lil ‘alamin akan hanya benar-benar terealisasi sekiranya Islam diterapkan secara kaffah (sempurna) dan tidak terpisah daripada kehidupan. Oleh itu, betapa hinanya mereka yang angkuh dan menolak perintah Allah SWT, dan bahkan lebih hina lagi apa yang mereka usahakan iaitu agar Islam disingkirkan daripada kehidupan.

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia