Agenda Jahat Mengekang Parti Politik Islam Melalui RUU Ormas

Rancangan Undang-Undang (RUU) Ormas (Organisasi Kemasyarakatan) yang diperkenalkan oleh pemerintah Indonesia kini sedang hangat diperdebatkan di kalangan masyarakat. Sehingga kini, RUU tersebut yang sedang cuba untuk diluluskan dengan segera oleh pemerintah Indonesia ini telah mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak, khususnya daripada golongan ulama’ dan organisasi-organisasi Islam di seluruh Indonesia.

Jika sekiranya ia berjaya untuk diluluskan dan menjadi undang-undang negara, undang-undang ini dilihat sebagai peraturan yang berpotensi untuk menjadi alat untuk mengekang gerakan seluruh organisasi yang ada, khususnya yang berideologi Islam yang selama ini sering mempertikai dan menentang pelbagai polisi-polisi yang dibuat oleh pemerintah yang selama ini cenderung untuk menindas dan langsung tidak memihak kepada rakyatnya walaupun rakyat berada di pihak yang benar.

Perkara penting dan berbahaya yang terkandung di dalam RUU Ormas ini adalah menjadikan Pancasila sebagai asas utama untuk seluruh organisasi yang wujud di Indonesia. Oleh itu, ianya dilihat sebagai agenda jahat oleh pemerintah Indonesia untuk mengekang sikap tegas organisasi-organisasi yang berideologikan Islam yang selama ini aktif mengkritik polisi dan amalan rasuah yang dilakukan oleh pemerintah.

Walhal, kewujudan gerakan-gerakan sesat secara terang-terangan seperti Ahmadiyah dan juga Jaringan Islam Liberal (JIL) yang selama ini merosakkan akidah umat Islam sama sekali tidak pernah dipedulikan apatah lagi untuk dikhuatiri oleh pemerintah Indonesia. Justeru, dengan keinginan yang tinggi yang ditunjukkan oleh pemerintah Indonesia untuk menerapkan segera RUU Ormas ini menunjukkan bukti yang jelas bahawa terdapat agenda jahat yang dirancang oleh pemerintah Indonesia terhadap organisasi-organisasi Islam yang selama ini bersikap tegas dan lantang dalam memperjuangkan syariah Islam. Mudah-mudahan Allah membalas dan menggagalkan segala usaha busuk mereka itu serta segera memberikan kejayaan kepada Islam dan umatnya.

Sumber: republika.co.id