Agihan subsidi dan insentif dikaji semula

KOTA BHARU 21 Mei – Kerajaan akan mengkaji semula kaedah pengagihan subsidi dan insentif yang disalurkan kepada rakyat supaya bantuan tersebut benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
Langkah tersebut dilakukan kerana selepas membelanjakan berbilion ringgit untuk tujuan tersebut, rungutan masih diterima terutama di kalangan petani, penternak dan nelayan yang mendedahkan bantuan tersebut tidak sampai ke tangan mereka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, berdasarkan maklumat tersebut, pihaknya akan bertindak termasuk mengemaskini dan menyusun semula kaedah penyaluran bantuan yang telus dan berkesan supaya rakyat berasa gembira.

”Pengagihan subsidi dan insentif secara adil dan seimbang sepatutnya menggembirakan rakyat tetapi sebaliknya kegagalan tersebut menyebabkan kumpulan sasaran ini tidak berpuas hati dan marah dengan kerajaan.

”Mereka juga beranggapan bantuan tersebut hanya diperuntukkan untuk syarikat-syarikat besar kerana mengetahui cara memperolehnya sedangkan di kalangan golongan sasaran sendiri gagal menikmatinya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Majlis Perjumpaan dengan Penanam-Penanam Padi Lembaga Kemajuan dan Pertanian Kemubu (KADA) di Ladang Merdeka Ismail, Mulong di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi KADA, Tan Sri Anuar Musa, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullan, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Aziz Derashid dan lebih 100 penanam padi.
Sehubungan itu Noh berkata, selain mengkaji kaedah pengagihan, agensi-agensi kerajaan yang terlibat juga diarahkan untuk mengemaskini sistem sumbangan yang disalurkan.

”Mulai Jun hadapan, semua agensi yang terlibat diarahkan menyusun semula sistem yang digunakan supaya peruntukan yang banyak dikeluarkan oleh kerajaan seimbang dengan penerima.

”Bantuan bukan sahaja dalam bentuk tunai, tetapi termasuk juga peralatan dan input pertanian kerana masih ada rungutan agihan tidak adil dan lambat diterima,” katanya.

Tambahnya, agensi yang terlibat sepatutnya permudah cara kepada petani, penternak dan nelayan mendapatkan sumbangan yang diperuntukkan.

”Misalnya pengagihan minyak petrol, ada nelayan yang terpaksa ke stesen minyak sejauh 40 kilometer untuk mendapatkan subsidi malangnya apabila sampai, stesen ditutup atau minyak habis.

”Kejadian begitu tidak sepatutnya berlaku kerana bukan sahaja melibatkan kos tambang, masa dan tenaga malah menyebabkan nelayan itu berasa seolah-olah dasar kerajaan menyusahkan,” ujarnya.

Dalam sidang akhbar yang sama, beliau turut mendedahkan terdapat syarikat besar yang mengaut keuntungan sehingga RM400,000 setiap kali mengeluarkan hasil.

”Kementerian mempunyai jadual setiap produk yang layak menerima insentif, misalnya hanya jualan kurang 20,000 ekor ayam yang berhak menerimanya tetapi ada syarikat yang mempunyai ladang besar dan menjual beratus-ratus ribu juga memperolehnya kerana mereka berjaya mengelirukan pegawai-pegawai agensi terlibat,” katanya.

Kerajaan katanya turut mengkaji semula subsidi yang diberikan kepada Bernas iaitu kilang yang diwajibkan mengeluarkan beras dalam kumpulan ST 15 tetapi masih kurang di pasaran.

”Setiap setan metrik beras yang dikeluarkan, kilang berhak mendapat subsidi sebanyak RM750 dan bagi tempoh enam bulan lalu, kerajaan telah membelanjakan RM180 juta bagi membayarnya.

”Bagaimana pun berlaku ketirisan kerana dengan jumlah yang banyak dibelanjakan itu, beras ST 15 masih sukar diperoleh. Hasil pemeriksaan juga mendapati berbanding dengan nilai yang tinggi itu sepatutnya terdapat 68,000 tan metrik beras tetapi hanya sebanyak 38,000 tan metrik sahaja berada di pasaran, ke mana perginya yang lain,” katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan supaya kedua-dua bantuan disalurkan dengan telus dan memberi manfaat kepada rakyat.

[Sumber : Utusan Malaysia 22/05/09]

Terdapat dua perkara besar yang dipandang sepi oleh pemerintah yang menjaga kepentingan rakyat dalam hal ini. Pertama berkaitan dengan sikap amanah, di mana agihan subsidi yang tidak sampai ke sasaran tapi hilang di tengah jalan amatlah merugikan sebahagian besar rakyat yang amat memerlukannya. Kedua , hak rakyat/orang ramai kerap dipandang enteng, di mana rakyat tidak menerima hak mereka sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh Allah dan Rasul.

Hakikatnya tidak boleh timbul isu subsidi dari kerajaan kerana sebenarnya ia memanifestasikan satu bentuk rampasan ke atas hak rakyat dari hasil minyak, galian, kayu kayan dan sebagainya. Selama mana hasil-hasil ini telah diperuntukkan sebagai hak umat di dalam Islam, yang telah diamanahkan oleh Allah kepada pemerintah untuk menjaga dan mengelolakannya, ia tidak boleh menjadi milik penguasa atau mana-mana individu. Oleh itu, konsep subsidi minyak seperti yang dijalankan hari ini sebagai contoh, merupakan konsep yang dilandasi pengkhianatan kerana minyak pada asasnya adalah MILIK UMAT. Dalam masa yang sama, sistem kapitalisme hari ini melahirkan penguasa yang tidak amanah kerana mengkhianati tanggungjawab yang telah ditaklifkan kepada mereka oleh Allah dan RasulNya. Mengembalikan hak rakyat bukanlah untuk menggembirakan hati rakyat, tetapi adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan akan dipersoalkan kelak di hari akhirat.