Ahli Politik, Institusi Polis dan Badan Kehakiman adalah Pengamal Rasuah Tertinggi
“Untuk Asia Tenggara, yang paling tinggi pengamal rasuah adalah polis. Jika dilihat satu persatu, pengamal rasuah paling tinggi di Kemboja adalah badan kehakimannya, di Indonesia adalah ahli-ahli parlimen dan institusi polisnya. Sementara di Malaysia, Filipina dan Vietnam adalah institusi polisnya. Manakala di Thailand, parti politik dan polis merupakan pengamal rasuah tertinggi,” ujar peneliti TII Wahyudi dalam satu keterangan di Jakarta Selatan pada 9 Julai 2013 yang lalu. [1]
Bahkan dalam satu penelitian lain yang dilakukan oleh Jakarta Globe, mereka mendapati bahawa masyarakat di Indonesia sudah tidak lagi mempercayai pemimpin dan parti politik di negara tersebut. Penelitian tersebut menunjukkan sebanyak 52 peratus daripada 1200 responden sudah tidak lagi mempercayai ahli politik yang bekerja dalam 3 institusi utama negara iaitu eksekutif, legislatif dan judikatif. [2]
Nampaknya kerosakan sistem kapitalis sudah tidak dapat lagi dibendung kebobrokan dan kebusukannya. Sistem yang rosak bukan sahaja dapat dibuktikan melalui wahyu, tetapi ia juga dapat diindera secara fakta di hadapan mata. Sesungguhnya rasuah adalah suatu amalan yang biasa dan terdapat di mana-mana negara yang berideologikan sistem selain daripada Islam.
Sesungguhnya masyarakat dunia memerlukan peradaban yang baru, yang dibina dan dibangun berdasarkan ideologi dan sistem Islam sepertimana masyarakat yang pernah dibangunkan oleh junjungan Nabi SAW pasca hijrah. Sistem Islam akan menjadikan dunia berada dalam keadaan aman, damai, makmur, adil, sejahtera dan penuh dengan keberkatan kerana di dalamnya diterapkan seluruh aturan yang datangnya daripada Ilahi. Jika masyarakat dunia sudah tidak lagi percaya kepada sistem ciptaan manusia yang diterapkan ke atas mereka, maka sistem Islamlah yang perlu segera disahut oleh para pemerintah dan rakyat pada saat ini agar ia dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam negara dan bukannya mengharapkan sistem-sistem selain Islam seperti kapitalis, demokrasi, komunis atau sosialis dapat diperbaiki supaya menjadi ‘lebih baik’.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu” [TMQ al-Anfal (8): 24]
Sumber: [1] ti.or.id [2] thejakartaglobe.com